Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 27, 2016

Dialog Khalid Samad

Dari Fb Abe Awang

PERBUALAN ANTARA YB KHALID SAMAD DAN SALAH SEORANG VETERAN PAS DI SHAH ALAM

KS : Salaam Tuan Haji. Tuan Haji calonkan siapa? TGHH atau Ahmad Awang?
.
Tuan Haji : Saya calonkan Ahmad Awang.
.
KS : Kenapa tidak dicadangkan sahaja TGHH sebagai Presiden? Tidakkah Tuan Haji iktiraf ketokohannya beliau sebagai seorang ulama’ bertaraf dunia?
.
Tuan Haji : Saya akui ketokohannya sebagai ulama’ bertaraf dunia tetapi jawatan Presiden bukan memerlukan seorang yang fakeh. Fakeh adalah keperluan untuk jawatan MSU khususnya mursyidul ‘am. Jawatan Presiden memerlukan seorang yang pakar dalam bidang strategi dan perlaksanaan, tajam bacaan politik. Oleh itu saya lebih setuju TGHH menjadi Mursyidul ‘Am dan Ust Ahmad Awang sebagai Presiden.
.
KS : Eh, kenapa pula? TGHH juga mempunyai kepakaran dalam soal strategi dan perlaksanaan. Lagi pun, TGHH lebih berpengalaman berbanding Ust Ahmad Awang. Di mana kegagalan TGHH mengikut pandangan Tuan Haji?
.
Tuan Haji : Kebelakangan ini saya lihat banyak kelemahan TGHH dari sudut kepimpinannya sebagai seorang Presiden. Ini ingin ditutup oleh golongan asatizah tertentu dengan dijaja konsep wala’. Saya orang lama, YB. Tidak payahlah cuba menipu saya dengan menutup kelemahan melalui pendekatan sebegitu. Dulu tiada pun dijaja konsep wala’ sebegini, tetapi semua ahli bersatu dan berdisiplin menyokong Presiden.

KS : Apa dia sebenarnya kelemahan TGHH yang Tuan Haji maksudkan?
.
Tuan Haji : Perbalahan dalaman PAS. Perbalahan dalaman PR. Ini semua hasil dari ketidak berkesanan kepimpinan TGHH. YB sendiri tahu kan, PAS bagaikan berpecah dua dengan budaya fitnah memfitnah, label melabel. TGHH tidak dilihat membuat apa-apa. Seolah-olahnya TGHH mahukan perpecahan berlaku. Malang sangatlah kalau TGHH dipengaruhi si Zuhdi tu. Pemimpin mesti mampu menyatukan ahli-ahli di bawah kepimpinannya, bukan redha supaya ahli berpecah macam sikap Zuhdi. Di sini saya berani sebut, kalau zaman Almarhum Ust Fadhil, sudah pasti beliau akan bertindak memintas perpecahan ini dan menyatukan kembali; dan itulah bukti kepimpinan bagi saya.
.
KS : Ya lah Tuan Haji, tetapi itu bukan mudah. Ahli-ahli PAS pun bukan semua ikut sahaja arahan TGHH. Sudah lama TGHH minta agar diberhentikan kerja fitnah dan melabel ini, tetapi ada ahli yang tidak mahu ikut.
.
Tuan Haji : Ya ke TGHH suruh berhenti? Tak dengar pun. Yang saya nampak kerja ini dibuat oleh asatizah muda, datang ke Surau pun depa masih tabur fitnah. YB pun kena! Malu saya dengan orang UMNO yang ada di Surau bersama. Tersengih sahaja mereka, mendengar kata-kata para ustaz ini. Sepatutnya TGHH sedar apa yang sedang berlaku di peringkat akar umbi dan menangani masalah ini sebelum menjadi parah seperti sekarang.
.
KS : Tidak mengapalah Tuan Haji. Jika benar mereka fitnah saya, pahala bagi saya. Maka tidak patut disalahkan TGHH pula.
.
Tuan Haji : Saya tidak kata TGHH yang buat atau suruh buat. Saya sebut TGHH tidak berkesan dalam menangani masalah ini.
.
KS : Oklah Haji. Selain tu? Yang Tuan Haji sebut bab PR. Takkan mahu TGHH ikut sahaja kehendak PKR dan DAP?
.
Tuan Haji : Dalam soal PR, TGHH bagi saya telah tersilap langkah semasa isu MB Selangor. Saya tidak faham mengapa TGHH sanggup pertahankan TSKI habis-habisan. Sehingga sanggup memberi kesempatan untuk UMNO memasuki perbalahan itu dan turut memberi sokongan tanpa syarat kepada TSKI. Dan untuk beberapa hari, PAS dan UMNO bersama dengan TSKI. Mahu jadi seperti senario 1 si Zuhdi kah? Bertegang kita dengan PR kerana TSKI! Apa punya strategi ini? Sepatutnya kukuhkan PR tetapi tidak. TSKI tu pun bukan bagus mana. Dulu pun PAS Selangor pun sudah minta tukar.

TGHH tidak hadir mesyuarat majlis Presiden, tidak dengar penjelasan dari DAP dan PKR, tetapi boleh batalkan keputusan dan persetujuan bersama begitu sahaja. Susah kalau bersikap sebegini. Mahu ikut kehendaknya semata-mata tanpa mendengar penjelasan dari 9 wakil PAS yang hadir apabila keputusan dibuat. Maaf YB, bagi saya, terbayang-bayang cara Dato’ Asri.

Oleh kerana kita sudah dalam satu Pakatan, walau pun kapal asing-asing, perlu koordinasi supaya tidak belaga di tengah laut. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan laut bergelora. Tidak boleh buat ikut suka. Pentingkan syura. Inilah sifat kepimpinan yang baik. Saya tidak nampak TGHH berbuat sedemikian.

Dan malang lagi ianya berakhir dengan TGHH mengkritik secara terbuka DSWA. Orang kritik TGHH kita marah. Tapi TGHH kritik DSWA sebegitu rupa kita boleh terima? Maaflah YB. Sebenarnya ramai sependapat macam saya tetapi apa boleh kata, ‘terpaksa’ wala’? Kalau tidak akan dikutuk.
.
KS : Alaa Tuan Haji, perkara begitu, biasalah. Dalam perkahwinan pun suami isteri bergaduh. Apa perpatah Melayu...“sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri”.
.
Tuan Haji : Huh, awak ni asyik bela TGHH sahaja. Tetapi saya tahu, YB pun boleh nampak kelemahan yang sama. YB kena lebih berani bercakap benar. Adakah YB boleh terima ungkapan “barua dan broker” yang dilemparkan kepada ahli dan pimpinan PAS lain? Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula. Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari UMNO tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya. Ni yang membuatkan saya lebih tidak yakin TGHH inginkan masalah dalaman PAS diselesaikan dengan baik. Malahan dia sendiri puncanya dengan kata-kata begitu.
.
KS : Ok lah Tuan Haji, cukuplah dengan isu TGHH. Yang Ust Ahmad Awang pula bagaimana? Kenapa Tuan Haji anggap beliau mampu membawa kepimpinan yang lebih berkesan?
.
Tuan Haji : Dia menyelamatkan PAS semasa PRU 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ust Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan UMNO di Perak untuk membentuk kerajaan. Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama PR. Kita patut berikan dia peluang.
.
KS : Tapi Tuan Haji, tu cerita lama. Tidak bererti TGHH bersetuju untuk membenarkan PAS bersama UMNO pada ketika itu. Tidak boleh lah Tuan mengandaikan bahawa TGHH bersetuju penyatuan UMNO dan PAS. TGHH dah sebut berkali-kali ianya tidak boleh.
.
Tuan Haji : Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan Presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang Presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap ‘berdosa’ menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap. Ini bila kita sudah hilang Terengganu dan Kedah, tetapi tiada yang sanggup mengakui kelemahan yang menyebabkan kekalahan itu. Semua mahu disalahkan orang lain. Kalau kata, “oh, kita pun tersilap, sepatutnya Presiden buat ini dan itu”, kita akan diserang bagaikan melakukan dosa besar!

Saya lihat ada para ustaz yang beranggapan kita kena pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahan Nabi (SAW). Ini tidak betul! Ini seolah sudah seperti mendewa-dewakan pemimpin. Perumpamaan yang digunakan adalah silap dan salah. Kalau ya pun, biarlah kita katakan kita perlu pertahankan Presiden sepertimana para sahabat pertahankan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (Radhi Allahu anhum). Itu pun dah lebih dari yang patut. Mereka siapa, kita siapa? YB tahukan, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali tetap ditegur dan dikritik dan berhujjah untuk pertahankan tindakan mereka. Bukan sekadar dijaja dengan wala’ semata.

Macam seperti perang terhadap golongan murtaddiin, Abu Bakar bukan sekadar kata “perang” dan semua ikut. Tidak. Berhujjah dan berbahas sehingga Abu Bakar bacakan ayat 5 dan 11 surah At-Taubah baru sahabat lain akur. Kerana ada dalil dan nas, bukan sekadar wala’ sahaja. Kes Umar dengan Jubahnya pun begitu masyhur. Kes Uthman dan pengkritiknya yang begitu ramai yang mengkritik perlantikan ahli keluarganya ke jawatan penting. Semua ditanganinya dengan cara sebaik mungkin, berhujjah dan menjelaskan. Termasuk juga kisah Ali dengan Muawiyyah serta golongan Khawarij. Semua terpaksa ditangani dengan berhujjah. Bukan dituduh tidak wala’ dan khianat dan sebagainya.

Dan inilah suasana dan pemikiran yang wujud di kalangan golongan lama di Shah Alam. Yang muda-muda memang mudah untuk menerima konsep wala’ tetapi veteran yang sudah lama dalam PAS tidak begitu. Mereka menganggap ianya hak mereka untuk memilih Presiden dan menukar Presiden sekiranya tidak puas hati dengan prestasinya. Veteran sebegini bukan mudah sesiapa ‘peralatkan’, termasuk saya.

Konsep kepimpinan Ulama’ bagi mereka tercapai dengan pembentukan MSU yang memantau perjalanan PAS supaya tidak menyeleweng dari dasar Islamnya. Presiden tidak semestinya seorang ulama’ tetapi semestinya berilmu dan kommitted dengan perjuangan Islam serta bijak berstrategi dan menyusun gerak kerja politik untuk mencapai matlamat parti. Maka, DS Presiden sebagai seorang ulama tersohor semestinya mempunyai kelebihan dan di atas sebab itulah beliau telah dipilih oleh perwakilan pada setiap muktamar tahun demi tahun. Oleh itu, saya memohon agar mereka yang menuduh saya ingin menjatuhkan DS Presiden agar tidak menuduh sebarangan tetapi membantu saya menjawab golongan seperti Tuan Haji ini dengan hujjah balas dan bukan sekadar meminta beliau agar terus wala’.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa