lokmanmustafa - Dis 14 2014
TUMPUAN: Kini kita sudah hampir di penghujung tahun 2014. Seperti biasa pihak pengarang akhbar serta portal berita di seluruh negara sudah tentu menyiapkan senarai nama “Pencetus Berita” yang paling hebat memberi impak sepanjang tahun ini.
Majalah TIME di Amerika Syarikat baru-baru ini mengumumkan senarai calon yang sedang mereka timbangkan sebagai “Pencetus Berita 2014”.
Setiap tahun sejak 1927, sidang pengarang majalah TIME memilih seorang “Lelaki Sepanjang Tahun” dalam memberi pengiktirafan kepada individu atau sekumpulan individu yang paling hebat memberi kesan kepada tajuk berita.
Ada yang percaya amalan itu berpunca kegagalan sidang pengarangnya menampilkan berita kejayaan juruterbang Charles Lindberg yang melakukan penerbangan merentasi Lautan Atlantik pada tahun 1927 di muka depan majalah TIME.
Maka di penghujung tahun tersebut, pihak pengarang majalah itu menampilkan Lindbergh selaku “Lelaki Sepanjang Tahun” dalam usaha mereka membetulkan kesilapan terdahulu.
Majalah yang diedarkan kepada hampir 25 juta pembaca di seluruh dunia itu pernah memilih tokoh-tokoh kontroversi seperti Adolf Hitler serta Joseph Stalin sebagai “Pencetus Berita” bagi tahun 1938 dan 1939. Ini kerana anugerah tersebut diberi kepada sesiapa sahaja yang paling banyak mendapat liputan berita ― tak kira baik atau buruk.
Namun sejak pemilihan pemimpin revolusi Iran Ayatollah Khomeini dibuat pada 1979, TIME cuba mengelak daripada tokoh-tokoh yang kurang disenangi oleh pembaca-pembaca di Barat, terutamanya Amerika Syarikat.
Pada tahun 1999, kaum wanita juga disenarai pendek sebagai calon pencetus berita, tetapi anugerah “Tokoh Sepanjang Kurun ke-20” diberi kepada Albert Einstein dengan Mahatma Ghandi dan bekas presiden AS Franklin Roosevelt di tangga kedua.
Kini sidang pengarang TIME telah mengenalpasti calon-calon “Pencetus Berita” bagi 2014 dan mereka terdiri daripada:
• Penunjuk perasaan Ferguson yang turun ke jalanraya selepas insiden tembakan rambang yang dilakukan polis di Amerika ke atas seorang remaja kulit hitam pada Ogos lalu. Penunjuk perasaan ini juga muncul apabila pihak juri memutuskan tidak mendakwa pegawai polis berkulit putih terbabit.
• Petugas kesihatan menentang Ebola, yang berjuang bagi menghalang wabak Ebola tersebar ke seluruh dunia. Setakat ini wabak Ebola terbesar dalam sejarah dunia telah meragut 7,000 nyawa.
• Presiden Russia Vladimir Putin yang sering terpampang di dada akhbar berikutan pelbagai peristiwa sepanjang 2014 dari penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk kepada ketegangan di timur Ukraine.
• Taylor Swift penyanyi pop Amerika yang enggan lagunya dikongsi di Spotify kerana mendakwa bayaran yang diberi terlalu murah.
• Jack Ma, pengasas laman perniagaan Alibaba
• Tim Cook yang memperkenalkan iPhone 6 serta 6 Plus. Beliau CEO Apple yang mengaku seorang “gay”
• Masoud Barzani, presiden di wilayah Iraq (Kurdish) yang sibuk bertempur dengan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS).
• Roger Goodell tokoh sukan di AS yang dicemari pelbagai kontroversi
Sudah tentu sidang pengarang SemutHarian mempunyai senarai mereka sendiri kerana TIME dilihat mencalonkan tokoh-tokoh yang lebih berpaksikan Barat/Amerika Syarikat.
Bagi pengarang SemutHarian, kita menjangkakan mereka akan memilih tokoh-tokoh tempatan yang paling kerap mewarnai laporan berita di Malaysia.
Jadi siapa agaknya pilihan mereka? Kita bakal mendapat jawapannya pada 31 Disember kelak. Nantikan keputusan itu.
Bagi para pembaca yang kami hormati pula, siapa agaknya yang anda fikir layak diberi gelaran “Pencetus Berita bagi Tahun 2014” ini?
Oh ye, sebelum saya menamatkan rencana, pengarang TIME telah sebulat suara memilih Petugas Kesihatan menentang Ebola sebagai “Tokoh Sepanjang Tahun” ini.
Tahniah dan syabas saya ucapkan atas kegigihan mereka.
Berita Terbaik Dunia ialah Mr Putin
ReplyDeleteBerita Burok Dunia bukan lain lagi , Mat Bahalol.