Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, December 16, 2014

Apa Pilihan PAS?

PAS pilih dunia atau akhirat?
December 16, 2014
DAP dengan jelas telah menolak Hudud. Malah DAP beri amaran agar PR tidak laksanakan Hudud jika menang PRU14. Berdasarkan keputusan itu, apakah PAS akan terus bertahan dalam PR? Sukar sangatkah untuk PAS membuat keputusan?
dap pasRetak menunggu belah
Perumpamaan retak menunggu belah bagaikan sudah sinonim dengan tiga parti PKR, PAS dan DAP yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat (PR). Telah banyak kali dan telah saban tahun para pemimpin parti tersebut asyik bertikam lidah terutamanya di antara PAS dan DAP.
Di peringkat awal, gabungan PR cuba menafikan wujud ketidaksefahaman di antara mereka atau sedikit sebanyak cuba menggambarkan keadaan mereka seperti carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
Tapi nampaknya, keadaan makin getir di antara PAS dan DAP sehinggakan ada ketikanya mereka saling memberi amaran kepada satu sama lain. Malah, baru-baru ini Penasihat DAP Lim Kit Siang menyuarakan keraguannya terhadap kerjasama politik DAP, PKR dan PAS jika akan dapat terus bertahan sehingga PRU ke 14.
Pengamatan Kit Siang dilihat sebagai isyarat jelas bahawa pergolakan dalaman ketiga-tiga parti tersebut sudah mencapai tahap kritikal yang bakal mengundangkan kepada perpecahan. Apakah payung PR sudah bocor, tidak mampu lagi memayungi parti-parti di bawahnya?
DAP sebulat suara tolak Hudud
Semalam pula, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan sekali gus memberi amaran kepada kepimpinan PR supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hukum Hudud di negara ini jika gabungan parti pembangkang itu merampas pentadbiran Putrajaya pada PRU14 akan datang.
Persidangan Kebangsaan DAP 2014 semalam dilaporkan menjadi medan menolak perjuangan PAS selain mempertikai kepemimpinan rakan sekutu mereka. Persidangan tersebut memuktamadkan pendirian pakatan pembangkang untuk tidak melaksanakan Hudud. Mereka juga mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri walapun terpaksa menunggu Anwar dipenjara, sekaligus menunjukkan keengganan mereka menerima calon PAS. Selain itu persidangan juga menuntut agar pemimpin yang tidak patuh kepada keputusan bersama supaya berundur. Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada pemimpin PAS berkaitan isu Hudud.
Pendirian DAP itu juga diperkukuhkan melalui satu resolusi menolak pelaksanaan hukum Hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan.
Nampaknya, sudah jelas bahawa perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum Hudud semakin sukar dengan keputusan DAP itu, sekalipun jika PR menang dan memerintah negara selepas pilihan raya umum akan datang. Ketiadaan pemimpin kanan PAS pada persidangan itu menimbulkan persoalan tentang hubungan kedua-dua parti yang semakin tegang dan telah berlarutan sejak enam bulan lalu berikutan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.
PAS tetap laksanakan Hudud
Dalam pada DAP meluluskan resolusi menentang dan menolak Hudud semalam, pada hari sama Dewan Ulama PAS menegaskan, parti itu tidak akan berganjak sama sekali daripada pendirian untuk melaksanakan Hudud di Kelantan walaupun ditentang oleh DAP.
Pemangku Timbalan Ketuanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad menegaskan, pelaksanaan Hudud merupakan antara perkara pokok yang mendasari perjuangan parti tersebut, justeru itu, DAP juga tidak berhak untuk menghalang pelaksanaan Hudud di Kelantan kerana negeri itu adalah di bawah pentadbiran PAS.
“Kita pun ada hak juga. Hudud yang juga dasar utama dalam PAS adalah perintah Allah SWT dan bukannya perintah Lim Guan Eng,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mahfodz yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas mengingatkan Guan Eng bahawa majoriti penduduk Kelantan menunjukkan sokongan terhadap pelaksanaan Hudud apabila mereka masih mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
“Hudud di Kelantan untuk orang Islam sahaja, tidak melibatkan bukan Islam. Itu pun dia nak masuk campur,” ujarnya sambil meminta Guan Eng agar tidak mencampuri pentadbiran kerajaan PAS Kelantan khususnya dari segi penguatkuasaan Hudud. Mahfodz juga dilaporkan turut menempelak sikap Guan Eng yang seolah-olah ingin mengarahkan PAS yang juga sekutu DAP dalam pakatan pembangkang untuk mengikut telunjuknya.
Begitulah perkembangan hubungan “adik-beradik” ketiga-tiga parti dalam PR yang masing-masing mempunyai pendirian sendiri dan mungkin hala tuju yang satu iaitu untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaliknya masing-masing juga mempunyai agenda tersendiri yang berbeza setelah atau seandainya cita-cita mereka memenangi PRU 14 itu tercapai.
DAP dan PAS ibarat suami-isteri?
Dalam pada bertikam lidah itu, hari ini Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan hubungan DAP dan PAS ibarat pergaduhan suami isteri.
Menurutnya, walaupun PAS dan DAP dilihat seringkali tidak sependapat, namun hubungan parti dalam PR tetap kukuh seperti pergaduhan suami isteri yang tidak sampai kepada tahap berat sehingga boleh memecah belahkan parti.
Benarkah demikian? Jadi, adakah segala pertelingkahan dan pertentangan pendapat selama ini hanya sekadar main wayang? Jika dulu umum boleh menganggapnya sebagai carik-carik bulu ayam, dan akhir-akhir ini menampakkan situasi retak menunggu belah, bagaimana pula maksud yang terkini iaitu, hubungan ibarat suami isteri.
Walaupun beranak cucu, masih boleh cerai!
“PAS dan DAP ibarat suami isteri, masam muka tetapi tengok-tengok beranak,” katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS hari ini. Bila difikirkan, mungkin ada yang kurang jelas di sini, apakah hubungan suami isteri tidak boleh putus? Hakikatnya, banyak yang putus dan bercerai-berai walaupun setelah beranak-cucu!
Berhubung isu Hudud, Kerajaan PAS Kelantan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 29 Disember ini bagi mengemukakan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2014).
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob semalam berkata, pindaan tersebut perlu dibuat untuk melayakkan Kelantan membawa usul rang undang-undang persendirian ke Parlimen dan seterusnya mendapat kebenaran melaksanakan hukum Hudud di negeri berkenaan.
Menurut laporan, apabila ditanya sama ada pihaknya sudah berbincang dan mendapat ‘restu’ rakan sekutu iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad sekadar berkata, Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 telah pun diwartakan sejak 21 tahun lalu, iaitu sebelum pakatan pembangkang dibentuk.
Sebelum ini, DAP dan PKR menentang hasrat Kerajaan Negeri Kelantan membawa usul Hudud ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Jelas, kedudukan Hudud atau PAS atau PR bagaikan masih samar-samar. Jika Guan Eng mahu berkeras, PAS pastinya tidak mahu mengalah. Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah mengatakan, mana-mana parti dalam PR boleh mengundur diri jika tidak boleh menerima kelebihan dan kekurangan parti lain.
Beliau dilaporkan berkata demikian apabila DAP tidak henti-henti mengeluarkan kenyataan mengenai PAS walaupun merasakan segala kemelut dalam PR sudah berakhir terutamanya selepas selesai kemelut Menteri Besar Selangor.
DAP tak suka? Boleh undur diri
“Jika DAP rasa tidak boleh sejalan lagi dengan kami, mereka boleh ambil langkah undur diri. Ini kerana dalam PR hanya ada borang masuk, tiada borang keluar. Jadi jika DAP rasa ada yang tidak kena pada Pas, mereka undurlah diri dan biarkan PAS bersama PKR meneruskan perjuangan politik kami,” katanya.
Beliau berkata, apabila ada kenyataan yang dibuat, seolah-olah tuduhan atau berprasangka buruk, sudah tentu ia menjadi tanda tanya mengenai perkara yang dibangkitkan.
“Bercerita kepada umum bukan cara terbaik, malah boleh menimbulkan lebih banyak konflik. Seperti saya katakan, jika ada yang rasa tidak boleh duduk dalam PR, mereka boleh tarik diri. Dalam PR tiada tiket keluar, ada tiket masuk sahaja. Jadi kenalah undur diri,” katanya.
Mampukah PAS memertahankan Hudud? Merujuk kepada www.pas.org.my dasar PAS ialah Islam, seruan PAS ialah Allahuakbar dan tujuan PAS pula adalah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Berdasarkan fakta tersebut, berbanding perkembangan masa kini, apakah perjuangan PAS untuk hanya negeri Kelantan atau untuk sebuah negara Malaysia? Adakah Hudud hanya akan dilaksanakan di Kelantan? Jika untuk seluruh negara ini yang mana agama rasminya adalah Islam, mampukah PAS memenangi DAP yang bermati-matian menentang Hudud sekiranya PR menang PRU 14?
Hudud perintah ALLAH SWT, bukan perintah Guan Eng
Jadi, mampukah PAS pertahankan Hudud kelak demi perjuangan dunia dan akhirat, atau akan tunduk dengan desakan Guan Eng (dunia)? Sekali lagi, memetik kata-kata Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, “Hudud yang juga dasar utama dalam PAS adalah perintah Allah SWT dan bukannya perintah Lim Guan Eng.”
Persoalannya, dalam pada PAS dan DAP bertikam lidah, di manakah suara PKR? Diam membisu? Pastinya suara lantang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat (pernah dilihat) sebagai seorang Pemimpin Islamis boleh memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kedudukan Hudud. Mungkin juga sekali gus memutuskan pelaksanaan Hudud sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri kelak!

5 comments:

  1. Jika nak diikutkan syariat Islam spt hudud & qisas, Hadi yg telah diakui oleh mahkamah telah membuat kenyataan fitnah itu sepatutnya layak untuk dihukum! Itulah agaknya antara motif yg sedang diperjuangkan oleh pimpinan PAS sekarang ini.

    ReplyDelete
  2. Senjata UMNO telah mula mengena sasarannya pabila Gabungan parti PR telah mula bercakaran sesama sendiri dengan RUU yang bakal dibentangkan diNegeri Kelantan,maka berlakulah satu lagi episod peralehan isue panas sekarang ini isue-isue panas seperti RCI disabah,kenaikan minyak , GST yang akan berkuat kuasa april 2015 sumua akan dilupakan dan juga satu lagi RUU yang menjadikan dinegari ini UU double standard seperti pengunaan perkataan Allah di Sabah dan Serawak ,di semenanjung tidak dibenarkan tapi sebaliknya diMalaysia timur boleh,apakah itu yang dipilih oleh pemimpin politik dimalaysia.sama-sama kita tunggu adakah PAS akan mengotakan kata-kata parti atau prinsip parti untuk mempertahankan agama bila sudah berjaya dibeli oelh UMNO nanti.

    ReplyDelete
  3. pas harus bersendirian semula... kalau inilah cara pas berdakwah.....

    ReplyDelete
  4. Saya sokong 100% ...tak perlu risau. Dulu ramai tak fahan hukum tu walaupun ia hukum dari Al Quran. Sekarang kitab tersebut telah buktikan kebenaran nya dari semua sudut ilmu dan undang2nya.
    Akhir ini ramai kumpulan dan aktivis pendesak Islam telah timbul dan mereka akan pengaruh secara lanhsung dari akar umbi hingga atas. Ramai dah yang dapat hidayah berbanding dulu.
    Hidayah lebih benar dari spekulasi krrana spekulasi trrbit dari was was yang sudah tentu dari bisikan iblis. Begitu juga emosi adlah tunggangan syaitan. Berasional lah dengan hidayah. Semua umah kena bersatu penuh yakin terhadap agenda ini.

    ReplyDelete
  5. Biarkanlah PAS melaksanakan Hudud di Kelantan dan kita sama-sama lihat bagaimana tok lebai dan geng serban yang selama ini hanya pandai bercakap, protes dan komplen tentang sesuatu isu kecil itu diberi mandat melaksanakan Hudud di Kelantan. Jika tak diberi peluang sampai bila pun mereka ini dok menyalahkan orang lain atas kelemahan dan kebodohan mereka yang berganda-ganda itu. Kalau perkara kecil yang melibatkan pentadbiran kampung dan daerah pun dah jadi tunggang-langgang dan terbarai inikan pula nak menegakkan Enakmen Hudud yang melibatkan parti UMNO dan pindaan perlembagaan negara. Berilah mereka peluang dan kita sama-sama lihat dan apa yang kita duga pastinya akan terjadi kerana kita dah cukup berpengalaman dengan sikap "pandai cakap" mereka ini.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa