PAS ambil pendekatan yang ganjil, kata Dr Aziz Bari
Berada dalam Pakatan, tetapi memerlukan sokongan Umno
PETALING JAYA: Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari mendakwa PAS mengambil pendekatan yang ganjil, ia berada di dalam Pakatan Rakyat tetapi membuat gerak yang memerlukan sokongan Umno yang berada di dalam Barisan Nasional.
Katanya, ini yang menyebabkan prosedur dan jalan yang diambil berbelit-belit dalam pelaksanaan hukum hudud.
“Saya berasa aneh mengapa Perkara 76A dibangkitkan sedangkan di dalam perlembagaan ada peruntukan yang lebih jelas dan tegas mengenai hudud ini, contohnya “hukum syarak” yang disebut di bawah senarai negeri,” kata beliau dalam sebuah artikel yang ditulisnya dalam sebuah portal berita.
Beliau yang juga bekas calon PKR pada PRU lalu berkata penentangan oleh golongan bukan Islam timbul kerana hudud dihujah melalui kuasa persekutuan.
“Umno tidak berbuat apa-apa. Setakat artikel ini ditulis, bahkan kita sendiri pun masih belum jelas pendirian dan komitmen Umno mengenai hudud ini,” katanya lagi.
Katanya, sokongan yang dizahirkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa bukan pendirian rasmi parti.
“Kita mungkin boleh berpegang dengan apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Jamil Khir sebagai anggota kabinet,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya lagi, kenyataan terbaru Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menampakkan komitmen tegas melaksanakan hudud dan ini menyebabkan sokongan Jamil Khir itu tidak bermakna apa-apa.
Beliau berpendapat meskipun hudud bukan dasar Pakatan Rakyat ia masih boleh dilaksanakan kerana di sana ada beberapa prasarana tertentu yang boleh digunakan.
“Ini termasuk komitmen menjunjung perlembagaan dan ruang untuk pelaksanaan ideal federalism yang sepenuhnya di negara ini. Tetapi ia memerlukan kesabaran dan kerja keras di pihak PAS,” tegasnya.
Dr Aziz berkata apa yang kita lihat PAS semakin lemah; ia hanya memiliki 21 kerusi parlimen di samping kehilangan Kedah. Dalam pada itu di Kelantan pun undi popular yang PAS dapat tidak melebihi 50 peratus; sesuatu yang menimbulkan tanda tanya tentang keabsahan tindakan PAS di sisi demokrasi.
“Yang jelas, sebagaimana 2008, di dalam senario sekarang Umno yang mendapat laba politik,” dakwanya.
Dr Aziz berkata ada yang beranggapan bahawa beliau enggan membantu Kelantan dalam isu pelaksanaan hudud selain mendakwanya berdolak-dalik.
“Saya berasa perlu untuk menjelaskan beberapa perkara yang mungkin kelihatan remeh. Saya ke Kelantan dua minggu lalu untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud yang dipengerusikan oleh timbalan menteri besar,” jelas beliau.
Bagaimanapun, katanya, oleh kerana tidak ada siapa yang menunggunya di lapangan terbang beliau membuat keputusan untuk balik semula ke Kuala Lumpur selepas dua jam.
“Saya menganggap ia sangat ganjil kerana sejak 1996 lagi sentiasa ada pegawai yang menunggu ketibaan saya,” dakwanya.
Jelasnya lagi, dalam beberapa kesempatan beliau malah dijemput oleh pimpinan atasan seperti bekas Speaker Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Fatah Haron, bekas ahli parlimen Rantau Panjang.
“ Mungkin saya perlu sebutkan bahawa saya ke Kelantan dengan perbelanjaan sendiri,” katanya lagi.
Katanya lagi, tahun lalu namanya dijaja oleh kerajaan negeri kononnya diminta menjalankan kajian tentang hudud sedangkan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.
“Dalam pada itu seorang anggota exco Kelantan beberapa kali menefelon saya hendak berjumpa untuk memohon penjelasan mengenai halangan pelaksanaan hudud. Tetapi sehingga hari ini beliau tidak pernah datang berjumpa,” katanya sambil menafikan beliau enggan membantu PAS seperti mana kritikan akhbar Harakah.
Katanya lagi, minggu lalu ahli parlimen Sepang dan peguam Mohamed Hanipa Maidin menyebut teori perlembagaan beliau dan kesannya kepada kes Lina Joy di mahkamah.
“Kes mengenai isu murtad ini menggegarkan negara pada 2005. Sebenarnya pendekatan yang sama jugalah yang saya pakai dalam menghujah keharusan pelaksanaan hudud melalui kerangka perlembagaan kita,” katanya.
Katanya lagi, sebelum itu rata-rata orang beranggapan bahawa perlembagaan kita menghalang hudud; sesuatu yang asasnya ditanam oleh guru beliau Profesor Ahmad Ibrahim.
“Pada awalnya saya berpendapat bahawa bidang kuasa melaksanakan hudud terletak di tangan kerajaan persekutuan,” katanya.
Bagaimanapun setelah beliau bertemu dengan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2011 beliau berasa bahawa hudud boleh dilaksanakan melalui kerangka jenayah syariah yang sedia ada di dalam perlembagaan.
“Jenayah syariah terletak di bawah kuasa negeri. PAS sendiri sebelum itu telah membuat penegasan bahawa hudud hanya akan dilaksanakan di kalangan umat Islam sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah meminda beberapa undang-undang termasuk yang menyekat bidang kuasa mahkamah syariah,” cadangnya.
Dr Aziz berasa yang kerajaan negeri sekarang tertekan kerana ia didesak untuk melaksanakan enakmen 1993 itu dengan segera.
“Dan sebab itu jugalah PAS, melalui organ rasmi Harakah, mengkritik saya berdolak-dalik,” katanya.
Beliau mendakwa mereka kepanasan dan mencari jalan untuk melepaskan diri.
“Dalam keadaan terkapai-kapai itulah kerajaan negeri menemui kerajaan persekutuan. Anehnya sehingga kini Umno masih belum mengubah pendirian mereka mengenai hudud,” dakwanya lagi.
Katanya, kekeliruan yang timbul mengenai pelaksanaan hudud ini berpunca dari kecelaruan PAS sendiri.
“Sepatutnya sebelum Kelantan menyiap dan meluluskan enakmen 1993 itu mereka perlu terlebih dahulu menyediakan plan yang jelas bagaimana hudud ini hendak dilaksanakan di dalam kerangka perlembagaan kita,” ujarnya.
Selain itu, beliau menambah PAS juga perlu memikirkan kekuatan mereka, khususnya bilangan kerusi yang mereka ada di parlimen.
“Ini perlu kerana kalau kita mengambil pendekatan kuasa negeri pun ada beberapa langkah yang perlu dibuat di peringkat persekutuan,” jelas beliau.
Dr Aziz mendakwa PAS hanya memikirkan soal bidang kuasa ini secara serius dalam beberapa bulan kebelakangan ini setelah tampuk kerajaan negeri Kelantan berubah dan desakan untuk menyegerakan pelaksanaan hudud disuarakan.
“Saya telah menegaskan banyak kali tentang perlunya sebuah dasar dan plan yang jelas mengenai langkah dan pendekatan yang perlu diambil dalam soal pelaksanaan hudud ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, kerajaan negeri memandang sepi dan menyatakan apa yang beliau katakan hanyalah pandangan peribadi.
“Dalam keadaan itulah tiba-tiba kita mendengar kerajaan negeri merapati pentadbiran Najib untuk mendapat laluan,” katanya.
Aku naif undang2 dan jiga naif agama, tapi aku ingin bertanya pada agamawan, apa hukum hudud keatas para ahli ahli politik yang ingin mempolitikkan hukum hudud itu sendiri; yakni matlamat melaksanakan hudud dan niat utk melaksanakan hudud yang tidak seiring dan niat dalam hati yang bercabang cabang. Harap sesiapa yang lebih arif menjawabnya.
ReplyDelete