Thursday, March 5, 2015
Tempoh hari ada seorang telah menelefon saya dan bertanya beberapa soalan. Oleh kerana soalannya saya fikirkan baik, ‘the right questions’, maka saya nukilkan kembali soalan dan jawapan yang telah saya berikan kepadanya kerana mungkin ada juga yang berfikiran seperti beliau. Beliau sendiri bukanlah wartawan tetapi ahli PAS biasa yang pening dan keliru dengan apa yang sedang berlaku sekarang di dalam PAS.
Soalan 1: “Adakah Benar Perpecahan Dalam PAS Bermula Sejak 1998 Lagi Seperti Yang Didakwa Seorang (Zuhdi)?”
Yang bercakap itu tidak bersama PAS pada ketika itu. Saya tidak pernah nampak pun kelibatnya pada masa itu, maka saya yakin dia hanya mereka-reka cerita.”
Pada 1998 PAS mengalami satu suasana kebangkitan dan sokongan yang begitu hebat. Melalui pendekatan Almarhum Ustaz Fadhil Noor, yang begitu inklusif, kebanyakan Islamis yang asalnya tidak tertarik dengan PAS telah akhirnya menyertainya atau paling kurang menyuarakan sokongan terhadapnya. Hasil dari keterbukaan ini juga terbentuk BA seterusnya PR serta konsep Tahaluf Siyaasi semakin difahami dan diterima semua. Maka tercapai prestasi PAS yang semakin baik tahun demi tahun sehingga berlakunya tsunami politik 2008 dan seterusnya 2013. Semua yang waras melihat ijtihad politik Almarhum Ustaz Fadhil Noor sebagai sesuatu yang bijak dan menepati tuntutan masa dan keadaan.
Namun, manusia tetap manusia. Ada juga yang membutakan mata dan memekakkan telinga kepada segala kebaikan yang terhasil dan terus ingin PAS bersikap tertutup dan berada di alamnya yang tersendiri kononnya ‘seperti dahulu kala’. Sedangkan sebelum itu pun dan semenjak tertubuhnya PAS itu sendiri, PAS bersifat terbuka. Kalau ada bersifat tertutup sekalipun hanya selepas ditendang keluar BN dan itu pun buat seketika, iaitu sehingga munculnya konsep kepimpinan ulama pada 1982.
Soalan 2: “Kalau Begitu, Masalah Perpecahan Ini Bermula Bila Dan Atas Isu Apa?”
Sebenarnya ianya bermula pada tahun 2008 apabila PAS menang banyak kerusi dan formula baru menjadi satu kemungkinan, iaitu bersama UMNO/BN membentuk kerajaan di beberapa Negeri di Semenanjung dan juga di peringkat Pusat.
Walaupun formula baru ini ditolak secara tegas dan muktamad, dan PAS telah bersama membentuk PR, namun ide berhubung formula ini terus terpasak di hati beberapa pimpinan peringkat pertengahan PAS. Oleh itu perjalanan PR sering digugat dengan bermacam-macam tindakan yang bertujuan melaga-lagakan PAS dan PR. Ini lebih menjadi-jadi pada 2013 dan selepasnya. Sedangkan dari 2008 hingga 2012 boleh dikatakan PR berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit tersedu pada awal penubuhan PR khususnya melalui usaha Dr. Hassan Ali.
Soalan 3: “Kenapa Pula Ada Yang Dakwa Ianya Bermula Sejak 1998?”
Ianya untuk mencari alasan semata-mata. Supaya apa yang ingin mereka lakukan dilihat berasas dan adanya sebab musababnya.
Melalui dakwaan ini mereka boleh menuduh adanya kelompok asing dan kumpulan tertentu dalam PAS. Mereka boleh menuduh bahawa adanya golongan yang ingin menolak ulama’, menjatuhkan Presiden dan ingin merampas kuasa dalam PAS. Kelompok dan kumpulan ini ‘asing’ dan bukan PAS tulen. Mereka masuk pada 1998 dan kononnya membawa fahaman Liberal, Anwarisme, Plural dan sebagainya. Sedangkan semua tahu bahawa siapa sahaja menyertai PAS menerima perlembagaannya termasuk dasarnya dan konsep kepimpinan ulama’ yang tertera di dalam perlembagaan tersebut.
Maka bagi saya, ini semua dongeng yang tidak bertempat.
Soalan 4: “Apa Yang Mereka Inginkan?”
Kononnya mereka ingin ‘membersihkan’ PAS dari kumpulan asing yang masuk dari tahun 1998.
Maka digambarkan bahawa dalam PAS ada yang tolak hudud, yang tidak terima konsep kepimpinan ulama’ dan tidak menerima TGHH sebagai Presiden. Maka mereka ini dakwa kononnya Ulama dan DS Presiden telah dimaki, dihina dan dicaci dan ini semua adalah tindakan terancang kumpulan asing tersebut untuk menjatuhkan DS Presiden dan kepimpinan Ulama.
Yang peliknya, yang kita nampak dan lihat secara terus terang adalah tindakan memalukan Mat Sabu, Dr. Hatta dan yang lain-lain dan ianya dilakukan secara terancang dan tersusun. Bermula dengan peristiwa walk-out semasa Muktamar Pemuda pada tahun lepas apabila Mat Sabu datang untuk merasmikan Muktamar tersebut. Ianya begitu terancang, di mana yang terlibat siap memakai vest tertentu dan ianya dilakukan serentak. Begitu juga doa laknat semasa Muktamar PAS terhadap Mat Sabu dan seterusnya demo membantah Dr. Hatta. Semuanya kelihatan terancang dan tersusun rapi.
Sambil yang dikatakan ‘konspirasi’ untuk menjatuhkan DS Presiden, tidak pula nampak apa-apa pun selain adanya cadangan dan pandangan yang berbeza dalam beberapa isu. Perbezaan pendapat perkara biasa dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan usaha untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Lebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan dengan cara yang penuh hormat tanpa mencaci atau memaki hamun mana-mana pihak.
Pepatah Arab berbunyi “darabbunii wa yabki” atau “dia pukul saya dan dia menanggis”. Mereka yang membuat onar tetapi mereka pula berlakon seolah-olah mereka adalah pihak yang dicederakan. Ini semua strategi lama dan lapuk.
Soalan 5: “Tetapi Apa Sebenarnya Yang Mereka Inginkan Dari Ini Semua?”
Mereka ingin PAS berpecah dua, yang sependapat dengan mereka di satu pihak dan yang berbeza pendapat di pihak yang lain, sebaik-baiknya di luar PAS.
Yang sependapat dengan mereka adalah yang sanggup membawa PAS keluar dari PR dan mempertimbangkan samada bersendirian, berkerjasama dengan BN atau juga berkerjasama dengan PR. Tidak kommitted hanya kepada PR. Pilih yang mana yang lebih menguntungkan, kononnya.
Sedangkan adakah akan ada mana-mana pihak menyokong kalau pendirian kamu dan tidak di sana atau tidak di sini? Pemikiran politik kebudak-budakan!
Kehendak supaya PAS berpecah dua telah jelas dinyatakan oleh salah seorang dari mereka yang mungkin merupakan antara perancang utama di sebalik tindakan ini. Beliau secara terus terang menyatakan bahawa beliau ingin melihat PAS berpecah dua dan bahawa ianya sesuatu yang ada kebaikannya.
Amat sukar untuk diselamatkan PAS sekiranya ada pihak yang tidak ingin mencari penyelesaian. Mereka memburuk-burukkan pimpinan seperti Mat Sabu dan Dr Hatta semaksima mungkin supaya tidak mungkin dicapai persetujuan dan perdamaian. Mereka menuduh orang dengan gelaran ‘munafik’, ‘pengkhianat’ dan sebagainya dan ditanamkan perasaan benci di kalangan ahli terhadap barisan pimpinan ini.
Soalan 7: “Kenapa Mereka Begitu Berkeras Hendak PAS Berpecah Dua?”
Kerana mengikut firasat mereka itulah yang terbaik bagi PAS. Melaluinya PAS akan diselamatkan dari ‘dipergunakan’ oleh kumpulan asing ini dan ‘PAS asli’ akan dapat dikembalikan. Dengan itu PAS boleh dibawa keluar dari PR dan kembali menjadi bebas dan tidak terikat. Boleh bawa apa jua agenda tanpa perlu memikirkan pandangan mana-mana pihak lain. Lagi pun, mengikut mereka, ianya berlaku di Negara lain maka ianya juga perlu berlaku di Malaysia.
Sedangkan kita sepatutnya berusaha mempertahankan kekuatan yang telah terbina oleh PAS selama ini dan bukan membuangnya begitu sahaja. Sesiapa yang menganggap kekuatan PAS semakin merosot sejak 1998 adalah dari golongan yang buta dan pekak. Dasar terbuka PAS menguntungkan PAS dan tiada penyelewengan dari dasarnya telah berlaku. Kalau ada berlaku penyelewengan sudah pasti Majlis Syura akan bersuara sejak 1998 lagi.
Soalan 8: “Tidakkah PAS Akan Rugi Sekiranya Berpecah?”
Bagi mereka untung rugi politik tidak penting. Yang penting PAS kembali bersendirian dan membawa agendanya semata-mata, iaitu Islam. Fahaman mereka apabila PAS bergabung dengan mana-mana pihak maka agenda PAS akan menjadi kabur. Ini adalah kerana agenda Islam itu adalah hudud dan hanya PAS setuju dengan hudud. Perjuangan Islam telah dirumuskan dan disempitkan oleh mereka kepada hudud. Itu sahaja.
Sedangkan perjuangan Islam adalah lebih dari itu. Ianya aqeedah dan akhlak dan juga perundangan atau syariat. Dan syariat itu mesti tertegak atas aqeedah dan akhlak terlebih dahulu sepertimana bumbung rumah akan hanya terbina setelah asas dan tiang rumah itu didirikan terlebih dahulu.
Maka semestinya PAS akan rugi apabila berpecah dan itulah sebabnya usaha mereka ini perlu ditentang. Sebenarnya sekiranya soal menang kalah tidak penting, saya tidak faham mengapa mereka perlu berada di dalam PAS. Sepatutnya mereka bergiat melalui NGO yang boleh nyatakan apa sahaja yang ingin dinyatakan tanpa mengambil kira implikasi untung-rugi politik dari tindakan mereka. Namun mereka ingin menjadikan PAS sebagai badan NGO tanpa mementingkan siyaasah; di mana siyaasah itu bermaksud politik dan untung rugi politik adalah merupakan sebahagian dari politik itu sendiri. Dengan itu PAS akan dijadikan seperti pasukan tentera yang tidak pentingkan menang kalah di medan perang. Sudah pasti tentera yang tidak pentingkan menang kalah dan tidak berusaha untuk menang akan kalah dengan mudah. Begitu jugalah kesudahannya bagi PAS sekiranya kehendak golongan ini tidak dibendung dan ditolak ahli.
Tindakan ini merupakan tindakan ‘reversionist’ atau berpusing balik dan menolak ijtihad politik yang telah dilakukan bersama oleh Almarhum Ust Fadhil Mohd Noor, Almarhum TG Nik Aziz, Almarhum Ust Hassan Shukri, Almarhum Ust Harun Taib, Almarhum Ust Yahya Othman, TG Haji Abdul Hadi sendiri dan ramai lagi pada tahun 1998.
Saya sebenarnya tidak menolak kemungkinan pemikiran ‘reversionist’ ini dicetuskan oleh pihak lawan dan kumpulan yang membawa pemikiran ini disokong dan dibantu mereka. Segala tuduhan tidak hormat Ulama’, tolak hudud, ingin jatuhkan DS Presiden adalah tidak lain dan tidak bukan kecuali ‘camouflage’ atau pembohongan untuk melemahkan dan merosakkan PAS.
Dan sekiranya pengakuan mereka bahawa mereka inginkan PAS berpecah dua masih tidak mampu mengejutkan ahli PAS, termasuk ulama PAS dari terus tertipu, saya rasa amat gelaplah masa depan PAS di negara kita ini.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Berkata benar mengikut prinsip, dianggap kurang ajar oleh mereka yang tidak waras ataupun bebal!
ReplyDeleteMacam Umno canai;
ReplyDeleteMereka yang tolak Umno, menolak melayu dan adalah pembelot.
Mereka yang tolak TGHH adalah pembelot dan menolak Ulamak. Semua cover/berlindung dibelakang TGHH.
Menang atau kalah mereka tak peduli, janji dapat kedudukan dalam parti..want to be big fish in small pond, rather fish in ocean. Sama lah juga macam PLO.