Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, December 12, 2014

Ali cerminkan keadaan negara?

Pemberian suaka ke atas Ali cerminkan keadaan negara - Ambiga
Haider Yutim,Astro Awani |Kemas kini:Disember 12, 2014
(Diterbitkan pada: Disember 12, 2014 13:05 MYT)

Pemberian suaka ke atas Ali cerminkan keadaan negara - Ambiga
Ambiga berkata kerajaan perlu mula memikirkan persoalan mengapa Ali lari ke Sweden.
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan berkata pemberian suaka politik oleh Sweden ke atas aktivis politik, Ali Abdul Jalil mencerminkan keadaan sebenar negara kita.

Beliau juga menggesa kerajaan memikirkan sebab mengapa Ali yang melarikan diri ke negara itu, merasakan dia perlu meninggalkan Malaysia.

"Soalnya kenapa dia merasakan bahawa dia perlu tinggalkan (negara), dan saya rasa kerajaan perlu mula memikirkan persoalan itu," kata Ambiga pada forum 'Freedom of Expression' sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Ali melalui laman Facebook miliknya pada Selasa telah mendakwa mendapat kad suaka politik yang menjamin perlindungan daripada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Dublin, dan tidak lagi tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.

"Sekarang aku pegang kad asylum, bawah undang-undang PBB dan perjanjian Dublin, aku tak tertakluk di bawah undang-undang UMNO dan Sultan," katanya seperti yang dipetik dari laman Facebooknya itu.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin melalui Twitterya telah menyelar Ali sebagai respon terhadap 'penganugerahan' suaka politiknya itu.

 
Kenyataan Khairy itu telah mendapat kritikan pelakon dan pengarah Instant Cafe Theater, Jo Kakuthas yang menyifatkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu sebagai 'amat menganggu'.

"Bahasa sebegini amat menganggu kerana ia datang dari ahli politik... dan ia tidak harus digunakan kerana jika seseorang itu berkata ia adalah haknya untuk membuat pilihan tersebut, dan ia harus dihormati," katanya.

Suaka politik merupakan keadaan di mana seseorang yang dianiaya di negaranya sendiri mendapat perlindungan oleh negara berdaulat yang lain di bawah PBB.

Ali sebelum ini menghadapi tiga tuduhan hasutan kerana didakwa menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor dalam postingnya di Facebook.

Beliau juga ditahan polis di penjara selama 22 hari sejak 8 September dan dibebaskan kemudiannya pada 29 September.

Dia kemudiannya melarikan diri ke Stockholm, Sweden selepas berjaya keluar dari Malaysia menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Danok.  

Terbaru, pasport Ali dan juga penulis blog kontroversi, Alvin Tan telah dibatalkan dan kini kedua-dua individu tersebut sudah disenarai hitam di dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata langkah itu perlu dibuat sebagai amaran kepada individu yang melanggar undang-undang negara serta mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Selain itu, mereka juga diminta hadir di Jabatan Imigresen Malaysia atau Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat untuk menyerahkan pasport masing-masing.

Penarikan pasport Tan dan Ali merupakan kes pertama dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa