Polis buka kertas siasatan dakwa pukul
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2013
ALOR SETAR - Polis telah membuka kertas siasatan menyiasat dakwaan seorang wanita dari kampung Tok Kesop, Jitra yang mendakwa suaminya dipukul polis ketika berada dalam tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, lelaki itu telah ditahan reman pada 11 Disember lalu untuk membantu siasatan kes rogol dan pemerasan membabitkan seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun.
“Suaminya merupakan suspek kes berkenaan mengikut laporan dibuat pengadu, polis telah menangkapnya dan ditahan reman selama 12 hari.
“Bagaimanapun, ketika dalam tempoh tahanan reman pada 12 Disember lalu, selepas dia melawat suaminya di lokap, dia mendakwa suaminya telah dipukul. Ekoran daripada laporan itu, kita telah membawa suaminya ke Hospital Jitra pada hari sama untuk pemeriksaan,” katanya.
Menurutnya, pada 18 Disember lalu, kira-kira jam 6.40 petang, suspek memaklumkan mengalami lemah-lemah badan sebelum dibawa ke Hospital Jitra untuk pemeriksaan.
“Pada 22 Disember, kira-kira jam enam petang, suspek sekali lagi memaklumkan mengalami lemah-lemah badan. Kita bawa semula dia ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati dia mengalami berak berdarah.
“Pada hari sama, kira-kira jam 10 malam, suspek telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Suspek kemudiannya dibebaskan pada 23 Disember lalu dengan jaminan polis,” katanya.
Nashir berkata, sepanjang berada di HSB, suspek telah menjalani dua kali pembedahan kerana ada masalah jangkitan kuman pada dubur.
“Selepas pembedahan kali pertama, buah zakar suspek secara tiba-tiba membengkak dan doktor terpaksa membuat pembedahan untuk kali kedua. Selepas pembedahan itu, mangsa mengalami koma sehingga sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan suspek telah dipukul polis semasa dalam tahanan reman, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
Laporan berkaitan: Dakwa suami didera polis
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa