Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, June 1, 2016

Ke mana pengulas ini nak bawa kita?

Integriti PAN mungkin terhakis dalam isu 2 PRK serentak
pada 27-05-2016 08:05
Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Pada Isnin, 23 Mei lalu, Parti Amanah Negara (PAN) menggesa PKR menghentikan rundingan memujuk PAS supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar khususnya 18 Jun depan.

"Adalah semakin nyata bahawa usaha rundingan ini telah gagal atas sebab pendirian PAS mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan sebagai milik tradisi mereka.

"Oleh itu, Amanah (PAN) mengesyorkan PKR menerima kenyataan bahawa PAS tidak akan menarik diri dan tumpuan diberi untuk mengukuhkan cabaran PH di dua kerusi tersebut.

"Sudah cukup masa dan usaha ditumpukan kepada perundingan dengan PAS. Umum mengetahui PAS menolak usaha ini dan oleh itu persoalan tiga penjuru yang bakal berlaku bukan kehendak dan sikap PH," kata Pengarah Komunikasi PAN,  Khalid Samad. 

Sebaliknya, Khalid berkata PAN nekad bertanding di kedua-dua PRK berkenaan lantas adalah lebih elok Pakatan Harapan (PH) membuat persiapan menghadapi tentangan BN dan PAS.

Yang pasti sebelum itu, PAS memang tegas tidak akan berganjak daripada keputusan bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cekal tidak akan membuat 'pusingan U'.

Anehnya, walaupun yakin dan garang menyatakan ia sudah nekad mahu meletakkan calon dalam kedua-dua PRK itu PAN mahu Mesyuarat Majlis Presiden PH disegerakan bagi memuktamadkan calon parti mana yang akan mewakili PH.

Bagaimanapun keesokan harinya, Selasa, 24 Mei, Khalid sekali lagi tampil dengan nada yang agak lunak. Beliau berkata, hasrat PAN bertanding PRK Sungai Besar bertujuan ‘menyelamatkan hubungan PKR dan PAS di Selangor’.
  
"Bagi PAN, biarlah kami yang bertanding kerana kita tidak mahu PAS dan PKR bergaduh. Sebab ia akan menjejaskan hubungan di dalam kerajaan (negeri)," katanya.

Khalid juga mendakwa PAN yakin mampu meraih sokongan Melayu-Islam, apatah lagi dengan kedudukan parti itu sebagai pengganti PAS di dalam Pakatan Harapan.

Mana satu yang betul? PAN mahu Pakatan Harapan abaikan perisytiharan PAS ia akan bertanding di kedua-dua PRK berkenaan, atau PAN menuntut supaya PH memperakukan hanya ia (PAN) sahaja bertanding dalam kedua-dua PRK?

Politik apa yang hendak dimainkan oleh PAN? Pertama, PAN minta PKR henti rundingan dengan PAS. Kedua, PAN mendesak supaya ia ‘diberi restu’ untuk menentang BN dan PAS. Bagaimana dengan kepentingan PKR?

Sehubungan itu, benarkah tuntutan PAN itu ikhlas bertujuan mahu PKR terus memelihara tahaluf siyasinya dengan PAS? Bebal sangatkah ahli-ahli politik PKR hingga boleh dihujah begitu remeh?

Apakah dengan mengacungkan nama Presiden dan Timbalan Presidennya memadai “memujuk” PKR menarik diri? 

Menurut Khalid PAN berpendapat adalah sukar bagi PKR bertanding menentang PAS pada kedua-dua PRK itu memandangkan kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai hubungan yang baik.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PKR dan PAS masih boleh berbincang berhubung isu calon bagi memastikan hanya satu calon daripada pembangkang menentang BN pada kedua-dua PRK.

Menteri Besar Selangor itu menegaskan, segala keputusan muktamad hanya boleh ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. 

Bagaimanapun PH kini agak kalut dalam menentukan tarikh mesyuarat. Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail cuba menyalahkan PAS menyebabkan dua mesyuarat yang dijadualkan sebelum ini batal. 

"Kita masih menunggu respon dari PAS. Kita sudah ada mesyuarat tertutup sebelum ini.  Memandangkan PAS bertanding di dua kerusi berkenaan pada pilihan raya sebelum ini isu itu menjadi asas dalam rundingan kita," katanya.

Namun Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menyelar kenyataan Presiden PKR itu: 

"Apa kena-mengena? Masalah gaduh isteri dan suami orang, takkan jiran sebelah nak tentukan cerai atau tidak di kalangan mereka? Itu rumah orang, kita tak campur," sindirnya kerana menganggap itu masalah di kalangan kerabat PH.

Mesyuarat berkenaan sepatutnya diadakan Isnin lalu selepas ditunda pada Khamis minggu sebelumnya.

Bagaimanapun semalam (26 Mei) mesyuarat PH ditangguh lagi. Alasannya, beberapa ahli majlis presiden tidak dapat hadir.

Menilai alasan-alasan PAN yang tidak konsisten dalam isu mahu bertanding dalam PRK berkenaan, jelas menunjukkan bahawa parti amat ghairah mahu menguji sokongan pengundi Melayu-Islam sahaja.
Sekaligus ia membayangkan PAN khuatir meskipun menghebahkan ia adalah pengganti PAS dalam Pakatan Harapan, ia sendiri belum pasti berapa ramai sebenarnya ahli PAS sudah meninggalkan PAN untuk menyertai PAN. 

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah medan paling sesuai bagi PAN mendapatkan jawapan ini. Jika ia kalah sekalipun alasan munasabah sudah ada dalam tangan iaitu ia kalah kerana berlaku pertandingan tiga penjuru.

Strategi formula pembangkang ialah satu lawan satu. Bagaimanapun PAS berdegil meletakkan calon. Maka PAN boleh sahaja berhujah bahawa PAS sudah “kacau daun”.

Alasan kononnya demi memelihara hubungan baik PAS-PKR, maka ia layak bertanding hanyalah helah untuk mendapat publisiti melonjakkan diri sebagai sebuah parti nasional. 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad membidas tepat kenyataan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad yang mendakwa partinya layak bertanding di Sungai Besar demi menjaga hubungan baik PKR-PAS di Selangor.

"Itu, secara bahasa mudahnya adalah analogi tak tepat. Bagaimana nak mendamaikan? Kamu nak melawan kerajaan (BN) atau PAS? Kita nak lawan BN," tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.
Meskipun mendakwa sejak penubuhannya September tahun lalu, PAN sudah mempunyai wakil-wakil rakyatnya sendiri di peringkat DUN dan Parlimen, ia sebenarnya dimenangi melalui tiket PAS pada pilihanraya umum 2013. 

PAN mahu dikenali sebagai parti Amanah, namun ia didokong di dewan undangan negeri dan dewan rakyat oleh pemimpin yang tidak amanah dan melanggar bai’ah dengan PAS.

Isu integriti ini jika tidak diurus baik oleh pimpinan PAN, boleh menyebabkan wibawa dan haknya mengakui ia sebuah parti Islam akan hilang nilai di mata rakyat. 

# penggunaan nama PAN pun kita dah tahu siapa dia......

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa