Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, April 17, 2014

Melaksanakan Hukum Allah: Pernahkah Korang Jumpa Mana-Mana Nas Supaya Adakan Referendum Atau Undian?

Hudud: Adakan referendum di Kelantan

April 17, 2014
Penulis mengesyorkan kerajaan PAS Kelantan buktikan rakyat Kelantan mahukan hudud melalui Referendum Rakyat.
Hudud Kelantan
Jumlah rakyat Kelantan yang berdaftar sebagai pengundi untuk PRU 13 yang lepas adalah seramai 918,573 orang. Saya mengandaikan rakyat Kelantan yang mendaftar sebagai pengundi ini merupakan rakyat yang matang dan mahu terlibat dalam proses membuat keputusan untuk kepentingan negeri.
Jumlah inilah yang perlu diambil kira oleh kerajaan PAS Kelantan untuk menentukan samada rakyat Kelantan benar-benar bersedia untuk hudud atau tidak.
Terdapat pemimpin PAS yang membuat kenyataan mudah dengan mengatakan semua pihak tidak perlu mempertikai tindakan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud kerana kerajaan PAS Kelantan membawa hasrat majoriti rakyat Kelantan yang telah mengundi PAS dalam PRU13 yang lalu.
Benar, PAS menang majoriti mudah untuk menewaskan Barisan Nasional (BN), namun samada pemimpin berkenaan sedar atau tidak, PAS tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Kelantan.
Undi keseluruhan yang diperolehi oleh PAS di Kelantan adalah 44% daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar iaitu sebanyak 400,238 orang, diikuti oleh BN 37% dan PKR 2%.
Empat puluh empat peratus ini merupakan angka signifikan yang menunjukkan tidak sampai separuh rakyat Kelantan yang berdaftar sebagai pengundi memberi undi kepada PAS.
Untuk mendakwa majoriti rakyat Kelantan menyokong PAS, maka PAS perlu mendapat sekurang-kurangnya 465,000 undi.
Oleh itu, adalah tidak sesuai untuk kerajaan PAS Kelantan menggunakan mandat PRU13 untuk melaksanakan satu polisi yang bukan sahaja akan memberi implikasi kepada pengundi PAS, tetapi seluruh rakyat Kelantan akan terkesan.
Manifesto PAS Kelantan
Terdapat juga pertikaian sesetengah pihak yang mengatakan hudud bukan kehendak rakyat Kelantan kerana hudud tidak pernah dinyatakan secara jelas dalam sembilan teras yang digariskan dalam Manifesto PAS Kelantan semasa PRU13.
Kemenangan yang lepas adalah terdorong kuat atas sentimen rakyat tolak Barisan Nasional dan bukannya kerana rakyat mahukan hudud dilaksanakan segera.
Oleh itu, saya kira satu mekanisme yang berasingan perlu dibuat bagi mendapatkan pungutan suara rakyat Kelantan berkenaan perlaksanaan hudud.
Mekanisme ini perlu memberi ruang untuk rakyat memilih secara adil. Mekanisme ini juga perlu membekalkan akses maklumat kepada rakyat untuk mendapat gambaran yang menyeluruh sebelum membuat keputusan.
Untuk itu, saya merasakan Referendum Rakyat merupakan solusi terbaik untuk kerajaan PAS Kelantan membuktikan hasrat untuk melaksanakan hudud benar-benar datang daripada kehendak rakyat dan bukan sekadar impian sehala kerajaan PAS Kelantan.
Sekiranya referendum ini dibuat, kerajaan PAS Kelantan bukan sahaja akan menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain, tetapi juga kepada kerajaan persekutuan.
Melalui sistem referendum ini, rakyat akan membuat pilihan merentasi batas fahaman politik dan bersatu demi kepentingan negeri.
Hal ini akan menjadikan kerajaan PAS Kelantan sebagai pencetus kepada sebuah sistem demokrasi yang benar-benar berteraskan nilai dan menjulang kuasa rakyat.
Bagaimana referendum berfungsi
Sekiranya ditanya bagaimana referendum ini boleh dilaksanakan, maka saya suka untuk mengambil sampel referendum yang diamalkan Negara Ireland.
Sebagai sebuah negara kecil yang berkomposisi enam juta penduduk, Ireland mengamalkan sistem referendum rakyat bagi memutuskan samada suatu pindaan perlembagaan diterima atau ditolak.
Sebagai contohnya, setelah suatu bil pindaan diluluskan di kedua-dua dewan parlimen dan senat, bil tersebut akan dibentangkan kepada rakyat untuk diundi.
Sebuah Jawatankuasa Referendum dibentuk oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan keseluruhan proses referendum.
Sistem pengundian yang dijalankan menggunakan kaedah yang sama seperti pilihanraya yang mana pengundi akan mengundi mengikut kawasan masing-masing.
Sekiranya hasil undian menunjukkan majoriti rakyat menyokong, maka Presiden akan menandatangani bil tersebut untuk dikuatkuasakan.
Maka saya melihat dengan kapasiti 918, 573 orang pengundi berdaftar, adalah tidak mustahil untuk kerajaan PAS Kelantan melaksanakan Referendum Rakyat yang akan menjadi sejarah baru dalam sistem demokrasi Malaysia.
Walaupun sistem referendum Ireland masih menggunakan konsep majoriti mudah untuk menentukan keputusan, namun saya melihat kerajaan PAS Kelantan perlu menambah nilai sistem referendum ini dengan menjadikan 51% pilihan pengundi sebagai penentu keputusan.
Oleh itu menjadi cabaran bagi kerajaan PAS Kelantan untuk memastikan rakyat Kelantan keluar mengundi dan memberi sokongan kepada usul perlaksanaan hudud.
Sekiranya referendum ini gagal mendapat sokongan 51% pengundi Kelantan, maka ini menjadi indikator yang menunjukkan rakyat Kelantan masih belum bersedia untuk menerima perlaksanaan hudud ekoran faktor ketidakfahaman mengenai hudud mahupun faktor-faktor lain.
Namun, setelah sekian lama rakyat Kelantan dididik dengan nilai Tarbiah Islam, saya rasa perkara ini seharusnya tidak menjadi kerisauan besar buat PAS Kelantan.
Bahkan adalah tidak mengejutkan sekiranya lebih 465,000 rakyat Kelantan menyatakan sokongan terhadap perlaksanaan Hudud.
Referendum rakyat Kelantan
Saya tahu banyak hujah yang mengatakan perlaksanakan Syariat Islam tidak mewajibkan sesebuah pemerintah mendapatkan keizinan rakyat.
Saya juga tahu ada hujah yang mengatakan hudud perlu dilaksanakan terlebih dahulu untuk membolehkan rakyat menilai hikmahnya.
Saya cuma mengkehadapankan satu mekanisme yang bakal membekalkan lebih kekuatan kepada usaha kerajaan PAS Kelantan untuk memperjuangkan cita-cita hudud.
Walaupun referendum ini jika dilaksanakan tidak memiliki sebarang kuasa legislatif, tetapi cukup mapan untuk dijadikan kayu ukur bagi menilai tahap kesediaan rakyat Kelantan terhadap perlaksanaan hudud.
Kerajaan PAS Kelantan tidak perlu sedih sekiranya rakyat Kelantan menolak perlaksanaan hudud dalam referendum yang dijalankan.
Hal ini menjadi petunjuk bahawa rakyat Kelantan mengharapkan lebih penjelasan mengenai hudud.
Mungkin juga rakyat Kelantan melihat ada perkara perkara lain yang lebih perlu diutamakan oleh kerajaan PAS Kelantan berbanding perlaksanaan hudud.
Saya juga yakin sekiranya kerajaan PAS Kelantan terus melaksanakan hudud tanpa membuka ruang untuk rakyat membuat pilihan, maka tidak mustahil rakyat akan menterjemahkan protes dalam PRU14 yang akan datang.
Saya berpendirian, lebih baik rakyat tolak perlaksanaan hudud dalam referendum daripada rakyat tolak PAS dalam PRU14.
Penulis adalah aktivis sepenuh masa Suaram, mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS.

5 comments:

  1. Adakah ini satu tindakan unilateral dimana hanya kerajaan PAS sahaja yg berminat melaksanakan hudud. Mari kita lihat apa yg terjadi diTrengganu semasa PAS memerintah. Mereka kalah walaupun enakmen telah di siapakan untuk kelulusan DUN Trengganu. Adakah jugak ia satu tindakan puak puak tertentu dlm PAS yg ingin menjahanamkan PAKATAN RAKYAT dg memcadangkan perkara ini hingga pindaan di Parlimen di atur. Sudah tentu ia menjerat DAP dan PKR yg pasti menentang. UMNO akan menyatakan sokongannya. Maka UMNO mendadik dada mereka telah membukti niat iklas menyokong usaha PAS ini. Maka terpinggirlah DAP dan PKR. Berpecahlah Pakatan Rakyat. UMNO tahu akhirnya usaha ini mendapat kelulusan pindaan parliment tidak akan berjaya atas usaha gelap UMNO juga. Umno mendapat keuntungan politik yg besar dan PAS dipermainkan. Rakan rakan Pakatan Rakyat akan mula pandang serong pada PAS. UMNO melontar batu untuk dua burung.

    ReplyDelete
  2. anon 1013,
    Komen tuan sangat releven. PAS jangan masuk perangkap UMNOOOOO.

    ReplyDelete
  3. Hai, nak tegakkan Hukum Allah kena buat referendum jugak ke? Tak tahulah yang buat cadangan ini dan para penyokong nya orang ISLAM atau hanya setakat Melayu saja. Kalau mereka ni setakat melayu saja dan lebih2 lagi kalau bermazhab umno atau PKR dan cuma islam pada nama memang kita fahamlah kenapa mereka sangat menentang Hudud dilaksanakan di Kelantan.Lihat saja umno Trengganu yang awal2 menolak hukum Allah ini.Wallahualam.

    ReplyDelete
  4. Sebagai hamba yang dijadikan oleh Allah SWT, wajib kita patuh dan melaksanakan hukum Nya. Jika tidak, kita adalah hamba yang menderhaka kpd Nya dan tidak layak menjadi hamba Nya; terutama sekali kepada manusia Islam yang berpegang kpd kalimah LA ILAHAILAALLAH. Fikir2kan lah kpd yang berakal dan aqil baliq.

    ReplyDelete
  5. nak buat hudud perlu minta pendapat rakyat tapi nak buat undang2 ciptaan manusia di parlimen tak pulak minta referendum rakyat. manusia memang cerdik.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa