Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, December 7, 2014

Ingin membuang air, jumpa tulang manusia

Tulang manusia dalam semak
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Disember 2014

KAMPUNG GAJAH - Seorang lelaki yang ingin membuang air di semak berhampiran sebuah bengkel kereta, di sini terkejut apabila menemui tulang manusia bertaburan di kawasan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang kelmarin itu, lelaki berkenaan turut menemui sebuah motosikal dalam keadaan terbalik sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, berdasarkan siasatan, tulang berkenaan dipercayai manusia berdasarkan penemuan tengkorak serta rambut yang bertaburan di kawasan itu.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan pihak forensik, sebanyak 20 cebisan tulang termasuk tengkorak, rahang, pinggul dan paha berjaya dikumpulkan.

“Kita tidak menolak kemungkinan tulang ini dimakan dan dilarikan binatang buas.

“ Barang peribadi iaitu cincin emas, jam tangan, dompet, kunci rumah dan kad pengenalan turut ditemui dalam seluar dipercayai milik mangsa,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, buat masa ini, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti mangsa.

Katanya, bagaimanapun  menerusi maklumat diberikan, terdapat penduduk setempat pernah melihat seorang individu yang dilaporkan hilang, 15 November lalu berada di kawasan itu.

“Kami telah mendapatkan pengesahan Ketua Polis Balai Simpang Pulai terdapat laporan daripada keluarga mangsa pada 15 November lalu yang mengatakan mangsa hilang.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa masih dijalankan walaupun tiada unsur jenayah atau kesan mencurigakan ditemui pada tulang serta lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, barang kes iaitu tulang-tulang mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa