Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, December 13, 2014

Interpol buru 37 individu

Terlibat pelbagai kesalahan jenayah di Malaysia
ANGELINA SINYANG  |  13 Disember 2014 2:32 AM

KUCHING 12 Dis. - Seramai 14 rakyat negara ini dan 23 rakyat asing telah disenaraikan sebagai buruan polis antarabangsa (Interpol) kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah di negara ini khususnya penipuan, memiliki dadah, mencuri dan kes bunuh.

Sumber memberitahu, setakat bulan ini, terdapat 37 individu disenaraikan nama mereka dalam buruan agensi tersebut setelah melakukan pelbagai jenayah.

Beliau berkata, jumlah tersebut didapati bertambah berbanding 33 orang dicatatkan pada tahun lalu, meskipun ada beberapa nama yang pernah disenaraikan sebelum ini sudah tiada lagi dalam buruan.

“Dalam senarai terbaharu itu, rakyat asing yang paling ramai diburu ialah India dan Indonesia iaitu masing-masing lima orang, diikuti dua Thailand dan masing-masing seorang dari United Kingdom, Vietnam, Guinea, Iran, Myanmar, Amerika Syarikat, Singapura, China, Bangladesh, New Zealand dan Brazil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak dilakukan oleh penjenayah tempatan dan asing yang diburu itu adalah penipuan iaitu 10 kes diikuti bunuh (tujuh), kecurian dalam bangunan (lima), dadah (lima), pecah amanah jenayah (tiga), rasuah (dua) dan masing-masing satu kes pemalsuan dokumen, bersubahat, mencuri, pecah rumah pada malam hari serta rompak dan curi motosikal.

Seramai 14 rakyat Malaysia yang diburu ialah Nyo Ah Hai, 50, yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes rompakan dan curi motosikal; Tak Mei Ming, 60, (menipu), Yeoh Guan Yong, 38, (penipuan), Jennifer Siew Kiem, 53, (menipu dalam transaksi dan jualan saham), Luan Siong Chiang, 37, (bunuh), Lee Che Ming, 68, (rasuah), Wong Jit Kiang, 58, (pecah amanah jenayah dan bersubahat).

Selain itu, Lim Han Choo, 59, (penyeludupan dadah), Rohaniza Aladib, 35, (menipu), Micheal Soosai, 51, (pemalsuan dokumen dan ugutan jenayah), Halimah Hussein, 53, (bersubahat), Lim Yuen Soo, 54, (bersubahat dan membunuh), Tan Yoke Chung, 63, (rasuah) dan Tan Whai Onn, 54, (bunuh).

Dalam pada itu, kata sumber, Interpol turut memburu dua lelaki dan dua perempuan dari India iaitu Sharmeela Shajahan, 30, Rajeswari Thiyagarajah, 56, Rajapandi Ramalingam, 35, dan Somasundram Kathamuthu, 40, kerana menganggotai kumpulan melakukan jenayah kecuaian dalam bangunan di negara ini.

Katanya, seorang lagi rakyat India, Sailesh Lanchu Hiranandan, 50, dikehendaki kerana terlibat dalam kes penipuan dan tidak jujur menghantar harta yang diamanahkan.

“Antara rakyat asing dalam senarai buruan ialah David Austien De Montaige, 60, dari United Kingdom terlibat dalam kes penipuan, Ali Hedayati Muhamad Mehdi, 35, dari Iran (kecurian di kediaman), Sidiki Camara, 42, dari Guinea (penipuan), Abdul Ghani dari Indonesia, 42, (bunuh) dan Aliyas Mohd. Anu, 27, dari Myanmar (pecah rumah pada malam hari).

“Turut tersenarai ialah Chung Chun Lu, 72, dari China (pecah amanah jenayah), Selby Dean Freeman, 31, dari New Zealand (memiliki dadah), Tan Siong Nai, 59, dari Singapura (penipuan), Musfata Faris Sadeg, 69, dari Amerika Syarikat (pecah amanah jenayah) dan Mohamed Alauddin, 41, dari Bangladesh (bunuh),” katanya.

Sumber berkata, senarai tahun ini menyaksikan nama seorang rakyat Malaysia yang sudah lama diburu dan disenaraikan sebagai suspek pengganas oleh Amerika Syarikat, Zulkifli Abdul Hir @ Zulkifli Hir, 46, sudah dikeluarkan daripada senarai buruan.

Walau bagaimanapun katanya, Rohaniza, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berbentuk skim pelaburan dalam syarikat rokok antarabangsa membabitkan mangsa dalam kalangan artis terkenal tanah air seperti Amy Search, Hattan dan Misha Omar yang mencecah nilai RM400 juta pada 2008 masih lagi disenaraikan.

Kata sumber lagi, berbeza dengan tahun lalu, tiada individu yang namanya disenaraikan dalam buruan Interpol terlibat melakukan kesalahan berkaitan jenayah seksual dan perdagangan manusia. - gambar-gambar mereka di sini

1 comment:

  1. Menarik, kaum cina & wanita melayu mendahului

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa