Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, April 25, 2016

Menarik - Deklarasi Rakyat : Bagaimana sekiranya Najib berdegil tidak mahu undur?

Sunday, 24 April 2016
JIKA NAJIB TIDAK BERUNDUR, GANDINGAN MAHATHIR - ANWAR ADALAH LAWANNYA DALAM PRU 14 NANTI

Setelah sekian lama bermusuhan, secara semangatnya Gerakan Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat yang bertujuan mendesak pengunduran Najib Razak telah mencantumkan semula Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim yang bermusuhan sejak 1998 yang lalu.

Bermula dengan Anwar menyatakan sokongan terbuka kepada usaha yang dilakukan oleh Tun Mahathir mewujudkan Deklarasi Rakyat, sambil mengatakan demi kepentingan negara, beliau sudah pun memaafkan bekas Perdana Menteri itu, ia kini memasuki episod yang lebih jelas apabila Gerakan Selamatkan Malaysia turut diketuai oleh Kamaruddin Jaafar.

Kamaruddin, Ahli Parlimen Tumpat,  memang diketahui umum sebagai orang kepercayaan Anwar sejak dulu. Apabila Anwar dipecat daripada UMNO, beliau memilih menyertai Pas dan dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu. Apabila Pas bermasalah di mana sebahagiannya menubuhkan Amanah, beliau sebaliknya memilih menyertai PKR.

Namun di mana pun Kamaruddin berada, hati dan kesetiaannya tetap pada Anwar. Selain beliau kini menjadi Ketua Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia, Azmin Ali yang juga merupakan orang kanan Anwar telah bermurah hati menyediakan sebuah pejabat bagi gerakan tersebut.

Difahamkan juga bahawa Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR turut tiada bantahan terhadap perlantikan Kamaruddin itu yang sekaligus memberi gambaran semua elemen yang rapat dengan Anwar sedia untuk bersama Tun Mahathir.

Melalui pimpinan baru Gerakan Selamatkan Malaysia bagi mencapai matlamat awal mengumpul sejuta tandatangan Deklarasi Rakyat dan akan mempunyai pejabat sepenuh masa, Tun Mahathir dilaporkan telah menyatakan persetujuan untuk turun ke negeri-negeri bagi semua program yang akan diatur nanti.
Bermakna, secara tidak langsung sudah wujud kebersamaan nurani antara Tun Mahathir dengan Anwar bagi menumbangkan Najib.

Kebersamaan itu bukan saja untuk mendesak pengunduran Najib dalam tempoh segera, khususnya berkaitan skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta, malah jika Perdana Menteri terus berdegil tidak mahu berundur, ia pasti akan berlarutan sehingga kepada pertembungan dalam pilihanraya akan datang.

Maka, PRU 14 akan menyaksikan pertembungan paling sengit bagi UMNO dan BN di mana Tun Mahathir tidak mustahil akan menjadi pencatur utama parti-parti pembangkang, kecuali Pas yang mungkin memilih bertanding secara sendirian.

Penglibatan Tun Mahathir bersama parti-parti pembangkang lebih sukar dielakkan jika bersama kedegilan Najib tidak mahu berundur itu turut disertai dengan tindakan memecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir daripada UMNO. 

Dengan terpecatnya mereka itu, pilihan yang ada bagi ketiga-tiga bekas pemimpin UMNO itu ialah dengan bertanding dalam pilihanraya sama ada sebagai calon Bebas yang disokong oleh Pakatan Harapan atau menggunakan simbol salah satu parti dalam gabungan itu.

Melalui Anwar yang akan memberi idea daripada dalam penjara manakala Tun Mahathir bersingsing lengan di pentas-pentas kempen, kemenangan dan kemampuan menubuhkan kerajaan pasti menjadi amat sukar bagi UMNO dan BN.

Gandingan Tun Mahathir dan Anwar yang bakal menjadi mimpi ngeri bagi UMNO dan BN itu hanya dapat dielakkan jika Najib sedia meletakkan jawatannya dengan segera.

Pilihan kini di tangan Najib, bukan di tangan Tun Mahathir atau Anwar. (SH 24/04/2026). - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa