Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, February 5, 2017

Mengapa China berbeza

February 4, 2017
Sejarah mengajar yang kuasa besar sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran berpengaruh dan mengenakan kawalan hegemoni ke atas jiran mereka.
Oleh Dennis Ignatius
Terdapat satu hujah giat dipromosikan dalam usaha meredakan kebimbangan terhadap kemasukan kuasa China di Malaysia, iaitu dengan mengatakan China tidak berbeza daripada negara lain di dunia dan oleh itu ia tidak perlu dilayan berbeza.
Mereka yang membuat hujah ini menegaskan tiada perbezaan, sebagai contoh, antara pelaburan China dengan negara lain.
Mereka juga mempertikaikan mengapa tiada kebimbangan yang sama mengenai kedaulatan dan isu berkaitan apabila negara lain melabur di Malaysia, atau apabila warga asing menetap di bawah program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H).
Apakah benar China sama sahaja dengan negara lain?
Apa jua kebaikan atau keburukan menjalinkan hubungan ekonomi dan politik lebih rapat dengan China, satu perkara cukup jelas: Ia tidak seperti negara lain yang pernah berurusan dengan kita.
Sesungguhnya, China menimbulkan beberapa cabaran unik yang membezakannya daripada negara lain.
Kuasa besar
Pertamanya, China adalah kuasa utama di rantau ini.
Sejarah mengajar yang kuasa besar sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran berpengaruh dan mengenakan kawalan hegemoni ke atas jiran mereka.
Sama seperti Amerika Syarikat (AS) dan bekas Kesatuan Soviet berbuat demikian masing-masing di Amerika Selatan dan Eropah Timur.
Kerajaan yang menyokong dikekalkan; yang degil diganti. Selain itu, rangka kerja hubungan politik, ekonomi dan ketenteraan dibina untuk mengikat kawasan masing-masing kepada hegemon tempatan.
Semua interaksi ekonomi, diplomatik dan ketenteraan China setakat ini menampakkan China mengikuti corak yang sama dengan pertalian di Asia Tenggara.
Strategi “One Belt, One Road” (Obor), sebagai contoh, bukan hanya strategi pembangunan wilayah; keutamaannya membina geopolitik yang direka untuk membantu China menjamin kedudukan dominan di rantau ini, mengikat Asia Tenggara dalam hubungan ekonomi dan lain-lain.
Selepas semuanya lengkap, negara seperti Malaysia akan berkait dan bergantung sepenuhnya kepada China.
Langkah China meneutralkan keupayaan Asean untuk bertindak secara bebas daripada China, keputusan Hague yang menindas Filipina, pencerobohan agresif ke dalam perairan yang dipertikaikan, pengaruh yang semakin berkembang dalam urusan dalaman negara jiran, pasukan tentera yang bersedia di Laut China Selatan, juga menggambarkan agenda lebih luas serantau kuasa besar.
Tun Razak sendiri, arkitek perhubungan kita dengan China, menyedari bahaya ini dan berusaha membantu membina rangka kerja – Asean, Zon Aman, Bebas dan Berkecuali, Zon Bebas Nuklear Asia Tenggara, Aturan Pertahanan Lima, dan susunan pertahanan longgar dengan AS – untuk mengurangkan apa jua cita-cita China.
Malah kemasukan Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar dalam Asean didasarkan kalkulus yang sama.
Ini merupakan pendekatan yang berakal memandangkan kedudukan, kuasa dan cita-cita China.
Tiada campur tangan
China juga menimbulkan cabaran unik kepada integriti proses politik dalam negeri.
Menyedari potensi campur tangan hal ehwal dalam negara, dan bahaya kepada keselamatan negara dan perpaduan negara, Tun Razak berkeras dengan prinsip tidak campur tangan dan memastikan China juga begitu.
Dalam usaha menyenangkan China dan membuka pelaburan, pinjaman dan urus niaga, “dinding” kini beransur-ansur dibuka dengan kesan yang boleh diramal.
Walaupun prinsip tidak campur tangan diulang berulang kali, Kedutaan Republik Rakyat China (PRC) tidak memandang serius amaran pemimpin pembangkang yang mempersoalkan hala tuju hubungan Malaysia-China, atau memihak parti politik tertentu dengan kehadiran di persidangan dan acara politik berprofil tinggi.
Ia juga cuba meletakkan dirinya sebagai salah satu pecakap utama masyarakat Cina Malaysia.
Contohnya, pada minggu lepas, persatuan perdagangan tempatan membuat laporan polis terhadap perarakan yang dirancang persatuan Falun Xiulian Dafa (Falun Gong), sebuah badan berdaftar sah di Malaysia yang ditentang Beijing.
Menariknya, antara alasan yang diberikan adalah Falun Gong diharamkan di China dan perarakan mungkin menjejaskan hubungan Malaysia-China.
Semua persatuan Cina tempatan juga diseru menentang perarakan Falun Gong dan membuat laporan polis terhadap mereka.
Bahkan beberapa parti politik kita sekarang bertindak lebih seperti orang tengah Kedutaan PRC – menubuhkan urusan jawatankuasa PRC dan pusat Obor – daripada parti politik Malaysia.
Faham-faham sajalah, sekiranya sesuatu itu menjejaskan China, semakin besar kesannya makin terdorong ia mencampuri urusan dalam negeri.
Malah, kenyataan kedutaan baru-baru ini menyatakan ia “tidak akan membenarkan sesiapa sahaja menjejaskan….kerjasama 2 hala” boleh diambil sebagai amaran ia akan campur tangan jika perlu untuk melindungi kepentingannya.
Tambahan pula, berbilion ringgit dalam projek infrastruktur, urus niaga dan perdagangan yang dibawa China memberikan leveraj domestik yang hebat untuk mempengaruhi dan menjejaskan kesudahan.
Faktor etnik dan projek besar-besaran
Tiada gunanya berpura-pura etnisiti serta bilangan mereka tidak ada hubungan dengan projek pembangunan berskala besar seperti Forest City dan Bandar Malaysia yang sedang dibina syarikat berpangkalan di China dan dipasarkan hampir secara eksklusif kepada warganegara PRC.
Memandangkan saiz penduduk China, segala-galanya tentang China adalah besar – 10,000 pelajar sedang menuntut di Malaysia, 4 juta pelancong tahun ini.
Oleh itu, tidak mustahil kita tidak lama lagi akan menjadi tuan rumah kepada ratusan ribu penduduk warga PRC apabila semua bandar itu siap.
Sebaliknya, hanya 30,194 warga asing daripada beberapa negara berbeza diluluskan tinggal di Malaysia (portal rasmi Program Malaysia Rumah Keduaku) antara 2002 dan pertengahan 2016, dan mereka tersebar di seluruh negara.
Apakah implikasi keselamatan negara apabila adanya enklaf-enklaf PRC yang besar di Malaysia? Sejauh mana kesanggupan China untuk melindungi pelaburan, kepentingan dan keselamatan rakyatnya di Malaysia?
Tambahan pula, apakah bilangan besar warga PRC boleh diterima akar umbi Umno-PAS memandangkan etnik Cina Malaysia sendiri diburuk-burukkan secara konsisten dan digambarkan sebagai ancaman kepada kewujudan kuasa, agama dan budaya Melayu? Lambat laun akan ada respon negatif? Apa kesannya kepada hubungan antara kaum yang sedia ada tegang?
Bagaimana pula sistem imigresen kita yang gagal berfungsi akan menguruskan kebanjiran ratusan ribu penduduk sementara sedangkan ia mengawal sempadan negara dengan teruk sekali sehingga sekarang?
Manakala golongan berkepentingan cenderung mengecilkan isu-isu ini, kebimbangannya cukup nyata.
Jika projek seperti Forest City benar-benar untuk kepentingan negara, pihak berkuasa perlu bentangkan faktanya kepada rakyat – apa faedahnya, berapa ramai warga PRC yang dijangka mendiami pembangunan-pembangunan itu, apa status mereka, langkah yang akan diambil bagi memastikan projek pembangunan itu bersepadu sepenuhnya dengan masyarakat tempatan, apakah semua undang-undang dan peraturan berkaitan akan dipatuhi – dan sekurang-kurangnya bina suatu sepersetujuan umum bagi mengelakkan kesan sampingan di kemudian hari.
Kepentingan China didahulukan
China juga menonjol dari segi amalan perniagaan syarikat-syarikatnya dan kepatuhan mereka kepada dasar Beijing yang mengutamakan kepentingan ekonomi dan strategik China.
Banyak projek prasarana dan pembangunan perbandaran besar-besaran yang diusahakan PRC, sebagai contoh, biasanya merangkumi reka bentuk, pemerolehan, pembinaan dan perkhidmatan pengurusan.
Hampir semua sumber yang digemblengkan – teknologi, peralatan, bahan binaan, malah tenaga kerja – diperolehi dari China
dan memberi manfaat kepada syarikat dan pekerja yang berpangkalan di China. Malah, bahasa Mandarin menjadi bahasa perhubungan di tapak pembinaan.
Bagaimana amalan perniagaan seperti itu memberi manfaat kepada ekonomi tempatan? Adakah syarikat tempatan dipinggirkan?
Berapa banyak dan apa jenis pekerjaan yang benar-benar diwujudkan kepada rakyat Malaysia? Adakah projek ini benar-benar memberi manfaat kepada negara atau hanya beberapa kroni?
Adakah syarikat China dikecualikan daripada peraturan dan undang-undang mengenai pemindahan teknologi, pekerja tempatan, sumber tempatan bahan, dan lain-lain, yang menjadi piawaian kepada syarikat asing lain?
Kita perlu beri perhatian kepada negara-negara penerima projek besar China di benua Afrika yang kini mengadu mengenai beberapa isu ini.
Dan kemudian ada isu rasuah.
Indeks Pemberi Rasuah Transparency International 2011 menunjukkan syarikat China berada pada tempat ke-2 daripada senarai 28 negara dari segi kesediaan memberi rasuah.
Malaysia sekarang ini antara negara paling korup di dunia. Apabila 2 sistem rasuah berinteraksi dalam projek bernilai berbilion ringgit, yakinkah kita berbilion ringgit tidak akan disalurkan ke tabung peribadi atau digunakan untuk menggulingkan sisa baki demokrasi yang ada?
FDI atau pinjaman mudah?
Juga harus diperhatikan bahawa banyak projek besar seperti Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sebagainya dibiayai melalui pinjaman mudah, bukannya pelaburan langsung asing (FDI).
Memandangkan ia melibatkan jumlah biaya yang besar – semuanya dari sebuah negara, sebahagian besarnya dari kerajaannya sendiri – tidak lama lagi kerajaan China boleh muncul sebagai salah satu pemiutang terbesar kita.
Di negara-negara seperti Pakistan dan Sri Lanka, keberhutangan kepada China mengundang kesan mudarat – ditekan supaya menjual pegangan tempatan dalam projek yang dibiayai China, pajakan 99 tahun ke atas pelabuhan dan aset bernilai tinggi lain, akses istimewa kepada pasaran dan hak ke atas projek-projek tambahan dengan syarat-syarat yang memberikan keutamaan.
Mungkin ada hujah mengatakan sememangnya ada, pada hakikatnya, contoh pinjaman pemangsa di mana hutang digunakan untuk memerangkap negara kecil.
Ia seharusnya menjadi perhatian negara-negara yang kuat meminjam dari China.
Prasarana kritikal
China juga unik dalam tumpuan strategik terhadap sektor ekonomi yang kritikal. Tidak ada negara lain, sebagai contoh, terbabit dalam banyak projek pelabuhan di Malaysia secara serentak – Pelabuhan Kuala Kedah, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang (Pulau Carey), Pelabuhan Kuala Linggi, Pelabuhan Melaka, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Samalaju – dan dalam hampir setiap projek landasan kereta api baharu di negara ini.
Sebagai perbandingan, pelaburan dan kontrak besar lain membabitkan syarikat swasta bukan kerajaan yang berlainan dari negara berbeza dan tersebar di beberapa sektor yang berbeza.
Apakah implikasi ke atas keselamatan negara sekiranya sebuah negara, terutamanya yang mempunyai cita-cita geopolitik, dibenarkan untuk mendominasi prasarana pengangkutan kita?
Menariknya, negara-negara lain jauh lebih berhati-hati apabila ia melibatkan syarikat asing memperoleh kawalan ke atas prasarana kritikal.
Australia, contohnya, menubuhkan “Pusat Prasarana Kritkal” untuk menyelia aset-aset utama dan menilai sama ada bidaan yang diterajui entiti asing ke atas aset-aset utama termasuk grid elektrik dan pelabuhan menimbulkan sebarang risiko keselamatan kepada negara.
Laut China Selatan
Dan akhirnya, China juga satu-satunya negara di rantau ini yang agresif mencabar kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia.
Unit tentera laut dan pengawal pantai Cina secara kerap dan berterusan menceroboh perairan dan mengganggu nelayan kita, dalam usaha mereka meletakkan tuntutan ke atas terumbu-terumbu, beting-beting dan pulau-pulau milik Malaysia di Laut China Selatan.
Sama ada kita mahu mengakui atau tidak, kita berdepan krisis keselamatan di Laut China Selatan yang semakin meningkat tanpa strategi rapi untuk menanganinya.
Walaupun tiada siapa mahu melihat isu ini melarat, tidak ada gunanya kita berharap pada negara yang mencabar kita mempertahankan kedaulatan kita atau bermesra dengan tentera laut yang menceroboh perairan kita dan mengganggu nelayan kita.
Bukan negara biasa
Untuk semua sebab-sebab ini, China tidak seperti mana-mana negara lain yang pernah kita hadapi.
Walaupun China terlalu besar, terlalu penting untuk diketepikan atau dilayan seperti musuh, kerana itu juga ia perlu ditangani dengan cermat dan realis dan diikuti dengan tumpuan strategik secukupnya.
Janganlah kita terlalu terpesona dengan peluang sehingga tak nampak bahaya yang menanti, terkejar-kejar projek menarik dan tawaran lumayan hingga kita tidak nampak keadaan keseluruhan secara jelas kerana tertumpu pada perkara-perkara tertentu, jadi niat, asyik dengan agenda peribadi dan keuntungan sendiri sehingga terlepas pandang kepentingan negara.
China bukan negara biasa, sangat berbeza dengan negara-negara lain yang pernah kita hadapi; berpura-pura sebaliknya adalah bodoh dan bendul.
Dennis Ignatius adalah pembaca FMT.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa