Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, April 23, 2014

Ukraine: Krisis terbesar Amerika-Rusia abad ini

APR 22, 2014 DR SYED AZMAN SYED AHMAD|SYEDAZMANS@YAHOO.CO.UK PERANG

PERANG Dingin antara blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat dengan Soviet Union telah lama berakhir. Namun kepentingan dan sentimen permusuhan antara kedua-dua Kuasa Besar Dunia itu masih segar dalam minda pimpinan dan rakyat di negara terbabit.

Kini di Ukraine, hal ini terbukti apabila negara bekas Soviet itu dilanda satu krisis politik yang boleh mengakibatkan perang besar di antara kedua-dua Kuasa Besar dunia.

Persoalannya, kenapakah Rusia telah bertindak dengan melakukan campur tangan ketenteraan ke atas semenanjung Crimea di Ukraine? Tidakkah tindakan keras ini akan mengundang satu lagi krisis dunia yang amat merbahaya? Dan apakah akan berlakunya perang besar di wilayah yang sedang bergolak ini?

Blok Barat melihat apa yang berlaku di Ukraine sebagai pencerobohan sebuah negara ke atas kemerdekaan dan kedaulatan sebuah negara lain. Malah Setiausaha Luar British, William Hague dengan penuh kebimbangan menyatakan bahawa; “kekacauan dan krisis politik yang melanda Ukraine sekarang adalah krisis yang terbesar di Eropah pada abad ke-21 ini”.

Kenapa Crimea?
Berpandukan kepada fakta sejarah, Crimea adalah wilayah yang dihadiahkan oleh Kesatuan Soviet kepada Ukraine pada dekad 1950-an selepas Ukraine bersetuju menjadi sebahagian daripada Kesatuan itu. Bagaimanapun apabila empayar Soviet hancur pada tahun 1991, Ukraine telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri. Walaupun merdeka, Ukraine masih terlalu banyak bergantung hidup kepada Rusia. Malahan Rusia terus mengekalkan pangkalan tentera laut yang besar di Crimea sehingga sekarang.
 Kenapa Krisis berlaku?
Ketegangan mula tercetus apabila bekas Presiden Ukraine yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych digulingkan oleh anggota-anggota Parlimen yang memilih Oleksandr Turchynovse sebagai presiden sementara.

Pimpinan baru ini dilihat rapat dengan Amerika Syarikat dan pro-EU. Disebabkan penggulingan pemimpin yang pro-Rusia itu, timbul desakan daripada penduduk dalam kalangan etnik Rusia supaya wilayah autonomi tersebut menarik diri atau keluar dari Ukraine.

Kenapakah Rusia mengambil risiko untuk melakukan campur tangan ketenteraan ke atas semenanjung Crimea di Ukraine?
Presiden Vladimir Putin dan Rusia telah dikecam hebat oleh UN dan EU dengan amaran pengasingan politik dan ekonomi yang mungkin dikenakan terhadap mereka. Namun mereka tetap mengambil ‘langkah ketenteraan’ ini untuk ‘menakluk’ kembali sebahagian dari wilayah Ukraine.

Presiden Putin juga sedar bahawa mungkin dengan tindakan ketenteraan ini mereka akan kehilangan kerusi dalam G8 iaitu lapan negara paling berkuasa di dunia jika meneruskan tindak-tanduk agresif di Ukraine.

Putin menegaskan bahawa Rusia terpaksa bertindak di Crimea sebagai langkah untuk melindungi keselamatan etnik Rusia yang berjumlah lebih 60 peratus di semenanjung itu. Mereka telah lama tinggal di sana dan menganggap wilayah ini adalah sebahagian dari wilayah mereka sendiri.

Namun apa yang pasti, selain dari sebab-sebab etno-budaya menjadi alasan Moscow untuk mengekalkan pengaruhnya di Crimea, 2 alasan terpenting adalah;

1.    Kepentingan ekonomi

Ekonomi Rusia kini sangat bergantung pada penjualan gas ke Eropah. Adalah dianggarken kini lebih dari 70 peratus dari gas yang di eksport ke Eropah terpaksa melalui saluran paip gas melalui sebahagian dari negara Ukraine. Pelabuhan Sevastopol ini juga menjadi pusat penyaluran gas dan minyak ke sebahagian besar negara Ukraine.
2.    Lokasi strategik Pelabuhan Sevastopol

Pelabuhan ketenteraan ini telah menjadi pangkalan tentera laut Rusia sejak  dari tahun 1783 lagi. Catatan menunjukkan, armada ketenteraan Rusia yang berpengkalan di Sevastopol di Laut Hitam adalah amat penting bagi Rusia untuk menghadapi sebarang kemungkinan serangan dari pihak musuh.

Apah kesudahannya krisis di Ukraine?
Akibat dari krisis ini, hubungan  di antara Rusia dan Amerika Syarikat kini menjadi semakin tegang. Amerika Syarikat berkemungkinan akan ‘membantu’ Ukraine untuk memulihkan keadaan di sana.

Ramai pemerhati melihat oleh kerana kebanyakan negara yang bersempadan dengan Ukraine adalah sekutu Amerika Syarikat (termasuk Romania, Hungary, Poland, dan Slovenia), Amerika Syarikat berkemungkinan besar akan membantu pentadbiran di Ukraine bukan sahaja dalam bentuk bantuan ekonomi tetapi juga secara ketenteraan.

Namun ramai pemerhati melihat bahawa Presiden Putin tidak akan berganjak dengan sikap keras beliau.

Rusia dijangka akan terus ‘menakluk’ kembali bukan sahaja wilayah Crimea yang kini di bawah pentadbiran Rusia; tetapi juga sebahagian besar wilayah di Timur Ukraine yang dianggap sebagai sebahagian dari Rusia.

Persoalannya, apakah kesudahan ketegangan yang sedang berlaku di Ukraine ini? Apakah akan berlaku ‘perang proksi terbesar’ di antara kedua-dua kuasa besar ini selepas apa yang sedang berlaku di Syria?
_______________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa