Khairy bidas Zul Nordin politikkan kematian Karpal
HARAKAHDAILY - APR 17, 2014
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini membidas bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin susulan kenyataan tidak sensitifnya berhubung kematian pemimpin DAP Karpal Singh.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata kenyataan Zulkifli menerusi Twitter itu tidak menggambarkan sikap sebenar seorang Islam atau rakyat Malaysia dan beliau malu dengan perbuatan tersebut.
"Sebarang kenyataan yang mempolitikkan kematiannya (Karpal Singh) dalam bentuk sedemikian rupa yang dilakukan oleh Zulkifli Noordin (gambar kanan, bersongkok) langsung tidak mencerminkan sikap rakyat Malaysia dan orang Islam.
"Saya malu dengan individu ini dan saya malu beliau bertanding bagi Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas dan kita tidak harus meletakkan beliau sebagai calon lagi," katanya selepas melancarkan Forum 'Women@Work' di sini.
Dalam pada itu Khairy turut mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal Singh.
Bekas Pengerusi DAP Kebangsaan dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu serta pembantu peribadinya terbunuh dalam nahas di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Kampar, awal hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa