- FEB 03, 2014
- LAN JUSOH
KOTA BHARU: Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Che Azmi Mohd Ali (gambar) bersetuju menarik balik kenyataan berunsur fitnah terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.
Selain itu MTRK menyatakan kekesalan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mendakwa berlaku salahguna kewangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) oleh Exco dan pegawai AKSB untuk melancong ke luar negara.
Persetujuan perintah dan penghakiman tersebut direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim di sini, hari ini.
Che Azmi yang juga adik kepada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pada kenyataan media pada 28 dan 29 Mei 2012 mendakwa berlaku salahguna kewangan AKSB oleh Exco terbabit dan beberapa pegawai kanan AKSB untuk melancong ke Australia, Jerman, Sweden, Finland, England, Mesir dan Afrika Selatan.
Ekoran itu Md Anizam memfailkan saman terhadap Che Azmi, MTRK dan Utusan Malaysia serta menuntut defendan menarik balik kenyataan tersebut, memohon maaf dan ganti rugi.
Peguam Hisham Fauzi yang mewakili plaintif berkata, kes tersebut sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini selama empat hari bermula hari ini.
Katanya, seramai enam saksi dijadualkan dipanggil memberi keterangan.
Bagaimanapun kes terbabit telah selesai melalui rundingan di luar mahkamah.
“Dengan penghakiman dan persetujuan yang direkodkan itu juga maka tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi dikira telah selesai,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes itu.
Plaintif turut diwakili peguam Mustaqim Zaki, manakala Che Azmi dan MTRK diwakili Ilias Mohd Noor dan Norazli Ahmed. Utusan Malaysia diwakili Izral Khairy.
Sementara itu Md Anizam melahirkan rasa syukur kerana kes tersebut telah selesai dan berharap tidak ada lagi pihak yang memfitnahnya dan AKSB lagi.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa