Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, February 1, 2017

Kalau hanya angan, apa salahnya?

Menang 40 kerusi: Sasaran Hadi tidak realistik
01 Februari 2017 | HUSEIN MAHAT
Sasaran Pas dianggap tidak realistik dan di luar kemampuan parti itu.

Kehilangan undi masyarakat bukan Melayu dan terhakisnya sokongan Melayu terhadap Pas menjadikan sasaran presiden parti itu untuk bertanding dan menang di 40 kawasan parlimen sebagai tidak realistik dan hanyalah harapan kosong.

Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sasaran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibuat berdasarkan sokongan pengundi kepada parti itu ketika menjadi komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 2013.

"Dalam konteks negeri Kedah sebagai contoh, sokongan ketika itu kepada Pas adalah Melayu (44%), Cina (sekitar 70%) dan India sekitar (50%).

"Tetapi hari ini Pas tidak lagi berada dalam pakatan ini, malah membentuk gagasan Blok Ketiga dengan perjuangan berteraskan Melayu-Islam," ujarnya.
Dr Ismail SallehDr Ismail SallehDr Ismail menambah, kesan ketara perubahan sokongan rakyat kepada Pas selepas keluar daripada Pakatan Rakyat dapat diukur dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar apabila parti itu hanya mendapat kurang daripada 3% sokongan pengundi Cina serta kehilangan sokongan pengundi Melayu secara drastik.
Tambah beliau, dua kajian yang dibuat selepas itu menyokong perubahan sokongan rakyat kepada Pas iaitu Ilham Centre yang diterajui Hishomudin Bakar dan I-CPI oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
"Dapatan dari kedua-dua kajian itu hampir sama iaitu sokongan semasa orang Cina kepada Pas kurang dari 3% manakala sokongan Melayu kepada Pas kurang dari 25%.
"Malah unjuran sokongan semua bangsa kepada Pas di masa akan datang semakin menurun," jelas bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu.
Menurut beliau, dengan sokongan 25% pengundi Melayu dan 3% pengundi Cina, Pas tidak akan memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) mahupun parlimen di seluruh negara.
Sehubungan itu, tambah beliau, harapan Pas untuk mengambil semula Kedah dan Terengganu serta bertahan di Kelantan adalah harapan kosong yang tidak realistik, malah daripada kajian itu menunjukan Pas juga akan kehilangan Kelantan.
"Pemikiran perkauman Abdul Hadi jelas terpancar apabila beliau membuat perkiraan 89 kerusi parlimen pembangkang semasa yang terdiri dari 39 Melayu dan 50 bukan Islam.
"Beliau lupa ini berlaku ekoran daripada majoriti kerusi Melayu dimenangi oleh Umno. Sudah tentu statistik kerusi ini akan berubah dalam PRU akan datang kalau kerusi-kerusi Melayu yang ditandingi oleh Umno dan Pas dimenangi oleh juga calon Melayu dari PKR, Amanah mahupun DAP.
"Akhirnya komposisi dalam parlimen merangkumi lebih 65% Melayu, cuma bezanya ketika itu Melayu itu tidak lagi Melayu Umno atau Pas tapi Melayu dari Pakatan Harapan dan Bersatu (PPBM)," jelas beliau.
Sasaran pilihan raya Pas itu diumumkan Abdul Hadi pada sidang media sempena Majlis Taklimat Khas Presiden dan Dana Sumbangan Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, baru-baru ini.
Abdul Hadi mengumumkan kesediaan Pas untuk bertanding di 40 kawasan parlimen, mempertahankan Kelantan, kembali memerintah Terengganu dan Kedah serta menerajui pemerintahan di Selangor.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa