Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, February 12, 2014

Jangan Kritik Hudud Kerana Teknikal: Teguran Untuk Sape Ni?

Ini pada aku satu pandangan senget dari seorang bekas Ketua Hakim Negara yang tertimbus dengan undang-undang sivil  ciptaan yahudi di sepanjang kariernya.
Fikirannya juga tidak lepas dari kotoran politik seperti juga Mahathir
Baca : Hudud di Malaysia

Hudud: Jangan kritik hanya kerana isu teknikal – Muhammad Nuruddin Bashah
MI - FEBRUARY 12, 2014
Dalam perlaksanaan Kanun Jenayah Islam yang dikenali sebagai hudud dan qisas aspek teknikal pelaksanaan dan falsafah pelaksanaan adalah dua perkara yang wajar diberi perhatian serius. Malah dalam apa wacana sekalipun keseimbangan dua aspek ini amat perlu untuk memastikan wacana hudud tidak bersifat skeptikal, bias dan tidak adil.
Penulis merujuk laporan isi kandungan pembentangan kertas kerja "Implementation of Hudud in Brunei Darussalam: Differences between Brunei Darussalam and Malaysia” oleh Tun Abdul Hamid Mohamad yang merupakan bekas hakim negara dalam seminar di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS).
Tindakan pengamal undang-undang sivil ini mengkritik hudud di peringkat antarabangsa melalui penelitian aspek taktikal dan teknikal semata-mata kelihatan merugikan ‘milage’ dakwah Islam. Malah kupasan beliau sebelum ini juga kelihatan ingin menampilkan kekurangan, kelemahan undang-undang Allah sendiri walaupun mungkin beliau mungkin sedar siapakah pencipta hukum hudud berkenaan. Antara aspek teknikal yang beliau utarakan adalah;
  1. Selepas Sudan mengisytihar Hudud, peguam dan hakim terpaksa mencari bahan rujukan hudud kerana mereka sebenarnya tidak bersedia untuk melaksana hudud.
  1. Keadilan tidak mampu diberi kerana masalah 4 saksi yang dituntut oleh penguatkuasa negara tertentu yang melaksana hudud.
  1. Kecelaruan polis dan peguam jika hudud dilaksana di Malaysia.
Hudud hanya boleh dilaksana selepas aspek asas kemanusiaan ditangani oleh pemerintah. Tidak dapat dinafikan kegagalan hudud di Pakistan dan Sudan berpunca daripada ketidaksediaan pemerintah mencipta suasana, prasarana dan kemudahan yang sesuai untuk dilaksanakan.Isu ini sebanarnya menampilkan ketidaksediaan untuk melaksana hudud. Misalnya apabila beliau merujuk Sudan dan Mali sebagai negara yang gagal dalam aspek mengawal jenayah malah berada di ranking bawah bagi penelitian aspek keamanan dalam negara berbanding negara bukan Islam yang jauh lebih maju dan aman.
Mengambil kondisi negara ini untuk dibanding dengan negara tanpa hudud adalah perbandingan yang salah kerana hukum hudud adalah hukuman Allah sebaliknya yang diperbandingkan adalah negara yang mungkin tidak melaksana hudud secara tepat dan menyeluruh. Malah bagi negara seperti Nigeria hanya sebuah negerinya sahaja melaksanakan hudud. Justeru tidak layak dibanding kondisi purata Nigeria untuk menilai prestasi hudud di situ.
Memetik penulisan Dr Asri Zainal Abidin beliau merujuk melalui The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan.
Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam pelaksanaan hudud.
Hukuman hudud memang undang-undang yang keras. Malah ada yang nakal menyatakan ia tidak bertamadun. Persoalannya, adakah mencuri, pecah rumah, meragut, merompak peniaga yang banyak berlaku hari ini adalah satu perbuatan yang bertamadun? Orang bukan Islam tidak perlu takut kerana mereka terlepas daripada hukuman hudud. Malah sebenarnya orang yang bukan penjenayah langsung tidak perlu takut kepada hukuman hudud kerana ia hanya dikenakan kepada mereka yang buat jenayah dan mereka yang baik-baik akan dilindungi.
Sebenarnya pada 2013 Tun Mohd Azmi juga pernah memberi contoh bagaimana di Pakistan terdapat kes mangsa rogol tertindas sehingga membunuh diri hanya kerana polis menyoal mereka untuk dibawa 4 saksi.
Hudud ini juga mempunyai prosedurnya yang lebih ketat dan syarat pembuktian yang juga lebih ketat. Apabila ia lebih ketat daripada undang-undang yang sedia ada, maka bukanlah mudah untuk menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah. Polis dan pihak pendakwaraya perlu melakukan kerja yang lebih keras, lebih tepat dan lebih betul.
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”.
Lantaran itu Tun Abdul Hamid mungkin terlupa wujudnya takzir. Takzir malah jauh lebih berat hukumannya dalam keadaan tertentu jika tiada hukuman hudud yang disabitkan. Takzir akan menjadi pilihan hakim selepas gagal mensabitkan kesalahan dengan kaedah hudud atau kesalahan tidak termasuk dalam senarai hukuman hudud. Isu wanita tertindas dirogol tanpa pembelaan adalah masalah teknikal pelaksanaan negara tertentu yang sebenarnya idak bersedia untuk melaksana hukuman Allah ini.
Orang bukan Islam boleh memutuskan tidak mahu hudud dilaksanakan di atas mereka. Itu pilihan mereka sendiri di dalam negara demokrasi. Pemimpin Islam perlu menghormati pilihan tersebut. Tetapi pada masa sama, semua pihak perlu menghormati hak dan kewajipan orang Islam untuk diadili dengan undang-undang jenayahnya sendiri. Inilah prinsip asas dalam negara demokrasi.
Beliau juga menyatakan bagaimana Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bakal menghalang perlaksanaan hudud hanya kepada orang Islam atas alasan tidak adil untuk orang Islam.
Sedangkan isu Perkara 8 boleh diselesai jika tafsiran Perkara 3 dikupas secara menyeluruh dan cenderung kepada pemartabatan syariah. Malah Hak Perkara 121 (1a) yang membicarakan hukuman jenayah kaum muslim di Mahkamah Syariah tidak boleh dicabar di Mahakamah Sivil jika sedari awal jenayah kaum muslim itu dibawa ke Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul jika jenayah dirujuk ke Mahkamah sivil terlebih dahulu di mana hakim sivil boleh menggunakan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 sebagai perisai kepada Mahkamah Syariah.
Perkara 8 sebagai hujah kesamarataan Islam dan bukan Islam juga tidak relevan kerana dalam hal faraid, isu mal dan pelbagai isu syariah lain mengapa ia boleh hanya dipraktik kepada kaum muslim tetapi dalam hal jenayah hudud pula Perkara 8 dikumandangkan sebagai alasan?
Bekas hakim negara itu juga mengkritik tindakan kerajaan negeri tertentu yang menggubal undang-undang hudud hanya kerana bidang kuasa agama berada dalam senarai kuasa negeri. Pada beliau negeri berkenaan seolah-olah lupa peranan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan memang mampu menghalang kuasa negeri melaksana hudud kerana Jadual Kesembilan Perlembagaan tidak memasukkan senarai jenayah kepada senarai milik negeri. Maka melaksana hukum jenayah hudud di Mahkamah Syariah yang hanya di peringkat negeri dianggap tidak sah dan melanggar Perlembagaan. Begitu juga Perkara 4 juga membantu Jadual Kesembilan membenam hasrat kerajaan negeri melaksanakan hudud secara menyeluruh.
Negeri seperti Kelantan meluluskan enakmen hudud kerana ia tanggungjawab sebagai manusia yang menganut Islam. Soal ia mampu direalisasikan soal kedua. Meluluskan enakmen seperti tindakan Terengganu dan juga Brunei melambangkan kesediaan untuk patuh kepada undang-undang Allah. Isu tiada saksi sebagainya tidak timbul. Jika tidak mampu diperolehi saksi adil, takzir menjadi pilihan hakim. Terlepas daripada hudud disebabkan tidak menepati kriteria pendakwaan bukan bererti negara hudud melepaskan penjenayah dan pesalah begitu sahaja.
Kelantan apabila diperintah oleh Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 tidak gopoh meluluskan enakmen hudud, sebaliknya isu kebajikan, keperluan dan penaiktarafan tahap kehidupan rakyat diberi perhatian terlebih dahulu. Menghapus riba dan cukai dosa (judi, arak) dalam akuan negeri menjadi pilihan pertama. Selepas itu barulah Kelantan meluluskan enakmen hudud tersebut.
Tun Abdul Azmi juga kelihatan ghairah berkempen seolah-olah penyokong hudud taksub untuk menghukum masyarakat. Pada beliau jika sesuai boleh diselesaikan tanpa hukuman mengapa perlu memilih hukuman. Kata beliau “The type of punishment is actually a means to achieve justice. If you could achieve justice without punishing, then why not? “. (Hudud will not cut crime rate, says ex-CJ Abdul Hamid, 5 April 2013).
Soalnya benarkah hudud terhegeh-hegeh mahu menghukum manusia atau rakyat? Jika ingin sabit saksi pun sukar ia jelas menunjukkan hukuman ini sukar disabit kesalahan tetapi wajib dilaksanakan, dinobat dan dijulang sebagai asas perundangan jenayah negara. Hukuman takzir boleh menggantikan hudud bila-bila sahaja bila gagal mensabitkan kes hudud. Tiada isu hudud mencenderungkan pimpinan untuk menghukum rakyat.
Jika menurut beliau ada penyelesaian selain hudud bagi kesalahan, tahukah beliau apakah kesalahan yang disabit dengan hudud? Jika mencuri misalnya, wajarkah dimaafkan jika merompak dan menyamun jutaan ringgit? Penyelesaian bentuk apakah lagi yang beliau mampu hidangkan? Seperti biasa, tanpa memenuhi syarat sabit hukum, kes mencuri juga boleh terlepas daripada hudud seterusnya menerima hukuman takzir.
Untuk hukuman bunuh walaupun ada peruntukan qisas, Islam jauh lebih adil apabila membenarkan bayaran diyat jika keluarga mangsa memafkan kesalahan. Tetapi tidak bagi hukum svil yang tetap menghukum bunuh bagi si pembunuh walaupun menerima kemaafan keluarga mangsa. Ini bermakna selain qisas dan hudud ada penyelesaian diyat. Penulis lebih suka membawa statistik negara Arab Saudi yang mengamal hudud berbanding membawa contoh Sudan yang miskin dan hanya separuh jalan melaksanakan hudud atau Mali yang bergolak teruk.
Jumlah kes jenayah di Arab Saudi sepanjang 2012 ialah 2, 669 sahaja.
Di Malaysia, Januari-Mei 2012, bilangan kes jenayah ialah 63,221, dan pada 2011 ialah 157,891.
Inilah perbezaan ketara antara negara yang laksanakan syariah dan yang tidak melaksanakan syariah: 2,669 kes di Arab Saudi berbanding 160,000 kes di Malaysia, iaitu 60 kali ganda.
Pada 2000, jenayah rompakan perkapita memaparkan bahawa Malaysia berada di kedudukan 26 berbanding Arab Saudi pada tangga 60. Manakala negara yang kononnya demokratik dan berundang-undang bebas seperti Amerika Syarikat berada di tangga 11 manakala United Kingdom di tangga ke-8. (Sumber:Seventh United Nations Survey of Crime Trends and Operations of Criminal Justice Systems, covering the period 1998 - 2000 (United Nations Office on Drugs and Crime, Centre for International Crime Prevention).
Menurut James Sheptycki, Ali Wardak, James Hardie-Bick dalam tulisan Transnational and Comparative Criminology. Routledge Cavendish di muka surat 95 pada 1988, kadar pembunuhan di Arab Saudi adalah 1.1 bagi setiap 100,000 penduduk, kesalahan seksual adalah 21.9 bagi setiap 100,000 penduduk, dan kecurian adalah 70.5 bagi setiap 100,000.
Pada 2002, sebanyak 84, 599 jenayah dilaporkan di Arab Saudi, atau 387 jenayah bagi setiap 100,000 orang. Menjelang 2006 angka  turun dengan pembunuhan di 65.3 bagi setiap 100,000 penduduk, kesalahan seksual di 58.6 bagi setiap 100,000, dan kecurian kesalahan itu di 70.5 bagi setiap 100,000.
Jika aspek teknikal juga dibangkitkan lihat bagaimana Brunei belajar daripada Arab Saudi berkenaan kaedah, tatacara dan persediaan sebelum melaksana hudud. Pada 9 Februari 2014, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman mengadakan perjumpaan dengan Menteri Keadilan, Kerajaan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr Muhammad bin Abdul Kareem Issa untuk menadapat nasihat berkenaan persediaan melaksana hudud.
Rombongan Brunei diberikan taklimat serta tayangan klip video mengenai pengurusan dan pentadbiran mahkamah, cara pelaksanaan dan data statistik kes jenayah syariah yang melibatkan hukuman hudud, qisas serta takzir di kerajaan Arab Saudi dan kemudiannya turut dibawa melawat ke sekitar bangunan kementerian berkenaan bagi meninjau infrastruktur serta fasiliti yang terdapat di sana. Inilah contoh negara yang bersungguh dan ingin melaksana hukum hudud.
Bagi Malaysia pula mungkin terlalu banyak perlu dilakukan. Bukan sekadar menyedia pisau atau pedang pemancung kepala atau membeli rotan sebat sebanyak mungkin, kerajaan Malaysia perlu pinda dahulu beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan serta beberapa peruntukan dalam akta tertentu. Inilah yang perlu dilakukan dahulu bukannya secara megah mengkritik perlaksanaan hudud secara simplistik.
Falsafah hudud adalah mencegah jenayah. Hudud juga membawa falsafah mentaati perintah Allah dan perlambangan kehambaan kita terhadap Allah. Janganlah hanya kerana kegagalan teknikal beberapa negara Islam dijadikan indikator dan dalil untuk menolak hukum Alah.  – 12 Februari, 2014.
* Penulis ialah aktivis Gerakan Sokong Syariah (Gesa), Unit Kajian Ilmiah MAPIM Utara.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

3 comments:

  1. tahniah skheikh, teruskan membela agama. moga Allah buka hati bekas hakim tu dgn tulisan ini. bimbang juga kalau ada org mati berpegang dgn pendapat bekas hakim.

    ReplyDelete
  2. 5:50. Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?

    ada manusia perasan hebat tak kemana pun akhirnya kedalam lubang kubur jugak
    manusia yang tak yakin dengan hukum dari Allah ramai. jauhi mereka

    ReplyDelete
  3. Hal hal tentang pelaksanaan syariat dan hal ehwal Islam bukan orang atau tokoh seperti ini atau yang sehaluan dan sewaktu dengannya diberi dan dijemput memberi ucaptama atau pembentang kertas kerja.Dah tahu apa pandangannya.Hal sebegini perlu mereka yang komited dalam gerakan Islam dan mereka yang ada sarjana atau phd dalam bidang undang undang pperbandingan.Bukan hanya sarjana dalam bidang undang undang barat atau sekular.Pastinya pemikirannya telah terbelit dan tak nampak jalan dan tak ketemu pencerahan.Akhirnya nanti manusia ini akan rosak akidahnya kerana mengada-adakan keburukan undang undang Islam dan beria-ia menegakkan kebaikan undang-undang barat.Membawa menjadi kufur malah kafir kerana tidak mahu dan yakin dengan hukum Allah.Kita pula sakit hati dan marah kepadanya kerana memperlekehkan Islam.Walaupun yang hakikat dan sebenarnya dialah yang lekeh.Terina kasih.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa