Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 10, 2016

Kak Noh yang bukan Melayu.......

'Nama Siam Wilai, panggil Kak Noh'
ROHANA ISMAIL
TUMPAT - Menjenguk Kampung Chenderung, Teluk Jering, Tumpat, sebuah perkampungan agak terpencil di daerah ini,  terpahat mekar nilai perpaduan kaum di sini.


Dihuni 40 keluarga Siam, dua keluarga Cina yang berjiran dengan lebih 300 keluarga Melayu, mereka bebas mengamalkan agama, budaya dan kepercayaan, kelompok minoriti ini selesa, harmoni dan saling hormat-menghormati menjalani kehidupan harian.

Bagi penduduk setempat, tiada yang pelik apabila sukar membezakan mana satu keluarga Melayu, mana pula keluarga Siam.  Watak dan perwatakan seakan seiras.  Berkulit putih, sawo matang dan mirip Melayu menyerlahkan keunikan mereka.

Masyarakat Siam lelaki pula selesa berkain pelekat, wanita Siam pula 'jangok' (cantik) berbaju kebaya dan kurung. Mereka juga fasih bertutur dialek Kelantan, mampu duduk bersembang di kedai kopi yang sama hatta soal jodoh pun ada yang kahwin campur Melayu dan Siam.  Paling menarik, ada masyarakat Siam di sini lebih mesra dan popular dengan panggilan nama-nama Melayu seperti Kak Nuh dan Mak Su Ani. 

Dalam erti kata semasa, pembauran kebudayaan ditandai oleh usaha-usaha mengurangi perbezaan sesama mereka menjadikan Kampung Chenderung ini unik dan barangkali menjadi pendahulu konsep 1Malaysia sebelum ia diperkenal.

Wilai mahir menulis, baca jawi

Nama sebenarnya Wilai Ah Jok, tetapi nama itu seakan terkubur kerana di sini masyarakat Melayu lebih mengenalinya sebagai Kak Noh.

Melihat raut wajahnya setiap kali berbaju kebaya dan kadang kala berselendang, persis wanita Melayu sehingga ada memberi salam kepadanya.

“Saya kalau ada orang Melayu bagi salam, saya serba salah nak jawab salam itu, takut salah, jalan terbaik saya kata, saya bukan Islam,” katanya.

Wilai juga  penulis skrip drama boleh kuasai bacaan jawi dan menulis jawi kerana sejak kecil lagi sudah hidup dalam masyarakat  Melayu dan berkawan dengan Melayu.

“Selain fasih berbahasa Melayu, saya juga boleh menulis jawi dan membaca jawi, boleh membacanya tetapi tidak lah lancar sangat kerana jarang-jarang praktik,” katanya.

Wilai berkata, di Kampung Chenderung ini agak unik kerana walau pun berbeza bangsa dan agama, semua aktiviti masyarakat dilakukan bersama.

Akrabnya hubungan masyarakat Siam dan Melayu di kampung ini apabila kenduri kahwin berlainan bangsa dihadiri semua kaum.

“Kalau kenduri kahwin kaum Siam, kami akan jemput penduduk Melayu di kampung ini, bukan setakat datang untuk makan, tetapi sepakat bergotong-royong menyediakan hidangan,” katanya.

Menurutnya, jangan rasa sangsi soal halal haram ketika makan kenduri di rumah kaum Siam di sini kerana tukang masaknya Melayu, juga penduduk di kampung ini.

Begitu juga apabila menyambut Aidilfitri, Wilai turut meraikan bersama kerana jiran Melayu akan menghantar ketupat dan tapai ke rumahnya.

Apabila tiba perayaan masyarakat Siam, dia pula hantar kuih raya pada jiran Melayu di hadapan rumahnya.

Pak Ya tukang gulai 1Malaysia

Bagi Pak Ya Gulai atau nama sebenarnya, Ya Samah, 80, tiada yang peliknya jika dijemput memasak  gulai kawah dan nasi kukus di rumah jiran keturunan Siam setiap kali kenduri kahwin diadakan.

“Asal ada jiran keturunan Siam nak kahwin, sayalah yang paling sibuk untuk menyediakan juadah kepada tetamu yang pelbagai kaum itu.

“Kami ni dah macam saudara mara di sini, walau pun bukan seagama, tetapi kami bermuafakat,” katanya.

Menurutnya, kalau ada jiran kaum Siam meninggal dunia, masyarakat Melayu akan menziarahinya begitulah sebaliknya jika ada jiran Melayu meninggal dunia.

Pak Ya berkata, dia berkawan rapat dengan Ah Jok, bapa Wilai sejak kecil lagi dan selepas Ah Jok meninggal dunia, hubungannya dengan keluarga Ah Jok masih terjalin kerana Wilai berkawan rapat dengan anaknya.

Unik Kedai Runcit Muhibah

Bukti adanya semangat muhibah pelbagai kaum di sini, seorang pemilik kedai keturunan Siam sanggup menamakan kedai runcitnya sebagai Kedai Runcit Muhibah.

Konsep muhibah itu tercapai kerana semua kaum datang membeli di sini dan unik kerana terletak di tengah perkampungan Melayu itu.

Pelbagai barang dijual di sini, barangan runcit, kuih-muih, goreng pisang dan nasi, namun pekerja semua Melayu.

Pembantu kedainya, Rubiah Ya berkata, kedai ini kepunyaan Mak Su Ani atau nama sebenarnya, Mek Sewin Chau Hong.

“Kami panggil Mak Su Ani, bagi yang pertama kali singgah mungkin kata dia tu Melayu, tetapi Siam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa