Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, January 17, 2014

'Sultan Melaka': Cuba Untuk Memahami Fikiran Lelaki Ini.........

‘Kelahiran semula’ Sultan Melaka
Jamilah Kamarudin | January 16, 2014

Istana Sultan Melaka tidak seperti yang terbayang dalam fikiran (Bahagian Pertama)

PETALING JAYA: Kemunculan individu yang menuntut hak dirinya diiktiraf sebagai Sultan Melaka ke-44 membuatkan ramai tertanya-tanya, adakah benar waris kesultanan Melayu kuno sudah kembali?

Didorong sifat ingin tahu, satu pertemuan segera diatur melalui ‘Menteri Pasola’nya, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Melaka menjejaki ‘Sultan’ yang sudah lama hilang sejak 500 tahun lalu.

Temu janji dibuat pada petang Jumaat, penulis dan jurukamera menuju ke Bandar Sri Gombak di daerah Batu Caves, dalam hati tak sabar mahu melihat istana tempat bersemayam ‘Sultan’ ini.

Ketika sampai ke tempat dituju mengikut alamat yang diberi penulis mula terdetik musykil, istana ‘Sultan Melaka’ tidak seperti yang terbayang dalam fikiran.

Terletak di deretan lot kedai seakan tempat pejabat biasa, kiri kanannya dikelilingi bengkel membaiki kereta yang bising dengan bunyi ketukan mesin dan deruman enjin.

Tauke-tauke Cina bengkel sekali-sekala memandang kami yang sedang berdiri menunggu di bawah lot premis, mungkin hairan dengan kehadiran tetamu yang membawa kelengkapan video dan kamera.

“Betulkah ini istana Sultan Melaka yang dimaksudkan atau aku yang tersalah tempat,” getus hati penulis .

Kira-kira tiga minit kemudian, seorang lelaki dalam lingkungan pertengahan umur segak berpakaian serba kuning seperti seorang raja Melayu, bersongkok dan keris terselit dipinggang, menuruni tangga membuka kunci pagar.


Kedatangan kami disambut mesra lalu dibawa kami naik ke tingkat satu.

Benda pertama yang dilihat adalah papan tanda ‘D.Y.M.M Sultan Melaka Darul Islam- Raja Kesultanan Melaka’ terpahat di luar pintu premis.

Kemudiannya kami dibawa masuk ke dalam di mana pintu hadapannya tercatat ‘Istana Kuning Seri Melaka dan Balairong Seri Melaka’.

Kelihatan seluruh dinding bangunannya dicat dengan warna kuning, papan tanda seakan darjah kebesaran juga digantung bersama beberapa potret dengan gaya seorang raja serta carta salasilah keturunan.

“Maaf, masuk istana kena buka kasut ya,” tegur lelaki itu kepada kami yang kelihatan teruja melangkah masuk ke balairong memerhatikan alat kebesaran dan keris panjang yang tergantung di sepanjang dinding.

Lelaki itu kemudian memperkenalkan dirinya Raja Noor Jan Shah Ibni Al-Marhum Yam Raja Tuah Shah dan membawa kami masuk ke dalam pejabatnya.

“Panggil saja Pak Engku,” katanya kepada penulis yang kekok dan keliru membahasakan diri untuk memulakan perbualan.

Di dalam pejabat Pak Engku ditemani isterinya yang mesra dipanggil ‘Mak Engku’, kelihatan usia lingkungan 30-an sibuk menjaga media sosial milik suaminya.

“Pak Engku tak pernah ada Twitter. Itu kerja orang lain yang sengaja nak aniaya orang.
“Pak Engku cuma ada akaun facebook rasmi ‘Raja Noor Jan Shah’ dan blog ‘sultanmelakadarulislam’, yang lain semua palsu,” tegasnya.

Penulis juga bertanyakan pasangan tersebut di mana ‘pembesar Melaka’ lain memandangkan hanya mereka berdua sahaja dalam istana.

“Mereka ada tapi kalau hari Jumaat lepas sembahyang biasanya mereka tak masuk pejabat,” Pak Engku memberi alasan.

Kami kemudiannya meminta persetujuan Pak Engku supaya sesi rakaman dimulakan atas singgahsana, untuk kesan tayangan gambar lebih dramatik.

“Tuanku adalah Sultan Ahmad Shah II, Sultan Melaka Darul Islam muncul pada 13 November 2005 setelah 477 tahun raja yang hilang tak dapat dicari,” katanya memulakan perbualan.

Dilahirkan di Perak pada tahun 1957, beliau mengakui sedar tentang keistimewaan keturunanya sejak kecil sehingga berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1973 memulakan hidup sebagai ahli perniagaan.

Menurutnya, ayahandanya sering berpesan supaya menuntut kembali takhta sebagai seorang raja namun kata-kata itu tidak diendahkannya sehingga beliau mendirikan rumah tangga dan mendapat seorang anak lelaki.

“Anak lelaki tuanku didapati sakit misteri, sakit luar biasa. Sakit kerana saka dan baka yang mengganggu keturunan.

“Pada tahun 1985 tuanku berkahwin lagi dan dapat anak lelaki yang tua (sulung) pun sakit juga, sakit yang tak dapat diubat.

“Tuanku pun kemudiannya menjelajah ke negeri lain mencari apakah rahsia disebalik anak yang menderita sakit misteri,” katanya.

Melalui kaedah tradisional, beliau kemudiannya diberi amaran beberapa pengamal perubatan yang ditemuinya supaya menerima ‘saka baka raja’ yang diwarisinya, jika tidak keturunannya akan ‘dimakan’ oleh saka tersebut.

Pada mulanya beliau enggan percaya tetapi atas desakan dan kesihatan anaknya yang semakin merosot beliau memulakan upacara mengangkat dirinya seorang raja.

“Jadi tuanku mula mengambil tanggungjawab seorang raja selepas dinasihati bomoh-bomoh dan pawang,” soal penulis.

“Ya, tujuan dia ambil balik atas penderitaan anak. Anak lelaki isteri tua mati, jadi kena ambil kalau tidak maka binasalah anak-anak,” katanya jujur.

Beliau kemudiannya memulakan upacara terjun ke dalam Tasik Pawa Janggi (dikenali sebagai Beting Beras Basah) di Bagan Datoh, Perak dengan bantuan pawang.

Upacara itu secara tradisinya dilakukan Raja Perak yang baru ditabalkan menjadi Sultan sejak pemerintahan pertama Kesultanan Perak, Sultan Muzaffar Shah I.

Setelah itu, beliau mula membuat tuntutan sebagai pewaris Kesultanan Perak pada tahun 2001, namun permohonanya untuk menjadi ‘Raja Muda’ dan ‘Raja Kechik Bongsu’ ditolak oleh Dewan Lembaga Perak.

“Setelah gagal dapatkan takhta di Perak jadi Tuanku beralih pula ke Melaka,” soal penulis.
“Ya betul! Setelah gagal dalam urusan tuntutan Perak Tuanku baru terfikir bahawa Tuanku juga suku sakat keturunan raja (Melaka) dulu.

“Mungkin tidak ada rezeki di Perak jadi Tuanku hala diri ke Melaka sebab raja (Perak) asal keturunan di Melaka,” katanya.

Beliau juga mendakwa dirinya adalah ‘kelahiran semula’ Sultan Parameswara apabila fasih berbahasa Tamil dengan lancar.

“Tak pernah belajar cakap Tamil, dia datang secara tiba-tiba. Tubuh badan saja baru tapi pikiran dan roh ini lama,” katanya.

Raja Noor Jan Shah pada 14 Januari lalu ditahan polis  di Jeti Anjung Batu, Serkam, Jasin di Melaka ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar dipercayai bagi menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali “Kesultanan Melayu Melaka”.

Polis kemudiannya memperoleh perintah Mahkamah Ayer Keroh untuk menahan reman beliau selama empat hari sehingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut  Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948

‘Sultan Melaka’ pertahan surat ICJ (siri kedua)
Jamilah Kamarudin | January 17, 2014

Beta cuma pewaris takhta untuk membetulkan manusia yang tidak betul

PETALING JAYA: Seronokkah jadi raja? Dapat apa kalau diiktiraf jadi raja dan perintah Melaka? Wang? Penghormatan? Kemasyhuran? Harta karun?

“Ini bukan pasal harta (juga) bukan kerana harta dan wang ringgit.
“Kalau boleh beta tak nak jadi raja. Bukan seronok pun.

“Beta cuma pewaris takhta dan keturunan sultan, khalifah untuk memimpin dan membetulkan manusia yang tak betul.

“Sekarang ni payah nak cari orang yang betul.
“Beta yakin kebenaran akan kembali semula,” kata Raja Noor Jan Shah Raja Tuah kepada penulis yang semakin berkerut dahi memahami salasilah keturunan Parameswara versi ‘Sultan Melaka’ ini.

Walaupun menjadi raja sejak 9 tahun lalu, beliau menggambarkan kehidupan sehariannya sama seperti rakyat biasa lain, makan dipinggan minum dicawan. Makan nasi cuma sehari sekali.

Mengakui hidup sebagai seorang raja yang tidak bergaji dan terabai, beliau juga menafikan terima sebarang peruntukan daripada kerajaan atau mana-mana pihak bagi menanggung hidupnya dan menguruskan ‘istana’.

“Ini semua belanja sendiri. Sedangkan ulat dalam batu pun boleh makan inikan pula tuanku sendiri. Ada cara untuk tuanku cari rezeki,” katanya.

Keyakinannya sebagai ‘Sultan Melaka’ yang sah semakin bertambah selepas mendakwa mendapat pengiktirafan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melalui surat bertarikh 25 November 2013.

Beliau mendakwa tuntutan ke ICJ dibuat sejak tahun 2005, beberapa dokumen dan maklumat diberi kepada ICJ untuk membuktikan dirinya ada darah keturunan Kesultanan Melaka.

Namun akuinya, beliau sama sekali tidak pernah ke ibu pejabat ICJ di Belanda sebaliknya melalui ‘orang tengah’ yang menguruskan prosedur tuntutan tersebut.

“ICJ mendapati setelah dikaji mengikut salasilah tuanku benar dan sebagai seorg raja maka berhak diberi tempat.

“Permaisuri Elizabeth di England kemudiannya mengarahkan ICJ bagi pengiktirafan melalui surat yang dikeluarkan 25 November,” katanya.

Beliau juga mendakwa salinan pengiktirafan itu telah dihantar kepada Yang diPertuan Agong, Majlis Raja-Raja (MRR), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Menteri Melaka Daruk Seri Idris Haron dan Yang Di-Pertua Melaka Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Mohd Khalid Yaakob.

“Salinan dihantar untuk pemberitahuan dan diambil tindakan bahawasanya hendaklah mengesyorkan beta sebagai Sultan Melaka dengan arahan ICJ,” katanya.

Tuntutan menjadi semakin sulit. Jika benar sekalipun terbukti dia adalah keturunan raja yang sah, persoalan utama wajarkah sistem beraja di Melaka dihidupkan semula sedangkan empayar Kesultanan Melayu Melaka sudah lama lenyap sejak tahun 1511?

Bagaimana pula dengan sistem undang-undang dan Perlembagaan negara sekarang?
“Perlembagaan boleh buat. Tiada masalah. Macam kita tubuh syarikat, kita susun balik kerajaan ini.

“Sebab tu apabila tuanku diiktiraf mahkamah dunia bersama peruntukan yang diberi maka dengan peruntukan itu akan membentuk Kesultanan Melayu Islam Melaka.

“Kerajaan Kesultanan Melaka Darul Islam akan dibentuk, dengan peruntukan itu juga akan dibuat pembangunan dan membantu rakyat di Melaka,” katanya.

Beliau bagaimanapun meluahkan kekecewaannya terhadap respon Idris Haron yang kelihatan seperti mempersendakan tuntutannya.

Tegasnya, kuasa lantikan raja bukan terletak ditangan menteri dan Idris sebagai seorang rakyat biasa tidak berhak menjatuhkan martabat serta mencampuri urusannya.

“Kamu (Idris) kena keluarkan kenyataan minta ampun dan maaf kepada beta sebagai seorang raja berdaulat di muka bumi Tuhan ini.

“Jangan sesekali persendakan darjat dan martabat seorang raja,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Raja Noor Jan yakin salah seorang daripada 12 anaknya yang lain akan menyambung perjuangannya jika tuntutannya sekarang menemui jalan buntu.

“Mudah-mudahan dengan izin Tuhan tuanku akan bertakhta sebagai Sultan Melaka ke-44 dan akan menjaga semua rakyat termasuk Melayu, Cina, India dan berbuat baik kepada semua orang, baru dikatan raja berjiwa rakyat,” katanya tersenyum yakin.

Raja Noor Jan Shah pada 14 Januari lalu ditahan polis  di Jeti Anjung Batu, Serkam, Jasin di Melaka ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar dipercayai bagi menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali “Kesultanan Melayu Melaka”.

Mahkamah Ayer Keroh kemudiannya mengeluarkan perintah tahanan reman beliau selama empat hari sehingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Laporan FMT pada 11 Januari turut mendapat pengesahan bahawa pihak ICJ tidak pernah mengendalikan sebarang tuntutan kes yang membabitkan individu bernama Raja Noor Jan.

Wawancara ini diadakan sebelum Sultan Melaka ditahan polis.

1 comment:

  1. Suruhlah sekali Raja Azlan tu g mandi upacara beras beting tu..

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa