OLEH JENNIFER GOMEZ
Published: 14 December 2014
Empat tahun selepas mayat Dr Sebastian Joseph ditemui di Pulau Langkawi, keluarganya masih berharap punca sebenar kematiannya akan diketahui. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 Disember, 2014.
Ibu kepada seorang doktor yang mati secara misteri di Langkawi empat tahun lalu mahu mayat anaknya digali semula untuk mendapatkan jawapan kepada punca kematian beliau.
Santaamal Philip, 55, juga mahu inkues diadakan berikutan bedah siasat pertama yang memberi punca kematian sebagai "tidak diketahui".
Beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Alor Star bulan lepas untuk menggali kubur mendiang Dr Sebastian Joseph yang ditemui mati di kuarters kerajaan di Padang Matsirat pada 17 November 2010.
Dia memberitahu The Malaysian Insider tempoh empat tahun lalu adalah suatu tempoh penuh ujian kepada keluarganya, dan pengalaman pahit itu menjejaskan kesihatannya dan suami Joseph Anthony, seorang pemilik kedai sukan, dan kerap jatuh sakit.
Di samping itu, ramai peguam tidak sanggup mengambil kes itu pada mulanya, sehingga mereka beralih kepada pertubuhan bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk bantuan.
Suaram menghubungkan mereka dengan peguam M. Visvanathan, yang bertindak sebagai wakil pihak mereka.
Keluarga ini tidak sabar menunggu perbicaraan pada 29 Disember apabila mereka akan mendedahkan apa yang didapati berikut kematian tidak wajar Dr Sebastian.
Santaamal berharap ia akan menjawab segala persoalan – sama ada kematian mengejut anaknya hampir empat bulan selepas ditugaskan sebagai pegawai perubatan ke Klinik Kerajaan Kuah di Langkawi, melibatkan unsur jenayah.
Sebulan sebelum kematian Dr Sebastian, Santaamal membantunya mengemas kuarters lima biliknya, dan berkata dia berkongsi beberapa cerita "mengganggu" yang berlaku di tempat kerjanya.
Enggan mengulas lanjut, Santaamal hanya akan mengatakan ia mempunyai kaitan dengan ramai pesakit di klinik kesihatan itu diberi Panadol untuk segala macam penyakit.
Pegawai perubatan berusia 30 tahun itu juga memberitahu ibunya, pelbagai jenis ubat-ubatan yang didiskripsikan olehnya tidak terdapat di farmasi klinik, dan dia mahu melaporkan perkara itu kepada pihak atasan.
"Tetapi selepas dia memberitahu bosnya yang berjanji meneliti perkara berkenaan, dia dihantar ke merata tempat di pulau itu untuk kursus dan kira-kira seminggu selepas pulang daripada kursus, dia ditemui mati," katanya.
Mayat Dr Sebastian ditemui dalam keadaan merangkak dengan tangannya menggenggam, yang disifatkan keluarga dan pakar-pakar lain yang dirujuk mendakwa ia adalah kedudukan luar biasa bagi kematian biasa.
Seorang lagi anak Santaamal, Kalliegan Anthony berkata dia juga mempunyai maklumat yang memerlukan inkues diadakan kerana dia belajar di sebuah sekolah penerbangan di Langkawi manakala abangnya bekerja di klinik di pulau itu.
Dia hairan walaupun abangnya meninggalkan klinik sewaktu makan tengah hari pada 15 November dan tidak pernah kembali, tiada sesiapa di klinik mencari sehingga dia ditemui mati dua hari kemudian.
Juruterbang itu melaporkan kehilangan abangnya selepas beberapa panggilan ke telefon bimbitnya tidak dijawab.
Santaamal berkata keluarganya juga terpaksa berhadapan gosip di pulau itu mengenai kematian anaknya, ada yang mendakwa dia mengambil dadah sementara yang lain berkata mungkin kerana mabuk.
"Kemudian mereka mula berkata 'santau', kita tidak tahu perkataan itu sehinggalah kini dan kami hairan, dia berada di sana hanya empat bulan, siapa yang mahu berbuat demikian kepadanya," kata Santaamal sambil menangis.
Tidak dapat menerima khabar angin itu, dia menceritakan bagaimana Dr Sebastian berjaya menyentuh hati ramai orang dalam masa yang singkat di Langkawi.
"Dia memberitahu saya tentang seorang bapa yang selalu datang mengambil Panadol untuk anak perempuan dan apabila anak saya mendesak membawa anak perempuannya ke klinik, dia mendapati anaknya itu menghidap leukemia.
"Tetapi apabila dia memberitahu bapa itu, dia berkata, hospital tidak menerima anaknya dan klinik hanya memberi ubat penahan sakit.
"Anak saya memasangkannya drip dan oksigen serta menghantarnya ke Hospital Langkawi dengan ambulans," katanya.
Santaamal berkata tiada siapa dari klinik, termasuk pihak atasan, berada di Lapangan Terbang Langkawi untuk menghantar mayat anaknya.
"Ramai penduduk bandar datang dan menangis di kerandanya, berkata dia banyak berjasa kepada mereka tetapi rakan-rakannya dari klinik tiada," tambahnya.
Dia juga berkata mereka diberitahu oleh seseorang di pulau akan ancaman terhadap keluarganya.
"Kami diberitahu jika sesiapa pergi ke Langkawi mencari jawapan kepada kematian Dr Sebastian itu, orang itu tidak akan keluar hidup-hidup," kata ibu Dr Sebastian lagi.
Dalam permohonan kepada mahkamah, Santaamal berkata bedah siasat terhadap Dr Sebastian dijalankan di Hospital Langkawi oleh Dr Muhamad Arif Mohamad Rasat, tetapi laporan itu menyatakan punca kematian sebagai "tidak diketahui".
Dalam afidavitnya, dia berkata doktor yang menjalankan bedah siasat itu bukan pakar patologi tetapi hanya pengamal perubatan.
Dia juga memohon perintah supaya bedah siasat kedua dijalankan oleh pakar patologi Australia, Dr Richard Byron Collins di hospital kerajaan terdekat, selepas mayat digali semula dari tanah perkuburan di Shah Alam.
Santaamal menamakan Ketua Balai Polis Kuala Teriang (di Pulau Langkawi) dan pendakwa raya sebagai responden.
Joseph memberitahu The Malaysian Insider keluarganya akan menerima jika anaknya mati atas sebab semula jadi.
"Tetapi terdapat banyak perkara yang tidak jelas, dan kami memperolehinya. Kami akan mendedahkan maklumat itu di mahkamah," katanya.
Menyedari proses mahkamah mungkin mengambil masa, Joseph berkata mereka hanya mahukan keadilan untuk anaknya dan kepastian untuk mereka sekeluarga. – 14 Disember, 2014.
Setelah membaca posting ini, terkenang pula pd seorang doktor etnik cina dari. Johor yg mati ditembak polis ketika berduaan dgn jururawat melayu HUKM, ketika isu arsenik DSAI dulu. Tentu ada sesuatu yg hendak disembunyikan.
ReplyDeleteSimpati sy kpd keluarga Santaamal diatas kematian anaknya yg banyak berjasa kpd masyarakat Langkawi.
ReplyDeleteislam mengajar kita berlaku adil walau pun mendatangkan mudarat kpd diri kita atau yg paling dekat kpd kita. islam amalan bani melayu ni tak tau la pula
ReplyDelete