Mana lebih kecewa dan letih antara Najib dan rakyat marhaen ini atau majoriti rakyat dengan stail (cakap tak serupa bikin) Najib?
8 tahun berlalu, seorang ayah masih harap keadilan buat anak yang dibunuh
OLEH LOOI SUE-CHERN
Published: 2 November 2014
Chee Ah Sau semasa temubual di Sungai Petani, Kedah pada 26 Oktober, 2014. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 2 November, 2014.
Sejak kejadian malang pada 2006 apabila anak perempuannya dibunuh, Chee Ah Sau akan menuju ke balai polis setiap hari Ahad bagi mendapatkan maklumat terkini tentang siasatan kesnya.
Perjalanan dari rumahnya di Sungai Petani ke Balai Polis Daerah Kuala Muda tidak pernah dirasa terlalu jauh bagi pekerja binaan berusia 58 tahun itu, hingga akhirnya menjadi salah seorang muka biasa di balai itu.
Tanpa jemu, setiap hujung minggu, satu-satunya hari dia tidak bekerja, Chee akan ke sana saban tahun mencari jawapan dan petunjuk dalam siasatan kes rogol dan bunuh melibatkan anaknya Gaik Yap (gambar bawah).
Kadang-kadang dia juga akan menunggang motosikal ke Alor Star, hampir 70km lagi, untuk bercakap dengan ketua polis Kedah di ibu pejabat polis negeri mengenai kes anaknya.
"Tidak, ia tidak terlalu jauh (perjalanan dengan motosikal)... demi anak perempuan saya, tiada jarak yang jauh," Chee memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini.
Chee juga pergi ke Kelab Cinta Sayang, di mana Gaik Yap berjoging sebelum dia diculik dan dibunuh, dengan harapan menemui petunjuk.
"Saya hanya berjumpa polis 3 atau 4 kali sebulan. Kebanyakannya saya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, di Sungai Petani.
"Saya buat begitu sehingga polis menangkap suspek dua tahun lalu," katanya.
Gaik Yap, 25, seorang eksekutif pemasaran, pergi berjoging pada petang 14 Januari, 2006 bersama salah seorang saudara perempuannya di Kelab Cinta Sayang, ketika beliau hilang.
Tubuhnya yang separuh bogel dengan beberapa kesan tikaman ditemui pada awal pagi berikutnya di Taman Ria Jaya berhampiran kelab itu.
Ketika kes masih dalam siasatan, seorang suspek kes itu meninggalkan Malaysia dan terbang ke Perth, Australia.
Polis kemudiannya dilaporkan mengawasi semua pintu masuk ke negara ini, cuba menjejak individu yang dikehendaki itu, yang merupakan anak seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk.
Akhirnya, pada 17 Januari, 2012, suspek Shahril Jaafar, 33, ditangkap polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Dia didakwa membunuh Gaik Yap dua minggu kemudian.
Tetapi, harapan Chee mendapat keadilan tidak kekal lama. Pada 25 Jun tahun lepas, Shahril dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Alor Star tanpa dipanggil membela diri.
Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, kerana tidak ada bukti jelas melibatkan Shahril dalam pembunuhan itu.
Bingung dengan keputusan mahkamah, Chee cuba melompat dari balkoni kompleks mahkamah dua tingkat itu, mengejutkan wartawan yang kemudiannya sempat menahannya dari meneruskan niatnya.
"Saya benar-benar fikir hendak lompat dari bangunan... hendak mati. Saya rasa kosong apabila mendengar suspek akan bebas.
"Saya percaya segala-galanya berakhir, begitulah akhirnya... anak saya tidak akan dapat keadilan yang dia berhak dapat," katanya.
Media kemudiannya, termasuk dari Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China, melaporkan berita pembebasan itu dan cubaan Chee membunuh diri.
Walaupun berdepan kegagalan, Chee berikrar meneruskan usaha mencari keadilan, tidak kira berapa lama masa akan diambil. Beberapa hari selepas keputusan mahkamah itu, dia merayu bantuan mendiang Karpal Singh.
Dalam masa seminggu, demonstrasi diadakan di Sungai Petani dan Pulau Pinang menuntut keadilan bagi Gaik Yap dan ribuan tandatangan dikumpul melalui satu petisyen menggesa mahkamah memerintahkan perbicaraan semula.
Pada Januari tahun ini, ratusan orang menghadiri satu perhimpunan di Wat Siam, kuil Siam di Sungai Petani, di mana abu kremasi Gaik Yap disimpan, menyatakan sokongan terhadap Chee.
Chee juga pergi ke Parlimen pada Jun tahun ini bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min dan Adun Sidam, Dr Robert Ling. Ketika itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin sedang membentangkan usul mengenai kes Gaik Yap di dalam Dewan.
"Pengalaman baru bagi saya... pergi ke Parlimen memakai sut," kata Chee.
Ditanya sama ada dia sanggup bersusah payah kerana Gaik Yap – anak ketiga daripada enam beradik yang mempunyai paras rupa seiras beliau dan ketinggian yang hampir sama – merupakan anak kesayangannya, beliau mengatakan, semua anak-anaknya sama sahaja baginya.
"Bukan begitu. Saya sayang mereka sama sahaja. Gaik Yap seorang anak yang baik. Dia banyak membantu di rumah dan bagus di dalam pelajarannya.
"Dia satu-satunya anak saya yang berjaya masuk universiti. Dia belajar di Universiti Utara Malaysia.
"Tidak ada persaingan antara mereka adik-beradik. Mereka semua baik antara satu sama lain," katanya. – 2 November, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa