Published: 16 July 2015 7:07 AM
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada masa ini sedang mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan wang berjumlah RM2.67 bilion yang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Julai, 2015.
Bekas peguam negara menggesa Tan Sri Abdul Gani Patail supaya keluar daripada pasukan petugas khas bagi menyiasat perdana menteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengatakan ia akan meningkatkan persepsi umum dan integriti dalam penyiasatan itu.
Pandangan Tan Sri Abu Talib Othman itu juga turut disokong beberapa peguam yang berkata, peguam negara itu tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada proses siasatan atau pejabatnya akan dianggap sebagai tidak bebas.
Gani ketika ini mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan wang berjumlah RM2.67 bilion yang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Pasukan itu juga terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis.
Abu Talib dan beberapa peguam berkata langkah Gani untuk tidak melibatkan diri daripada pasukan petugas khas itu akan meningkatkan keyakinan orang ramai dan integriti terhadap tiga badan penyiasat – polis, SPRM dan BNM – dalam melaksanakan tugas mereka.
Mereka juga berkata prinsip "check and balance" antara agensi penyiasatan dan pendakwa raya mesti dipatuhi bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk orang awam.
Abu Talib berkata adalah tidak wajar bagi Gani, yang juga pendakwaraya, untuk menjadi ahli pasukan petugas itu.
Beliau berkata, pihak polis, SPRM dan bank pusat mempunyai kuasa untuk menyiasat di bawah undang-undang yang luas dan pengalaman berkenaan untuk menjalankan tugas mereka tanpa pengawasan peguam negara.
"Mereka harus dibenarkan untuk menyiasat berdasarkan cara mereka dan mengemukakan laporan untuk pertimbangan peguam negara/pendakwaraya," kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider.
Abu Talib yang berkhidmat sebagai peguam negara dari tahun 1980 hingga 1993, berkata adalah menjadi tugas peguam negara untuk menentukan sama ada terdapat bukti mencukupi dikumpulkan untuk mendakwa pesalah.
"Kami sudah mengamalkan prinsip 'check and balance' selama ini dan ia tidak wajar untuk mengabaikannya bagi memastikan keadilan untuk semua," kata pesara yang berusia 77 tahun itu.
Abu Talib berkata demikian sebagai mengulas kepada soalan, adakah sesuai untuk menggabungkan Jabatan Peguam Negara dan agensi penyiasatan dalam pasukan petugas khas yang sama.
Ramai juga tidak jelas apabila pasukan petugas itu ditubuhkan.
Pasukan petugas itu dibentuk pada 4 Julai lalu apabila Gani mengatakan, Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan polis sedang menyiasat dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan sejumlah besar wang dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak di AmBank di Kuala Lumpur antara 2013 dan 2015.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua dalam satu kenyataan pada 5 Julai lalu juga berkata jawapan bertulis daripada Kementerian Dalam Negeri berkaitan soalan yang dikemukakannya menyatakan polis sudah menyelesaikan siasatan ke atas 1MDB dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 9 Mac.
Gani mengumumkan pembentukan pasukan petugas itu pada perhimpunan bulanan Jabatan Peguam Negara Oktober lalu ketika beliau membentangkan pencapaiannya dalam tempoh tiga tahun setengah yang lalu.
Dalam ucapan itu, ia mendedahkan yang beliau menubuhkan pasukan petugas itu dan mempengerusikannya.
Beliau berkata pasukan petugas itu ditubuhkan berikutan aktiviti penggubahan wang haram yang semakin berleluasa dan sebagai sebahagian daripada dua teras utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.
Ahli pasukan petugas khas itu terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Cyber Security Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Peguam S N Nair berkata, Gani dan Jabatan Peguam Negara tidak boleh menjadi sebahagian daripada mana-mana pasukan menyiasat kerana ini tidak diperuntukkan dalam undang-undang.
Beliau berkata di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara, yang juga pendakwaraya, boleh memutuskan sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa kes jenayah.
"Peguam Negara tidak boleh menjadi sebahagian daripada siasatan atau dengan kata lain pejabatnya tidak akan dilihat sebagai bebas," katanya sambil menggesa Gani supaya keluar daripada pasukan petugas itu bagi memastikan pemisahan kuasa antara pendakwaraya dan agensi penyiasat.
Nair yang juga bekas pegawai polis, berkata di Malaysia peguam negara dan pendakwa raya adalah orang yang sama, tidak seperti di United Kingdom.
"Peguam negara di sana adalah pegawai undang-undang dan penasihat kepada kerajaan manakala pendakwaraya memutuskan pendakwaan tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya.
Beliau berkata, peguam negara dan kedudukan pendakwaraya di Malaysia adalah bercanggah dan ini tidak baik untuk persepsi awam.
Nair berkata, berdasarkan kepada keadaan sekarang Gani perlu menjadi seorang pendakwaraya bebas bagi menilai kertas siasatan dan juga perlu menjelaskan kepada orang ramai jika tiada pendakwaan dijalankan terhadap pesalah.
Peguam Ragunath Kesavan pula berkata Gani perlu bergelut dengan persepsi awam ke atas siasatan yang sedang dijalankan kerana beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan Najib.
"Pergelutan kerajaan untuk meyakinkan orang ramai yang segala-galanya berada dalam keadaan baik sehingga pilihan raya umum akan datang adalah bergantung kepada hasil siasatan itu," kata bekas presiden Majlis Peguam itu.
Beliau berkata keadaan semasa memerlukan kerajaan dan penggubal undang-undang persekutuan untuk memisahkan kedudukan peguam negara, pendakwaraya, dan juga memberikan kuasa pendakwaan SPRM menjadi sebuah agensi yang benar-benar bebas.
Najib diasak dengan tekanan yang cukup hebat berikutan kemelut 1MDB dan ini disusuli pendedahan oleh WSJ.
WSJ melaporkan sejumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) dari Tanore Finance, sebuah syarikat di Virgin Islands Britain, didepositkan ke dalam akaun Najib menerusi dua transaksi pada 21 Mac dan 25 pada tahun 2013, menjelang pilihan raya umum pada bulan Mei.
Satu lagi, wang sebanyak AS$11.1 juta (RM42 juta) dari Kementerian Kewangan milik SRC International Sdn Bhd dipindahkan dalam dua transaksi berasingan antara Disember 2014 dan Februari tahun ini.
Pasukan petugas itu juga membekukan enam akaun yang berkait dengan penyiasatan itu.
Najib menafikan yang beliau mengambil wang itu untuk kepentingan peribadi, tetapi enggan mengulas secara terbuka mengenai pemindahan dana ke akaunnya. – 16 Julai, 2015.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa