Sergio Ramos menanduk masuk gol pertama Real Madrid dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Munich, Jerman pada awal pagi Selasa
REAL Madrid pada Selasa mara ke final Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kalinya dalam tempoh 12 tahun selepas mereka mencatatkan kemenangan besar dengan agregate 5-0 ke atas penyandang juara Bayern Munich.
Kemenangan ini menunjukkan bekas juara sekali lagi tidak dapat mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan paling berprestij di Eropah ini sejak ia diperkenalkan.
Bayern adalah juara musim lalu selepas mengalahkan sebuah lagi kelab Jerman, Borussia Dortmund.
Ia juga adalah kemenangan yang sangat bermakna untuk Real Madrid kerana mereka tidak pernah menang di Allianz Arena dalam 10 pertemuan sebelum ini.
Pep Guardiola, yang menurunkan pasukannya dengan formasi 4-2-3-1 gagal mengekang permainan pantas Real dengan Sergio Ramos menjaringkan dua gol dalam tempoh 20 minit dan Cristiano Ronaldo menambah luka tersebut dengan dua gol lagi sekaligus memecah rekod kejohanan dengan golnya yang ke-15 dan 16.
Sebaliknya Real dengan formasi 4-3-3 menguasai di bahagian tengah sepenuhnya dan ini membolehkan mereka merobek pertahanan Bayern yang kucar-kacir serta penjaga gol Manuel Neuer yang tidak semena-mena menunjukkan reaksi gelabah bermain di gelanggang sendiri.
Memang Real menguasai permainan pada separuh masa pertama tapi tiada siapa yang sangka mereka menunjukkan superioriti pada tahap tertinggi bermain di tempat lawan.
Guardiola yang merancang sebegitu banyak kemenangan untuk Barcelona sebelum ini telah dipukau dengan gaya permainan Real lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula Ronaldo yang benar-benar dirasai oleh pasukan dari Sepanyol itu. Ronaldo terlepas perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu kerana kecederaan pada buku lalinya.
Kesimpulannya, Real Madrid menang di Allianz Arena menerusi set piece yang menakjubkan, gerakan ganas dalam serang balas untuk menang besar.
Jika pasukan bimbingan Carlo Ancelotti ini berjaya membawa pulang piala paling berharga ini bulan depan, Manchester United boleh melupakan sebarang hasrat untuk mendapatkan khidmatnya.
Kali terakhir mereka menang piala ini ialah pada 2002 dengan jaringan volley Zinedine Zidane dianggap sebagai gol tercantik yang pernah disaksikan dalam sejarah kejohanan ini dan juga kemenangan yang kesembilan mereka.
Tetapi kali ini Zidane akan mencatat sejarah sekali lagi mara ke final, bukan sebagai pemain, sebaliknya sebagai penolong pengurus Real.
Bayern Munich: Manuel Neuer, David Alaba, Bonfim Dante, Jerome Boateng, Philip Lahm, Franck Ribery, Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Toni Kroos, Arjen Robben, Mario Mandzukic, Aguinaga Javi Martinez (45'), Claudio Pizarro (s 72'), Mario Gotze (s 71').
Real Madrid: Iker Casillas, Daniel Carvajal, Garcia Sergio Ramos, Kleper Pepe, Alexandre Fabio Coentrao, Xabi Alonso, Luka Modric, Gareth Bale, Angel Di Maria, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Raphael Varane (75'), Carlos Casemiro (83'), Alarcon Isco (79'). - mStar
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa