Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, April 26, 2016

Krisis Ganu: Kenyataan Media ADUN Batu Burok

KENYATAAN MEDIA

Kemelut kepimpinan politik Terengganu kembali menjadi perhatian ramai apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah dengan resminya melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa pada Jumaat, 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu semalam. Menurut kenyataan resmi tersebut; "Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di Negeri Terengganu”.

Pada awal bulan lepas, Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, telah cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri Terengganu sehingga mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Dengan perkembangan terbaru ini, kedudukan UMNO sebagai parti yang memerintah di negeri Terengganu sedang berada didalam keadaan terumbang-ambing dan menjadi persoalan ramai kalangan rakyat Terengganu sendiri kerana kemelut dalaman kepimpinan UMNO Terengganu yang tidak berkesudahan.

Walaupun UMNO masih mempunyai kedudukan ‘simple majority’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi, namun dengan perkembangan terbaru ini, bagi saya mereka hanya mempunyai 3 pilihan;

1.    Menukar Menteri Besar yang baru

2.    Membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang khususnya Pas

3.    Membubarkan DUN dan diadakan pilihanraya Negeri

Bagi saya, walaupun dengan kedudukan majoriti yang ada pada UMNO di DUN, apapun keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan UMNO, kemelut dalaman kepimpinan mereka perlu diselesaikan dengan segera kerana rata-rata rakyat awam sudah terlalu muak dengan sikap terlalu banyak ‘berpolitiking’ sedangkan rakyat kini dihimpit dengan tekanan kos kehidupan termasuk GST yang amat membebankan mereka.

Negeri Terengganu juga sedang berhadapan dengan cabaran getir dengan penurunan drastik bajet tahunan 2016 dari RM2.3 bilion kepada hanya sekitar RM640 juta sahaja akibat dari terlalu bergantung kerajaan Terengganu kepada sektor minyak dan gas.  Kini dengan kejatuhan harga minyak dan kelembapan ekonomi negara juga sedang melanda negeri Terengganu.

Realitinya, kini semakin ramai anak-anak muda Terengganu termasuk lulusan Universiti yang terpaksa menjadi penggangur terhormat akibat dari tiadanya peluang pekerjaan buat mereka di negeri Terengganu.

Realitinya, masih terlalu ramai pengayuh beca, petani dan nelayan di negeri ini yang hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ serta mencari-cari erti kehidupan mereka.

Atas rasa tanggungjawab inilah saya ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama mengenepikan sentimen ‘kepartaian sempit’ dan 'kepentingan peribadi' serta sikap terlalu banyak ‘berpolitik’ bagi memastikan kepentingan rakyat Terenganu terus di jamin dan di hormanti.

Setiap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri termasuk saya sendiri tidak terlepas dari tanggungjawab untuk mengangkat agenda rakyat dan mempertahankan hak dan maruah rakyat Terengganu bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Terengganu Darul Iman.

Marilah kita sama-sama menyempurnakan tanggungjawab secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, serta amanah lagi berintrigriti.

Kita sama-sama berdoa agar seluruh rakyat dan negeri Terengganu Darul Iman ini sentiasa dirahmati oleh Allah swt. bagi kita melangkah ke lembaran baru demi kepentingan agama dan rakyat khususnya.

SELAMATKAN GANU KITE.

Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi,
ADUN Batu Burok,
Terengganu.

26hb. April 2016 bersamaan 18 Rejab 143

1 comment:

  1. kalaulah kedaan ni berlaku dinegeri pr boleh tengok puak amno buat macam macam perangai burok
    sapa tak kenal amno

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa