Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, February 1, 2017

'Mangsa' dua permainan?

Wednesday, 1 February 2017

ANNUAR MUSA "MANGSA" DUA PERMAINAN?

Apabila beberapa hari lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad memberi amaran "tunggu" kepada ahli-ahli politik yang korup, hampir tidak ada yang menyangka mangsa pertamanya ialah Annuar Musa.

Dengan kedudukan sebagai Ketua Penerangan UMNO, lebih-lebih lagi beliau dilantik ke jawatan itu menggantikan Ahmad Maslan di tengah-tengah kehangatan serangan oleh Tun Mahathir Mohamad terhadap Najib Razak, hukum akalnya beliau adalah tokoh pilihan dan tentulah akan sentiasa dilindungi oleh Perdana Menteri.

Jika pun beliau didapati melakukan apa-apa kesalahan yang ketara dan tidak boleh dilindungi, langkah yang biasa diambil ialah menasihatkannya berundur secara sukarela. Dengan yang demikian, bukan saja beliau akan diselamatkan, malah faktor jawatan yang disandangnya itu mungkin memberi kesan negatif kepada parti dapat dielakkan, selain yang lebih utama nama Perdana Menteri yang melantiknya juga akan turut terpelihara.

Tetapi, apa yang menimpa Annuar semalam memang mengejutkan dan luar biasa. Pertama kali dalam sejarah Mara, malah sejak Rida ditubuhkan,  Pengerusinya diperlakukan sedemikian rupa.

Annuar digantung tugas mulai semalam dalam satu mesyuarat khas tanpa kehadirannya yang diadakan ketika beliau berada di New Zealand menjalankan tugas rasmi selaku Pengerusi Mara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob yang bertanggungjawab kepada Mara, dalam kenyataan medianya mengatakan penggantungan itu adalah proses biasa bagi membolehkan audit dalaman menjalankan siasatan terhadap Annuar.

Pada lewat petang semalam pula, SPRM mengesahkan bahawa Annuar kini sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan penyelewengan berhubung tajaan oleh Pelaburan Mara Bhd dan UniKL kepada pasukan bolasepak Kelantan di mana Annuar dipercayai ada kepentingan di kedua-dua belah pihak.

Sebagaimana yang disebut dalam posting sebelum ini, maka kini tidak mustahil kepulangan Annuar di KLIA Khamis nanti akan disambut oleh pegawai-pegawai SPRM yang ingin menahan remannya, sekaligus menjadikannya ahli politik pertama yang ditahan sejak meletusnya skandal 1MDB.

Persoalan ramai, mengapa Ismail Sabri selaku menteri memberi kebenaran kepada Annuar diperlakukan sedemikian rupa sedangkan beliau sedar kedudukannya sebagai Ketua Penerangan UMNO dan merupakan antara orang kesayangan Najib?

Mengapa tidak Annuar dinasihatkan berundur secara baik,  jika pun beliau mahu dihadapkan kepada audit dalaman Mara atau mahu disiasat oleh SPRM?

Mengapa tindakan gantung jawatan, bahkan ketika beliau melakukan melakukan tugas rasmi menjadi pilihan yang tentunya memalukan dirinya, UMNO dan juga Najib?

Semua orang tahu Ismail Sabri Yaakob bercita-cita untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO akan datang. Di kalangan warga UMNO, keinginan Ismail Sabri itu bukan lagi rahsia, malah dalam program lawatannya ke beberapa negeri kebelakangan ini, beliau didapati "menyelam sambil minum air" dengan bertemu pemimpin-pemimpin UMNO di setiap negeri yang dilawatinya.

Sekiranya UMNO terus menang PRU 14, Zahid Hamidi sudah tentu akan mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sekarang dipangkunya. Dengan demikian, hanya tinggal Hishammuddin Hussein selaku penyandang Naib Presiden dan bermakna ada dua kekosongan bagi jawatan tersebut.

Jika Hishammuddin menentang Zahid pula, lagilah ketiga-tiga kerusi Naib Presiden ada kekosongan. Di sinilah Ismail Sabri merasakan beliau ada peluang untuk menempatkan dirinya di jawatan ketiga penting dalam UMNO itu.

Tetapi, Ismail Sabri bukanlah pemimpin yang benar-benar ada karektor untuk pergi lebih jauh dalam politik dan kerajaan. Beliau hanyalah pemimpin biasa-biasa saja. Sebab itu, beliau perlukan lonjakan untuk menjadikannya sentiasa popular dan diingati.

Lantang dalam isu Low Yatt, mewujudkan Mara Digital dan mengatur perjumpaan Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk menyatakan sokongan kepada Najib dalam isu 1MDB dan derma RM2,600 juta sebelum ini adalah antara langkah yang dipercayai dilakukan oleh Ismail Sabri untuk mempopularkan dirinya.

Baru-baru ini pula Ketua Setiausaha kementeriannya ditahan oleh SPRM atas dakwaan rasuah. Meskipun penahanan itu tidak melibatkan beliau, tetapi hubungan rapatnya dengan Ketua Setiausaha itu telah pun menjadi bualan ramai dalam UMNO sehingga dikatakan sanggup membawanya sama berpindah dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sekarang ini untuk bersama di bawah satu kementerian dengannya.

Apabila Annuar sendiri membuat dakwaan bahawa mesyuarat khas Ahli Majlis Mara yang menggantungnya semalam diadakan dengan restu menteri, tidak mustahil ia dalam masa yang sama juga bertujuan melonjakkan nama Ismail Sabri.

Dengan sebelum ini mengatakan kes tajaan kepada bolasepak Kelantan telah menjejaskan nama Mara, penggantungan Annuar pula dengan sendirinya mampu melonjakkan lagi nama Ismail Sabri dalam konteks memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam di bawah kementeriannya.

Namun, tidakkah  tindakannya itu seolah-olah "mengenakan"  Najib kerana Annuar adalah pilihan Najib sebagai Ketua Penerangan UMNO?

Sebagai menteri yang biasa-biasa, Ismail Sabri tidak mungkin berani bertindak luar biasa. Apa pun tindakannya, beliau mesti mendapat kebenaran daripada Najib terlebih dahulu. Mustahil Ismail Sabri ada kekuatan luar biasa untuk memberi kebenaran kepada Ahli Majlis Mara mengadakan mesyuarat khas untuk menggantung Annuar tanpa mendapat lampu hijau daripada Najib terlebih dahulu.

Jika begitu, kenapa Najib sanggup "mengenakan" Ketua Penerangannya sendiri?

Najib kini berdepan tekanan masyarakat berhubung isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang dikaitkan dengan dirinya. Setiap hari sokongan rakyat makin menyusut dan berkurangan terhadapnya.

Apabila Annuar, sebagai orang kanan UMNO sendiri disiasat, direman atau didakwa kemudiannya, tukang-tukang kompang akan mengatakan itulah buktinya Najib serius dalam menanangi rasuah sehingga orang kanannya dalam UMNO sendiri pun tidak dilindunginya.

Orang kampung, makcik Felda dan pakcik kedai kopi mungkin menerima logik sebegitu, lebih-lebih lagi jika dua atau tiga lagi ahli politik turut dijadikan mangsa selepas ini.

Dalam keadaan begitu, ia sedikit-sebanyak akan memutihkan watak Najib untuk menghadapi pilihanraya akan datang. Bermakna, dengan "menghitamkan" Annuar, Ismail Sabri dapat melonjakkan popularitinya serta dalam masa yang sama dapat pula "memutihkan" sedikit imej Najib di mata rakyat. 

Apalah sangat setakat Annuar kalau mahu dijadikan "mangsa", yang lebih penting ialah mesti menang pilihanraya. Selepas menang nanti, skrip dan jalan cerita boleh diubah semula. (SH 01/02/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 02:35

Komen dari blog:
  1. Sedikit option pd pendapat di atas.. ada kemungkinan ini permainan UMNO kelantan bilamana posisi anuar boleh menggugat dato' pa sbg ketua perhubungan negeri. So cara nak jatuhkan anuar terbuka bila Dato' Jazlan (MP machang) sebagai timbalan menteri di bawah ismail sabri.. dan MARA di bawah kementerian ini.. bila lagi nak kuburkan anuar musa.
    Perangai umno tetap perangai umno CUMA yg tersurat ialah bilamana ada raja melayu yg bersuara memecah tembelang menteri, kesan dia cepat pulak agensi kerajaan ambik tindakan..
    Jadi sebaiknya majlis raja2 bersuaralah untuk menangkap pokeMO1... ameen.
  2. Biar mereka tikam belakang sesama sendiri..kalau pencapaian najib makin merosot pada pru 14 nanti walaupun bn menang tipis, tak mustahil najib pula kena tikam belakang habis2an. Tapi yg kasihannya kehidupan rakyat jelata..makin hari makin malap. Pergi kerja balik kerja, kos kehidupan makin meningkat. Itu belum masuk pengangguran dan hutang. Belum masuk nasib peniaga kecil. Belum masuk hal lain spt bencana alam. Jika pembangkang menang pilihanraya, ambillah langkah drastik mansuhkan gst, rancakkan kegiatan ekonomi. Wujudkan peluang pekerjaan, bantulah mereka yg bekerja sendiri.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa