Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, January 16, 2014

Hanya Yang Yakinkan Kuasa Allah Saja Yang Percaya!

Peguam muslim menulis: Undang-undang syariah gerunkan penjenayah
Mohd Ihsan Mohamad Daud
Hukuman hudud, qisas dan ta’zir mampu kekang kadar jenayah
Kebimbangan rakyat terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini sangat merunsingkan semua pihak. Mereka ada asas untuk berasa sedemikian kerana kejadian tembak-menembak dan pembunuhan berlaku hampir setiap minggu.

Senario ini amat membimbangkan hingga mendatangkan ketakutan dalam kalangan masyarakat di negara ini serta perubahan gaya hidup yang drastik. 
Jika dilihat sejarah masyarakat Malaysia terdahulu, nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan diamalkan oleh orang-orang tua seperti bekerjasama serta saling mengambil berat semakin dilupakan generasi zaman kini. 

Kini, ramai jiran yang tidak mengenali sesama mereka, jauh sekali mengambil berat aktiviti anak jiran. Masyarakat kini bersikap individualistik di samping sibuk mengejar kekayaan dan kesenangan.

Kecanggihan sistem komunikasi juga tidak kurang hebatnya seperti telefon bimbit dan penangan laman sosial merenggangkan lagi hubungan yang seolah-olah memberi gambaran setiap ahli keluarga tunduk kepada tarikan laman sosial serta alat komunikasi serba canggih.

Pemilihan gaya hidup seperti ini tidak harus dipersalahkan kerana kebiasaannya keselamatan keluarga diberikan penekanan tinggi.

Peningkatan jenayah 

Statistik peningkatan kadar jenayah yang tinggi menyebabkan undang-undang yang sifatnya sebagai ‘senjata’ sudah tidak digeruni penjenayah. Tidak keterlaluan jika dikatakan membunuh, merompak dan merogol dilihat sebagai perbuatan tidak ditakuti kerana lemahnya penguatkuasaan undangundang.

Bahkan, melanggar undang-undang juga akan menjadi perkara biasa jika gejala ini tidak dibanteras dari sekarang.

Pihak pendakwaan juga dalam banyak keadaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah lebih-lebih lagi jika penjenayah melantik peguam yang sangat mahir berkenaan selok-belok perundangan jenayah.

Dalam keadaan itu, penjenayah mempunyai peluang dan ruang yang luas untuk dibebaskan mahkamah atas sebab teknikal atau sebagainya walaupun hakikatnya merekalah yang melakukan jenayah itu.

Perasaan gerun yang kian luntur ini membuatkan undang-undang yang berkuat kuasa tidak lagi dihormati dan tidak memberi kesan besar kepada mereka.

Langkah pencegahan juga perlu diperhebatkan bagi mendatangkan kegerunan ini.

Namun, ia hendaklah dilakukan dengan telus supaya tidak menimbulkan sebarang elemen tohmahan sekali gus merendahkan integriti pihak berkuasa.

Seperti yang digagaskan syariat Islam, undang-undang Islam yang memperuntukkan hukuman berat dan menggerunkan mampu mengurangkan kadar jenayah. Lihat saja di Arab Saudi, kadar jenayah di negara itu sangat rendah sehingga peniaga langsung tidak mempunyai perasaan syak mahupun takut barang diniagakan dicuri atau dirompak.

Hukuman beri impak

Mereka hanya menutup barang diniagakan menggunakan kain saja apabila tiba waktu menunaikan sembahyang.

Situasi ini sangat berbeza dengan kita di sini yang terpaksa menggunakan kunci atau gril tebal untuk memastikan premis selamat daripada kecurian dan rompakan.

Dalam Islam, semua hukuman disyariatkan diklasifikasikan kepada tiga bentuk utama iaitu hudud, qisas dan ta’zir. Hukuman hudud secara jelas bersandarkan al-Quran serta hadis dan hukumannya juga amat menggerunkan seperti rejam, potong tangan atau sebatan.

Bentuk hukuman ini juga secara tidak langsung memberikan impak besar kepada masyarakat supaya tidak terjebak dalam perbuatan jenayah disebabkan hukuman berat itu. Walaupun begitu, hukuman menggerunkan bukanlah sewenang-wenangnya dijatuhkan oleh hakim syarie.

Kadar pembuktiannya jauh lebih tinggi daripada kadar pembuktian undang-undang sivil. Jika dalam undang-undang sivil, kadar pembuktian yang harus ditampilkan mestilah melampaui keraguan munasabah, untuk jenayah hudud pembuktian mesti melampaui sebarang keraguan untuk disabitkan dengan kesalahan itu.

Titik berat sifat ihsan

Menariknya dalam konteks perundangan Islam, penjenayah masih tidak terlepas daripada dikenakan hukuman hudud kerana terdapat juga peruntukan ta’zir bagi memastikan penjenayah tetap dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka pada kadar pembuktian lebih rendah.

Islam juga menitikberatkan sifat ihsan dalam ketegasan undang-undang. Contohnya, kepentingan mangsa dan keluarga mangsa dapat dibela dengan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam.

Konsep diyat dalam Islam memainkan peranan penting dengan memberikan pampasan sewajarnya kepada mangsa dan keluarga mangsa bagi meringankan beban atau penderitaan ditanggung disebabkan perbuatan jenayah dilakukan terhadap mereka.

Justeru, usaha mengekang kadar jenayah yang sentiasa meningkat perlu menggunakan pendekatan yang mengandungi elemen ‘gerun’ supaya penjenayah takut dengan hukuman bakal diterima jika disabitkan kesalahan.

Pada masa sama, segala tindakan pihak berkuasa mestilah telus dan adil dalam memastikan hak orang dituduh itu dipelihara serta kepentingan mangsa dan keluarga mangsa diberi perhatian sewajarnya.

Mengarusperdanakan Syariah sama ada dari segi konsep, falsafah mahupun undang-undang perlu diberikan perhatian bagi menangani gejala jenayah yang semakin berleluasa.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa