OLEH DIYANA IBRAHIM
Published: 3 November 2014
Tan Sri Joseph Kurup berkata adalah penting bagi kes melibatkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dibawa ke mahkamah terlebih dahulu dan menyerahkan kepada badan kehakiman memutuskan beliau bersalah atau tidak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 November, 2014.
Tan Sri Joseph Kurup hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara membuka semula kes Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkenaan kenyataan beliau agar Bible berbahasa Melayu dibakar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu perlu dalam usaha menangani isu hasutan dan kebencian agama yang semakin berleluasa di negara ini.
"Saya menggesa Peguam Negara membuka dan mengkaji semula kes Ibrahim bagi memastikan kelangsungan perpaduan kita," katanya pada Sidang Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan kementerian beliau hari ini.
"Kita sentiasa mendengar suara rakyat dan langkah berkenaan sebagai cara membolehkan kita menangani kebangkitan pendapat agama yang tidak bertoleransi dan memuaskan hati rakyat," katanya.
Beliau berkata paling penting, kes Ibrahim harus dibawa ke mahkamah terlebih dahulu dan menyerahkan kepada badan kehakiman memutuskan beliau bersalah atau tidak.
"Kita mahu kes itu dibuka dan dinilai semua. Sama ada disabitkan salah atau tidak, itu lain kira," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin yang bertanya menteri tersebut sama ada bersetuju tiada tindakan diambil kerajaan terhadap kes Ibrahim.
Kenyataan Ibrahim menyeru orang ramai membakar Bible pada tahun lalu mencetuskan kemarahan penganut Kristian serta ahli politik yang mengkritik Putrajaya kerana mengambil sikap berat sebelah dalam penggunaan Akta Hasutan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri turut dikecam apabila jawapan bertulisnya di Parlimen pada 7 Oktober lalu mengatakan Ibrahim tidak didakwa kerana hanya mahu mempertahankan Islam.
Ketua Peguam Negara Tan Sri Gani Patail kemudiannya mempertahankan tindakan itu dengan menyatakan ia perlu dilihat daripada keseluruhan konteks.
Katanya, kenyataan Ibrahim pada waktu itu dibuat hanya merujuk kepada kejadian di mana Bible tersebut diedarkan kepada pelajar Islam di SMK Jelutong, Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Sepang (PAS) Hanifa Maidin kemudiannya bertanya kepada Joseph berkenaan gesaannya itu yang bertentangan dengan keputusan Kabinet.
"Menteri sedar tak, jawapan itu bertindak melawan keputusan Kabinet? Menteri harus letak jawatan kerana ia tidak sama dengan pendirian Kabinet," kata ahli Parlimen itu.
Menolak tanggapan itu, Joseph yang memegang portfolio perpaduan negara menegaskan, beliau hanya mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi memuaskan hati rakyat.
"Yang Berhormat tadi mahu tahu sama ada saya setuju tindakan diambil (ke atas Ibrahim) atau tidak.
"Ketetapan dibuat Jabatan Peguam Negara. Saya hanya mencadangkan kes itu dibuka semula supaya memuaskan hati suara yang begitu lantang," katanya.
Beliau juga menafikan gesaannya kepada Peguam Negara itu tanda beliau bersetuju kenyataan presiden Perkasa adalah berunsur hasutan dan menyangkal dakwaan keputusan kes Ibrahim dipengaruhi Kabinet.
"Saya tidak akan cakap dia (Ibrahim) buat kenyataan menghasut atau tidak. Saya kata, salah atau tidak, biar mahkamah putuskan.
"Dan Kabinet juga tidak mencampuri pendakwaan kes. Ia terletak di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara," katanya. – 3 November, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa