Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, February 2, 2017

Pakatan Harapan akan kalah banyak kerusi pada PRU14

Amanah,PPBM ganti peranan Pas di Selangor
01 Februari 2017 | MALAYSIA DATELINE

Penganalisis politik menjangkakan peranan Pas di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan terancam ekoran perkembangan pengaruh Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib  berkata, Pas mustahil untuk menguasai Kedah dan Terengganu manakala di Kelantan barangkali mampu bertahan.

“Untuk PRU 14, Pas mungkin boleh kekal kuasa di Kelantan, tetapi ingin berkuasa di Kedah dan Terengganu tidak realistik. Pas juga semakin jauh dari magnet kuasa di Selangor. Kini Amanah dan PPBM  dilihat akan ganti peranan Pas di Selangor,” ujarnya dipetik Sinaronline semalam.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat Pakatan Harapan akan kalah banyak kerusi pada PRU14 akibat pergolakan politik yang melanda gabungan tersebut mutakhir ini tetapi masih berupaya memperoleh sokongan pengundi Cina di kawasan bandar.

Berbanding Pas, ujarnya, maruah parti tersebut akan terjejas jika memilih pendekatan untuk kekal bersama Pakatan Harapan dalam blok pembangkang pada PRU14 nanti.

“Secara aplikasi dan logik politik, kerusi Pas jika bersama Pakatan Harapan akan menyusut kerana perlu berkongsi dengan Amanah dan juga PPBM,” jelasnya.

Sehubungan itu, Pas katanya, lebih baik bersendirian daripada membuat pusingan U menyertai Pakatan Harapan yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP dengan kesemuanya masih bersefahaman dengan PPBM untuk menjatuhkan Umno-BN pada PRU14.

“Adalah lebih baik Pas mengambil pendirian berdikari berbanding membuat ‘U-turn’ dengan menyertai Pakatan Harapan, apatah lagi jika Pas berhajat mahu menggantikan Umno, ia lebih mustahil," ujarnya.

Beliau menyarankan Pas pada masa ini memberi tumpuan untuk bertindak tegas menolak kerjasama bersama golongan pemberontak dalam Pas yang dilihat pro-DAP termasuk melalui wadah Amanah.

Mengulas sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi Parlimen pada PRU14 pula, Md Shukri menasihatkan parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu harus realistik dalam merangka pelan tindakan politik parti mengikut situasi semasa.

Hal ini, katanya, termasuk mengambil kira isu protes senyap dalam kalangan ahli Pas tidak terkecuali dalam kalangan kepimpinan parti berkenaan.

"Jadinya usah buai perasaan ahli parti dengan impian kosong. Sejarah kemenangan Pas pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) pun tercalar akibat dilema tukar parti," ujar Md Shukri.

Abdul Hadi pada Majlis Taklimat Khas Presiden dan Dana Sumbangan Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar dilapor pada 29 Januari lalu berkata, partinya meletakkan target untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada PRU14.

Ahli Parlimen Marang itu juga bertegas untuk mempertahankan Kelantan dan Selangor selain memerintah semula Terengganu dan Kedah atas tanggungjawab parti tersebut mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah.

 Pas bersendirian lebih baik?

Untuk rekod, Pas hanya memerintah Terengganu sepenggal iaitu pada 1999 hingga 2004 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999 ketika era Reformasi dan hasil berada dalam Barisan Alternatif bersama PKR, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Rekod pemerintahan Pas di Kedah juga sepenggal selepas PRU ke-12 (2008) ketika parti itu berada kesepakatan gabungan parti pembangkang sebelum dirampas kembali BN pada PRU ke-13 (2013) walaupun sokongan kepada BN dilihat banyak pihak merudum.

Bahkan, Pas di Kedah pada PRU13 hanya menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ketika BN menang majoriti mudah dengan menguasai 21 daripada 36 kerusi manakala PKR dan DAP masing-masing menang empat dan dua kerusi.

Prestasi Pas secara keseluruhan juga menyaksikan parti itu gagal memenangi banyak kerusi Parlimen apabila bersendirian seperti dibuktikan pada keputusan PRU 1978 dan 1982 dengan hanya menguasai lima kerusi manakala hanya meraih kerusi tunggal pada PRU 1986.

Berbeza apabila berada dalam kesepakatan parti pembangkang lain, Pas mencatat prestasi paling baik pada PRU 1999 dengan memenangi 27 kerusi diikuti PRU 2008 (23) dan 21 kerusi pada PRU 2013.
Pas gagal menang lebih banyak kerusi apabila bersendirian. Sumber: Internet

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa