Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, December 10, 2014

Ini Satu Pandangan Yang Aku Susah Nak Terima!

Yang aku perati orang-orang Sabah ni, datang siapa saja yang duit banyak dan berikan lebih, orang itulah yang akan menang!

Umno bakal tewas di Sabah jika tiada tindakan konkrit menyusul laporan RCI, kata penganalisis
OLEH EILEEN NG
Published: 10 December 2014
Perairan Sabah kerap ditembusi pendatang asing tanpa izin, dan sekiranya tiada tindakan dari Umno, akan menyebabkan kekalahan parti tersebut di negeri itu, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Disember, 2014.

Tanpa sebarang tindakan konkrit menangani isu pendatang asing tanpa izin di Sabah, Umno bakal kehilangan kuasa di negeri itu, kata penganalisis susulan laporan Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin.
Pemerhati berpendapat, penduduk negeri itu yang sebahagian besarnya tidak puas hati dengan kebanjiran pendatang asing yang mengubah demografi penduduk dan keseimbangan agama, menjadi marah susulan laporan RCI itu.
Laporan RCI dikeluarkan minggu lalu setelah tertangguh selama enam bulan. Laporan setebal 368 muka surat itu mendapati wujud sindiket dibantu pegawai korup menubuhkan "Projek IC" di negeri itu untuk memberikan kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing.
Walaupun mengakui kewujudan sindiket terbabit mengakibatkan projek berkenaan, laporan itu tidak menamakan pihak bertanggungjawab tetapi mencadangkan penubuhan sekretariat dan jawatankuasa pengurusan bagi menyelesaikan isu pendatang asing yang memiliki dokumen kerakyatan Malaysia.
Keputusan itu nyata tidak memuaskan hati banyak pihak, sebaliknya menyemarakkan kemarahan kerana mereka mengharapkan ada pihak yang akan dipertanggungjawabkan, sama ada individu mahupun pihak kerajaan itu sendiri, kata penganalisis Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, berpunca dari isu itu, rakyat sudah pasti akan melampiaskan kemarahan mereka kepada pemimpin Umno, kerana parti Melayu itu merupakan tunjang kepada Barisan Nasional (BN) yang memiliki kuasa untuk menangani perkara itu.
Malah, parti itu juga dilihat tidak mengambil sebarang tindakan menghentikan perkara itu.
"Jangan lupa, Umno baru menyertai politik Sabah," katanya, merujuk kepada penyatuan Berjaya dan Usno ke dalam Umno pada 1990.
"Dengan kemarahan rakyat kepada kerajaan, mudah untuk menukarkannya kepada kemarahan kepada Umno," katanya, dan menjelaskan pengundi Sabah mempunyai sejarah menolak BN.
"Tanpa sebarang tindakan, dalam jangka masa panjang kemarahan rakyat boleh berubah menjadi protes politik terhadap kerajaan BN. Rakyat tidak begitu mudah melupakannya," katanya, dan menambah kemarahan itu kini datang dari pelbagai pihak.
Parti komponen BN Sabah termasuk pembangkang sering membangkitkan isu pendatang asing yang memperolehi kerakyatan Malaysia melalui cara tidak sah. Sesetangah pemimpin politik Sabah menggesa agar ianya ditarik balik dan dikeluarkan semula melalui saluran sah.
"Parti komponen yang tidak berpuas hati  berkemungkinan membentuk entiti baharu dan keluar daripada Umno sekiranya isu itu tidak ditangani dengan berkesan," kata ketua badan pemikir Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (Ideas) itu.
Beliau berkata, parti politik Sabah juga mempunyai sejarah meninggalkan BN disebabkan perbezaan pendapat seperti yang dilakukan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Sabah Progressive Party (SPP).
Seorang lagi penganalisis Dr Arnold Puyok berlata, isu RCI Sabah akan terus menghantui BN kerana rakyat mahukan penyelesaian untuk selamanya.
"BN perlu menanganinya dengan berkesan. Kepimpinan perlu tegas. Lakukannya atau kehilangan lebih banyak kerusi," kata pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UMS) itu.
BN perlu bertindak bijak kerana pembangkang akan menjadikan isu itu sebagai "bola tanggung" mereka, kata penganalisis lain.
"Laporan itu akan digunakan pembangkang sebagai kelebihan mereka. Namun, sejauh mana pembangkang akan menggunakannya juga kritikal terhadap pemimpin BN.
"Ia merupakan peluang pemasaran pembangkang sama ada untuk mengeksploitasinya atau membiarkannya," kata Pengarah Centre for Policy Initiative, Dr Lim Teck Ghee (gambar, kanan).
Beliau percaya, laporan RCI menjadikan BN bersikap lebih defensif dan menggesa pembangkang memainkan peranan mereka.
Isu itu katanya begitu dekat di hati rakyat Sabah, daripada dakwaan korupsi dan mengislamkan penduduk Bumiputera Kristian Sabah, ia akan lebih menimbulkan kebencian kepada BN.
Dr Arnold bagaimanapun kecewa dengan Pakatan Rakyat (PR) Sabah yang lebih gemar menyentuh isu remeh seperti penggunaan perkataan di hadapan laporan berkenaan.
Sebaliknya, rakyat Sabah katanya mahukan penyelesaian yang mampu ditawarkan pembangkang itu.
Namun, walau apa pun, Dr Oh Ei Sun, daripada S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura berkata BN tidak akan terkesan teruk daripada laporan RCI.
"Pilihan raya akan berlangsung dalam tiga tahun lagi dan pengundi tidak akan mengingatinya. Mereka mungkin hanya akan kehilangan satu atau dua kerusi bandar, namun akan tetap memerintah di kawasan luar bandar," katanya, dan menambah, terdapat "kaedah kreatif" mengubah pemikiran pengundi menjelang berlangsungnya pilihan raya. – 10 Disember, 2014.

1 comment:

  1. Kaum cina memang tak suka orang Islam masuk Sabah sedangkan kepulaan mindano/Sabah kepunyaan Sultan Islam dulu. Mereka terpisah oleh penjajah.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa