PKR siasat dakwaan penipuan kumpulan Azmin
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan menyiasat langsung dakwaan penipuan undi yang didakwa melibatkan calon timbalan presiden PKR.
Pengerusi JPP Datuk Johari Abdul berkata beliau akan terus ke Batang Sadong, dekat Sri Aman, Sarawak hari ini bagi menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan serta-merta jika ia didapati berasas.
"Kalau dapati benar apa yang berlaku kita ambil tindakan sewajarnya dan akan buat makluman di situ dan saya beri amaran tegas. Kami serius.
“Kami akan ambil tindakan tidak kira apa jawatan mereka yang terlibat," kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Ahli PKR Badrul Hisham Shaharin mendakwa penipuan berlaku ketika kiraan undi di Batang Sadong, Sarawak semalam melibatkan kumpulan penyokong Azmin Ali.
Beliau menyebarkan gambar di laman media sosial menunjukkan beberapa lelaki sedang bersama kertas undi pemilihan kawasan terpencil itu.
Johari mengaku menerima beberapa aduan berkenaan perkara itu.
"Bukan saja Chegubard (Badrul) ramai lagi buat aduan," kata beliau.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Azmin berhubung dakwaan itu tetapi setakat ini masih belum berhasil.
Menurut Johari, daripada maklumat awal, dua calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mendapati kertas undi pemilihan parti itu bertaburan di sebuah bilik hotel.
Johari berkata bilik hotel itu digunakan oleh petugas pemilihan cabang PKR Batang Sadong yang dikatakan terpaksa menggunakan tempat itu lantaran tiada tempat lain sesuai.
"Dikatakan ketika mereka sedang buka tong dan kira (undi) datang dua orang calon MPP yang tahu pengiraan sedang berlaku nak melihat hal tersebut tetapi ada kelewatan membuka pintu bilik.
"Kemudian dikatakan berlaku black-out (lampu padam) dan bila mereka masuk nampak kertas undi bertaburan," kata beliau kepada media tanpa mengulas lanjut.
Sementara itu, Johari juga berkata akan memanggil satu sidang khas untuk isu Azmin dan seorang lagi calon timbalan presiden Datuk Saifuddin Nasution Ismail ekoran kenyataan di media massa dua minggu lalu.
"Kita akan panggil sidang media khas. Jawatankuasa sedang meneliti. Kita dah dapatkan kenyataan mereka," kata Johari.
Johari turut mengumumkan beberapa cabang terpaksa mengundi pada 10 Mei berikutan masalah logistik dan perkara yang tidak dapat dielakkan.
"Cabang Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman di Terengganu kita anjakkan pilihan ke 10 Mei dan kita minta mereka bersedia dan adakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang dan pemilihan semula sekali gus.
"Sementara itu di Bukit Katil, Melaka; Paya Besar dan Jenratut, Pahang pemilihan turut diadakan semula dan kita meminta mereka bersedia dari segi tempat,' kata beliau.
Keputusan rasmi dari negeri Sarawak, Johor, Pahang dan Melaka bakal diumumkan Johari dan JPP dalam tempoh 24 jam. - mk
Kalau dah Bin Umno, susah nak ubah perangai menipu untuk berkuasa.Ini yang dikatakan "Cakap Berdegar2, tahi terselit kat Gelegar". Macam ni nak jadi MB, siaplah seluruh rakyat Selangor nanti dia tipu.
ReplyDelete