Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Wednesday, July 13, 2016

Rasanya desakan Muhyiddin ini pun sia-sia juga, tidak akan ada siapa pedulikan!

Muhyiddin desak Najib letak jawatan jika enggan ubah status Laporan Ketua Audit Negara
12 Julai 2016 | MALAYSIA DATELINE
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kerajaan diminta mengubah (declassify) status rahsia rasmi Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB  jika  gagal berbuat demikian dan berterusan menyembunyikan kebenaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meletakan jawatan.

Bekas timbalan perdana menteri itu  menegaskan, jika perdana menteri seorang yang benar-benar ikhlas, budiman dan berani mencari kebenaran, ubah (declassify) segera status rahsia rasmi Laporan Akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan dedahkan hasil siasatan untuk tatapan rakyat.

"Usah berdolak dalih lagi.

"Jangan berterusan menyalahkan portal berita atas talian atau media asing kerana menyebarkan maklumat mengenai penyelewengan 1MDB.

"Anda (Sarawak Report) mempunyai satu laporan penting yang sah mengenai 1MDB. Dedahkan isi kandungannya supaya rakyat dapat mengetahui fakta sebenar daripada sumber yang sahih.

"Ini adalah peluang terbaik untuk Najib dan kerajaan pimpinannya membersihkan nama daripada pelbagai dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Jika Najib gagal berbuat demikian, dan berterusan menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan rakyat, maka dia mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas skandal 1MDB dan mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," ujar Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beberapa petikan yang dikatakan bersumber daripada laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB seperti yang didedahkan oleh portal Sarawak Report beberapa hari lalu mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan penyelewengan syarikat berkenaan.

"Ini termasuk kehilangan wang berjumlah USD7 billion (RM28 billion) yang dibayar kepada beberapa buah syarikat palsu yang tiada kaitan dengan urusniaga 1MDB.

"Siasatan Ketua Audit Negara adalah penting untuk menentukan kedudukan sebenar akaun 1MDB dan menjawab segala tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap syarikat berkenaan, termasuk yang melibatkan Perdana Menteri," ujarnya.
Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat. Bukan sahaja Laporan Ketua Audit Negara tidak didedahkan kepada umum, malah telah diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Muhyiddin juga merujuk kepada kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Presiden Umno itu di dalam portalnya Najib Razak.com setahun lalu yang memberi jaminan bahawa individu atau pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penyelewengan 1MDB akan dibawa ke muka pengadilan.

"Bagi yang mungkin terlupa akan janji Perdana Menteri ini, saya ingin memetik tulisan beliau dalam portal NajibRazak.com yang disiarkan pada bulan Mei 2015.

"Jabatan Audit Negara telah memulakan siasatan ke atas akaun 1MDB pada bulan Mac 2015. Laporan Interim terhadap Pengauditan 1MDB telah disiapkan pada bulan Jun 2015 dan laporan akhir Ketua Audit Negara telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada bulan Mac 2016.

"Malangnya, Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat. Bukan sahaja Laporan Ketua Audit Negara tidak didedahkan kepada umum, malah telah diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Tindakan mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara sebagai dokumen rahsia rasmi adalah aneh memandangkan Ketua Audit Negara mempunyai tanggungjawab di bawah Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan untuk menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Laporan ini kemudiannya hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat. Adakah kerajaan mempunyai kuasa melebihi kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menutup hasil siasatan Ketua Audit Negara daripada pengetahuan rakyat?" soal beliau.

Sambung Muhyiddin lagi terdapat menteri kabinet yang melabelkan pihak yang membocorkan kandungan laporan Ketua Audit Negara sebagai pengkhianat negara adalah tidak wajar sama sekali.

"Siapakah pengkhianat sebenarnya? Orang yang mendedahkan salahlaku 1MDB atau orang yang merompak wang negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan mereka daripada diketahui oleh rakyat?

"Sudah tentulah merompak wang negara dan menutup perbuatan jenayah adalah suatu pengkhianatan yang amat jijik kepada negara.

"Seluruh kabinet bertanggungjawab terhadap rakyat. Mereka tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja semata-mata untuk melindungi keselamatan seorang individu.

"Kepentingan majoriti rakyat adalah jauh lebih utama daripada keselamatan seorang individu.

"Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran. Najib telah dikaitkan secara langsung dalam skandal 1MDB dan dia harus tampil menjawab pertanyaan rakyat.

"Tindakan berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi akan menambah syak wasangka rakyat terhadap kredibiliti dan integriti Najib sebagai Perdana Menteri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa