Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dicapai selepas Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menambah jumlah pekerja asing dari negara Asia Selatan itu ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, pengambilan tersebut berikutan sektor perladangan di Sarawak memerlukan pekerja yang ramai sehingga mencecah 62,000 orang.

“Tambahan seramai 12,000 pekerja Bangladesh untuk sektor perladangan di Sarawak adalah permulaan kerana keperluan sektor pertanian di sana mencecah 62,000 orang dan sekiranya dapat menyesuaikan diri, kita akan timbang untuk tambah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Najib berkata, pada masa ini sebanyak 299,000 pekerja sah dari Bangladesh berkhidmat dalam pelbagai sektor antaranya pembinaan dan pembuatan.

Buat masa ini, pengambilan pekerja asing dari Bangladesh terhad untuk sektor perladangan di Sarawak dan sekiranya tiada sebarang masalah dari segi penempatan, Malaysia berhasrat mengambil lebih ramai tenaga kerja dari negara itu.

Dalam pada itu, Najib mengumumkan sebanyak empat projek melibatkan syarikat dari negara ini sedang dalam perbincangan dengan Bangladesh iaitu pembinaan loji penjanaan tenaga elektrik, perumahan, landasan kereta api dan pembinaan 'single point mooring'.

“Kita membincangkan penglibatan syarikat Malaysia di Bangladesh yang mana kita antara pelabur terbesar di sana selain penglibatan syarikat Axiata Group Bhd. dalam bidang telekomunikasi dan syarikat perubatan, KPJ Health Care Bhd. dari Johor. Ada empat projek lagi dalam pertimbangan.

“Semua projek ini dijangka dilaksanakan tidak lama lagi terutama dalam penjanaan tenaga elektrik yang pada masa ini sebanyak 80 peratus bekalan elektrik di Dhaka dijana oleh syarikat Powertech yang dimiliki oleh 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) serta MoU dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melaksanakan loji janakuasa sebanyak 1,320 megawatt (MW).

“Selain itu, kita juga membincangkan pembinaan sebanyak 8,400 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah, membekalkan 400 koc penumpang bagi Bangladesh Railways dan pembinaan 'single point mooring',” katanya.

Perdana Menteri berkata, Bangladesh berharap Malaysia dapat mengimport lebih banyak barang dari negara tersebut memandangkan jumlah import ke Malaysia hanya AS$136 juta (RM468 juta) berbanding nilai eksport ke sana yang mencecah AS$2 bilion (RM6.8 bilion).

Beliau berkata, cadangan tersebut mempunyai kaitan dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara dan Malaysia akan mengkaji kaedah supaya cadangan terbabit dapat direalisasikan.

Sementara itu Najib berkata, jumlah pelancong Bangladesh ke Malaysia mencatatkan peningkatan 60 peratus manakala 3,000 rakyat negara itu memilih negara ini dalam program Malaysia Rumah Kedua. - sumber