Published: 6 July 2015 9:51 PM
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berharap kemelut yang di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya diselesaikan demi kebaikan semua. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Julai, 2015.
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau kini tersepit di tengah-tengah kemelut antara dua pemimpin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad – kerana kedua-dua tokoh itu sedang "berperang" antara satu sama lain.
Berucap dalam satu program, yang mana rakaman ucapannya dimuat naik di laman blog Minaq Jinggo, Muhriz berkata, beliau mengambil pendirian mendiamkan diri kerana khuatir ada pihak yang akan terguris hati.
"Saya tersepit antara dua tokoh besar dalam negara, satu pemimpin, satu bapa sendiri. Dalam istilah Bahasa Inggeris, 'stuck between a rock and hard place', maksudnya dua-dua keras, kita duduk tengah-tengah, dalam Bahasa Melayunya, 'bila gajah berperang kita nak lari mana'," katanya seperti di dalam video klip berdurasi 10:44 minit itu.
Mukhriz bagaimanapun berkata, beliau mempunyai pendirian peribadi dalam isu yang berbangkit, namun demi kepentingan negara dan parti, serta orang Melayu, beliau memilih untuk mendiamkan diri.
"Saya ambil pendirian 'duk' senyap sahaja. Nak komen pandai-pandai, nanti ada yang terguris hati. Saya ambil pendirian untuk tidak mencelah.
"Secara peribadi tentunya saya ada pendirian. Tapi saya fikir apa kesan kepada parti, orang Melayu dan negara kita," katanya.
Dalam ucapannya itu, Mukhriz berkata, beliau mengharapkan agar apa sahaja kemelut yang berlaku di dalam negara ini akan berjaya diselesaikan.
"Tapi sabar pun ada hadnya, jadi bulan puasa ni paling sabarlah. Saya sangat mengharapkan, hari-hari berdoa, apa pun kemelutnya, akan terselesai, cara terbaik bagi kita, supaya ia tidak membawa mudarat kepada kita semua," katanya.
Selain itu, Mukhriz turut dilihat mempertahankan Dr Mahathir, apabila berkata, bekas perdana menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun itu tidak mungkin terlibat dan mempunyai kaitan dengan pemalsuan dokumen yang dilakukan Xavier Andre Justo, bekas pengarah PetroSaudi International yang ditahan di Thailand baru-baru ini.
"Pandangan peribadi saya sendiri, tak timbul langsung Dr Mahathir terlibat dalam menyeleweng atau nak tukar fakta, emel atau sebagainya. Itu dakwaan tidak adil.
"Terbaru sekali, terlibat dengan Justo yang dikatakan dalang di sebalik menukar dokumen-dokumen ini, dan kononnya Tun Mahathir terlibat. Itu dakwaan tak benar. Saya harap tak panjanglah cerita itu," katanya.
"Kalau ada pihak kata tidak adil buat dakwaan tak berasas kepada pucuk pimpinan, samalah dengan dakwaan kepada Dr Mahathir."
Beliau juga turut menyuarakan keyakinan apa yang dilakukan bapanya sebelum ini adalah untuk mengukuhkan parti.
"Saya percaya apa yang ayah saya lakukan itu untuk kuatkan parti," katanya.
Mukhriz turut dilihat menyeru agar semua pihak bersatu agar rakyat dapat melihat Umno bersatu demi kebenaran.
"Kita dituntut untuk melakukan beberapa perkara. Saya nak persoalkan apa pendirian kita mengenai tuntutan itu. Kita dituntut untuk bersatu. Agama kita pun tuntut kita bersatu. Tetapi bersatu mesti dengan niat yang baik. Niat itu penting.
"Kalau kita tak tahu sebab apa kita bersatu, penyatuan itu tidak berapa nak jadi. Kena ada prinsip, fahaman dan ideologi. Tak payah orang suruh pun kita akan bersatu. Adakah kita bersatu (kerana) kebenaran atau kebatilan," katanya.
Pada Jumaat, Najib menolak laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana 1MDB dipam ke dalam akaun peribadinya, dan meletakkan kesalahan berhubung laporan itu kepada Dr Mahathir, yang beberapa bulan kebelakangan ini menggesa beliau meletak jawatan.
Bagaimanapun, pemimpin pembangkang membidas Najib kerana membuat "penafian yang kabur", manakala WSJ berpegang teguh kepada laporannya, mengatakan ia berasaskan dokumentasi bukti yang kukuh.
Para menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menggesa perdana menteri untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ jika laporan itu tidak benar.
Tetapi Najib pada sidang akhbar semalam berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap WSJ dan sedang berunding dengan peguamnya. – 6 Julai, 2015.
Aait! Nak kesian buat apa? Mereka ni anak beranak memang pandai buat muka kesian untuk meraih simpati.
ReplyDeleteOrang politik. Klu nak meraih undi atau kedudukan tergugat.......cium kelengkang nyonya tua pun sanggup.
Delete