Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Saturday, July 16, 2016

“Gencatan senjata” TITM hanya bersifat peribadi?

PAS dikatakan telah menawarkan untuk mewujudkan “gencatan senjata” sesama parti pembangkang. Melalui kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM), Timbalan Presiden PAS, dipetik sebagai berkata, “Pertama, parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar Umo-BN”. Bagaimana pun kenyataan TITM belum mendapat reaksi, mahu pun tindak balas daripada Presiden PAS, juga tidak ada sebarang bentuk komentar daripada Setiausaha Agung PAS, apa lagi ulasan daripada pihak Mursyidul Am PAS.

Oleh itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh TITM itu boleh disifatkan sebagai satu pandangan yang bersifat peribadi, selagi tidak mendapat pengesahan rasmi daripada Jawatan kuasa PAS Pusat. Walau pun Iskandar Abdul Samad, selaku Naib Presiden PAS telah mengeluarkan kenyataan menyokong kenyataan TITM, namun kenyataan sokongan tersebut bukanlah satu gambaran umum yang membawa kepada pendirian Jawatan kuasa PAS Pusat. Kenyataan Iskandar Abdul Samad lebih bersandar kepada realiti yang dialami oleh diri beliau sendiri dalam konteks pengurusan politik di negeri Selangor.

Namun begitu, harus juga diambil perhatian terhadap kenyataan  Mohd. Amar Nik Abdullah, Naib Presiden PAS yang telah mengumumkan akan adanya gencatan senjata dengan UMNO, bagi kononnya membolehkan PAS membentang RUU  persendirian berkaitan dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah, Akta 355 (hakikatnya tidak ada kena mengena dengan Hudud atau pun Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993 pindaan 2015). Sehingga kini tidak ada pula satu pernyataan rasmi untuk menarik balik atau menamatkan gencatan senjata tersebut, walau pun Mohd. Amar pernah mengeluarkan ugutan untuk melancarkan “peperangan semula ke atas UMNO”.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Pemuda PAS juga dalam kenyataannya mempertahankan pendirian PAS untuk meneruskan gencatan senjata dengan pihak UMNO. Beliau dikatakan menegaskan, “gencatan senjata antara kedua-dua parti itu disifatkan sebagai satu proses pembaharuan”. Bahkan beliau menegaskan, “Telah berakhir dalam PAS era melawan UMNO dengan emosi dan amarah. Bermulalah melawan UMNO dan semua pemuka kemungkaran dengan ilmu, iman dan kematangan”. Selanjutnya Nik Mohamad Abduh menjelaskan, “Itulah penambahbaikan dalam PAS melalui proses tajdid yang dituntut oleh agama. Dengannya, PAS akan lebih kuat dan lebih bersedia memimpin negara”

Kedua-dua kenyataan yang dinyatakan oleh Mohd. Amar Nik Abdullah dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz lebih merupakan pandangan dominan dalam situasi PAS masa kini. Memandangkan segala proses keputusan politik dalam PAS kini adalah berpusat kepada Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS dan penguasaan Presiden PAS terhadap Jawatan kuasa PAS Pusat, hampir bersifat mutlak. Pendirian Presiden PAS adalah jelas mengarah kepada usaha mewujudkan kerjasama politik dengan pihak UMNO, dalam satu kenyataan Presiden PAS telah mengakui akan wujudnya usaha perbincangan dengan pihak UMNO, bagi meneroka kerjasama masa depan.

Abdul Hadi Awang, secara tegas telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan. Riak-riak untuk PAS bekerjasama dengan UMNO, bukan sesuatu yang perlu diselindungi, sebaliknya telah tercetus dalam minda Abdul hadi Awang, walau pun diucap dalam nada yang simbolik, “PAS tidak akan bersikap gopoh dalam melaksanakan sesuatu perkara termasuk dalam menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO”. Berdasarkan kenyataan ini, wujud kecenderungan PAS untuk membina jalinan hubungan kerjasama politik dengan UMNO, cuma perkataan “tidak akan bersikap gopoh” sebagai satu “detterant” untuk mengelakkan reaksi balas wujudnya penentangan daripada ahli-ahli bawahan PAS, sekiranya kerjasama itu tidak diurus secara ideologikal dan melampaui tuntutan psikologi.

Idea yang dilontar oleh TITM ternyata merupakan satu idea yang berlandaskan kepada realiti politik Malaysia, namun ia bukan merupakan satu idea yang dominan dalam konteks sikap, pemikiran dan tingkah laku kepimpinan PAS. Lontaran idea tersebut agak bersifat “asingan” dan sukar untuk diterjemahkan dalam konteks gerak kerja politik PAS semasa. Tambahan pula, pimpinan PAS sedang berdepan dengan kemendungan ideologi politik yang tersangkut atas frasa “hudud”, realiti ini menjadikan mereka gagal untuk membuat pembacaan meter politik dengan lebih tepat bersasaskan gerakan pola aliran mata meter. Keadaan ini akan menyebabkan wujudnya kesukaran dalam mencernakan strategi perang dalam konteks untuk menguasai medan perang secara lebih luas dan menyeluruh.

Mengharapkan berlakunya putaran perubahan dalam konteks pendekatan politik, sebagai hasil daripada kenyataan TITM agak sukar untuk berlaku, meskipun ia bukan merupakan sesuatu yang mustahil. Politik umumnya tidak ada sesuatu yang bersifat mustahil, memadangkan strategi politik sesuatu yang sukar untuk diramal. Namun meyakini dengan corak pemikiran serta perspektif politik yang didokong oleh Mursyidul Am PAS serta komposisi ahli yang menduduki AJK PAS Pusat, pada waktu ini yang rata-ratanya tidak mempunyai keinginan untuk memahami peta politik Malaysia secara global serta kegagalan dalam membuat pemetaan politik beradasarkan lingkungan landskap dan demografi yang real, ditambah pula dengan situasi ketidakmahiran membaca arah kompas secara sistematik, maka cadangan TITM hanya terperosok dalam keusangan waktu.

Dr. Kamarudin Musa
UPSI.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa