SEKILAS PANDANG: Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno nampaknya tidak pernah belajar. Selagi ada peluang untuk berbelanja besar ke atas projek bernilai berbilion ringgit, tiada apa lagi yang penting.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pastinya telah menyebarkan cara pemikiran sebegini apabila beliau berkata "terdapat keperluan untuk menaik taraf sistem pertahanan negara, untuk mengukuhkan keselamatan pada masa akan datang".
Selepas kontroversi ruang udara ditembusi oleh MH370 di mana Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) telah mengesannya tetapi gagal bertindak, adakah Hishammuddin mengakui bahawa pertahanan negara adalah tidak mencukupi?
Adakah siapa-siapa yang terkejut mengenai ini?
Sebelum Hishammuddin bercadang menghabiskan berbilion-bilion ringgit melalui perolehan pertahanan, dan memberikan durian runtuh kepada kroni Umno, bolehkah beliau terlebih dahulu menjelaskan di mana dua buah kapal selam Scorpene Malaysia?
Misi pencarian dan penyelamat (SAR) berbilang negara bagi pesawat MAS Boeing 777 yang hilang telah memasuki hari ke40, tetapi Hishammuddin telah " senyap sepenuhnya" dalam hal lokasi kapal selam Scorpene atau mengapa mereka masih belum digunakan.
Adakah kedua-dua kapal selam terpakai buatan Perancis ini, yang dibeli dengan kos sebanyak RM4.78 bilion pada 5 Jun 2002, dan dihantar pada 3 September 2009, boleh beroperasi? Apabila dihantar ke Pelabuhan Klang, kapal selam ini langsung tidak boleh menyelam!
Sehingga Hishammuddin menjelaskan mengapa kapal selam ini tiada, adalah tidak bertanggungjawab dan sukar dipercayai bahawa beliau berfikir yang sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengambil kesempatan ke atas krisis MH370 untuk mewajarkan lebih perolehan pertahanan.
Beliau berkata langkah itu diperlukan memandangkan keperluan untuk mendedahkan maklumat sensitif radar tentera dalam pencarian pesawat Boeing 777-200ER, yang hilang dari skrin radar penerbangan komersial pada jam 01:07 8 Mac lalu.
"Kami telah membuat keputusan yang sangat berani untuk mengenepikan keselamatan dan kepentingan negara, dengan mendedahkan beberapa maklumat sensitif radar ketenteraan kita pada peringkat awal SAR.
"Keadaan kini memerlukan kita melihat semula keperluan kita pada masa akan datang dan yang lebih penting, kami juga sedang mengkaji konteks rantau Asean sebagai sebuah kumpulan," katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Global Komited Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Syarikat Weststar, dan Thales UK di Kuala Lumpur pada 14 April.
Sewaktu menjawab sebuah soalan, Hishammuddin berkata teknologi pengawasan adalah sebuah bidang yang menjadi tumpuan, selepas MH370 dan 239 orang penumpang dan anak kapalnya hilang.
Sambil mengingatkan bahawa Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi Asean tahun depan, Hishammuddin berkata mana-mana negara Asean tidak akan dapat menangani ancaman masa depan secara bersendirian.
"Kita perlu kreativiti dalam pendekatan kita, bekerja lebih rapat ke arah mencegah ancaman yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan di rantau ini," katanya.
Walau bagaimanapun, ini bukan satu-satunya kebimbangan yang mendesak. Semuanya akan sia-sia tanpa kebertanggungjawaban.
Mulakan dengan bertanggungjawab terhadap status kedua-dua kapal selam Scorpene.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ramai ahli-ahli kabinetnya telah menetapkan bahawa zaman "Kerajaan lebih mengetahui" telah berlalu, dan menjanjikan lebih banyak keterbukaan dan ketelusan dalam dasar-dasar dan keputusan kerajaan.
"Rakyat akan dibawa berbincang sebelum kita membuat apa-apa keputusan penting," Najib sering perkatakan.
Jadi, mengapa tidak bermula dengan menjelaskan kepada kami mengenai kedua-dua kapal selam Scorpene RM4.8 bilion ini?
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa