PM - MAMPUKAH ZAHID MENONGKAH ARUS MASALAH YANG ADA KINI?
Keluarga, rakan-rakan dan orang Perak mungkin paling gembira dengan perlantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru menggantikan Muhyiddin Yassin yang dipecat pada Selasa lalu. Sejak merdeka, inilah kali pertama pemimpin dari Perak dianugerahkan jawatan kedua tertinggi itu dalam kerajaan.
Tentunya juga lebih ramai yang mengharapkan beliau tidak kecundang di tengah pendakian sebagaimana beberapa Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan seterusnya dapat menjadi orang Perak pertama berjaya menduduki puncak singgahsana Seri Perdana akhirnya.
Zahid sendiri barangkali kembang mekar hatinya ketika menerima perlantikan tersebut, walaupun menyatakan jawatan itu lebih berupa amanah berbanding hadiah. Perasaan dan ucapan seperti itu adalah normal kepada sesiapa saja.
Tetapi hakikatnya, Zahid sedang berdepan tugas paling sukar berbanding mana-mana Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Jika selama ini ramai yang melihat beliau sebagai pemimpin yang suka senyum dan ketawa, bebanan tugas berat yang menantinya tidak mustahil membuatkannya tidak sempat langsung mempamerkan wajah manisnya lagi.
Susunan tugas yang menantinya bukan saja berkaitan parti dan kerajaan yang sedang berhadapan dengan pelbagai isu, malah yang paling sukar bagi Zahid ialah mengembalikan semula kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.
Ia pula akan berterusan sehingga pilihanraya ke 14 yang bakal menentukan sama ada UMNO mampu kekal berkuasa atau hilang segala-galanya.
Isu 1MDB dan wang RM2.6 bilion adalah isu yang paling menghenyak Najib dan meskipun sandaran boleh diletakkan kepada pasukan petugas khas menanganinya, mengubah persepsi rakyat yang tidak memihak kepada UMNO dan kerajaan adalah tugas paling utama bagi Zahid.
Ia memburuk kerana serentak dengan pemecatan Muhyiddin, Najib juga menyingkirkan Peguam Negara daripada jawatannya dan menggula-gulakan empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC dengan jawatan menteri dan timbalan menteri.
Sesiapa saja, termasuk makcik Felda dan pakcik-pakcik kampung yang melepak di kedai kopi tentunya tidak sukar memahami bahawa tindakan Najib itu adalah semata-mata untuk menyelamatkan dirinya dan menjadikan siasatan terhadapnya tergendala serta tertangguh jadinya.
Bagi mereka, Muhyiddin dipecat kerana kerap menegur 1MDB dan mahukan penjelasan mengenai wang RM2.6 bilion, Peguam Negara disingkir dan digantikan dengan orang lain kerana sedang mengetuai pasukan petugas khas manakala PAC pula dipecahkan berikutan sedang dalam proses memanggil beberapa individu penting bagi mendapatkan keterangan seperti Arul Kanda Kandasamy, Jho Low dan lain-lainnya.
Semua perlakuan ini menjadikan Najib sebagai watak yang begitu "hitam" di mata rakyat. Di tambah dengan pelbagai isu lain seperti GST, kos sara hidup, hutang negara, urus tadbir kerajaan, Rosmah dan sebagainya, harus diakui kedudukan Najib di mata rakyat sedang terperosok ke sudut paling rendah sekarang ini.
Ucapan dan kata-kata Najib bukan saja tidak diyakini lagi, bahkan rakyat secara perlahan-lahan sedang menjauhinya yang dilihat semata-mata dapat bertahan kerana kuasa masih ditangannya, tetapi bukan lagi sebagai kepimpinannya melekat di hati rakyat. Legasinya sebagai anak Tun Razak pula mula dijadikan perbandingan.
Sebab itu, meskipun selepas memecat Muhyiddin dan menyusun kabinetnya, kedudukan Najib langsung tidak menjadi lebih baik atau meningkat. Beliau masih kecundang dalam persepi rakyat yang menolaknya.
Ini menjadikan Zahid yang boleh dianggap berwatak "putih" kerana latar belakang pendidikan agama dan sokongan kuat dalam UMNO yang dimilikinya, mempunyai tugas yang jauh lebih berat dan sukar di hadapannya.
Ia bukan saja tentang bagaimana cara dan keupayaan "putih" untuk "memutihkan" watak "hitam" itu di mata rakyat, tetapi yang turut dibimbangi ialah kalau-kalau "putih" turut tenggelam dengan "hitam" yang kekal dengan onarnya yang tidak sebulu dengan kehendak rakyat.
Jauh lebih ditakuti juga kiranya "putih" akhirnya akan bertukar menjadi "kelabu" atau beralih kepada "putih kehitam-hitaman" dek kerana ketidakupayaan "memutihkan" warna "hitam" itu.
Berbeza dengan beberapa Timbalan Perdana Menteri era Tun Mahathir, meskipun ketika itu pergolakan turut berlaku dan jawatan nombor dua itu juga silih berganti, kelebihannya ialah watak bekas Perdana Menteri selama itu 22 tahun itu begitu kukuh dan mantap untuk terus berhadapan dengan rakyat.
Tun Mahathir tetap agresif memainkan peranan utama, manakala orang nombor duanya pula sekadar pembantu dan pelengkap saja. Kekuatannya ialah beliau tidak dihadapkan dengan skandal wang yang bersifat peribadi.
Namun sekarang ini, Najib dengan dakwaan berkaitan 1MDB, wang RM2.6 bilion dalam akaunnya dan RM2 juta yang didepositkan ke akaun isterinya, tidak saja meletakkan dakwaan itu bersifat peribadi, malah menjerunya menjadi pasif serta seakan hilang kekuatan moral untuk menjawab dan berhadapan dengan rakyat.
Sepertinya sekarang ini tugas itu terletak sepenuhnya di pundak Zahid sebagai timbalannya yang baru. Berjaya atau gagalnya Zahid melakukan tugas ini banyak terletak kepada kekuatan jati dirinya berpegang kepada kebenaran, meski bagaimana pahit sekalipun perkara itu kepada Najib.
Zahid, di mata rakyat tidak boleh terlalu membela, mempertahan atau memuji Najib sepertimana perlakuan Abdul Rahman Dahlan, Azalina Othman Said, Ahmad Maslan atau pengampu lainnya kerana perlakuan itu seperti menggali lubang kuburnya sendiri.
Tetapi beliau juga tidak boleh terlalu lantang dan terbuka sebagaimana Muhyiddin, meskipun dalam acara tertutup atau di depan ahli parti. Rakaman video curinya pasti akan tersebab nanti. Sekaligus, pemecatan juga bakal menunggunya kerana Najib terlihat sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasanya.
Dalam masa sama, memenangi hati rakyat demi masa depan UMNO juga menjadi tanggungjawabnya. Itulah sukarnya bila "putih"bertembung dengan "hitam", kecuali jika "hitam" dapat ditolak ke tepi atau ditiadakan sama sekali sebelum pilihanraya yang tidak sampai tiga tahun lagi tempohnya. - sumber
jika hendak memutihkan najib, dia kena kata najib baik, warak, tak pernah makan rasuah dan sebagainya .... tetapi itu semua adalah pembohongan.... siapa yang nak terima pembohongan macam itu .... puak umno pun dah serik kena kencing (rujuk wanita umno langkawi)...!!!!!! 2 X 5 le ..... lepas najib menipu dan berbohong, datang pula zahid menipu dan berbohong juga .......
ReplyDeleteDari petikan artikel ini '...Zahid yang boleh dianggap berwatak "putih" kerana latar belakang pendidikan agama dan sokongan kuat dalam UMNO yang dimilikinya...', sila tonton pautan di bawah ini untuk lebih tahu siapakah sebenarnya Zahid itu.
ReplyDeletehttps://www.youtube.com/watch?v=m4oi7h1NSB0
Anak jati Negeri Perak.