Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, August 22, 2016

1MDB sudah ada 'kambing hitam'?

Shahrol Halmi bakal dikambing-hitam, seperti Sirul dan Azilah dalam kes Altantuya – Tony Pua
22 Ogos 2016
KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Siasatan terhad pihak polis berdasarkan cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di bawah arahan kabinet ke atas skandal 1MDB bakal berakhir dengan menjadikan Datuk Shahrol Halmi sebagai kambing hitam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa pihak polis telah melengkapkan siasatan fasa pertama ke atas 1MDB, berdasarkan lima cadangan PAC.

Namun menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, satu-satunya permohonan PAC yang tidak termasuk dalam lima cadangan itu ialah supaya bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi dan mereka yang terlibat, disiasat oleh pihak berkuasa.

“Jelas bahawa Datuk Shahrol akan dijadikan kambing hitam bagi mengurangkan tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” ujar Tony dalam satu kenyataan.

Bagi Pengerusi DAP Selangor itu, mereka yang berkuasa akan dapat mencuci tangan daripada skandal terbesar dalam sejarah negara apabila Datuk Shahrol dipenjarakan.

Namun persoalan yang bakal timbul ialah apakah motif Datuk Shahrol menggelapkan wang berbilion dolar itu sedangkan beliau tidak didedahkan sebagai penerima manfaat wang yang digelapkan terbabit, dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).

“Tidak ada beza dengan kes pembunuhan Altantuya pada tahun 2006, apabila Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah membunuh wanita Mongolia tersebut.

“Bagaimanapun tidak ada motif yang dikemukakan oleh pihak polis dan pendakwa,” ujar beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Tony menambah bahawa Shahrol tidak mempunyai motif dan tidak disenarai sebagai penerima manfaat dalam kes pengubahan wang haram 1MDB.

Sebaliknya yang disebut dokumen saman sivil DOJ sebagai penerima dana gelap terbabit ialah Low Taek Jho, Riza Aziz, Khadem AL-Qubaisi dan Mohammad Badawy AL-Husseiny; selain individu yang hanya dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ yang menerima sejumlah US$731 juta ke dalam akaun peribadinya.

“Shahrol hanya memainkan peranan kecil dalam skandal 1MDB,

“Adalah satu ketidakadilan yang sangat dahsyat, seperti dalam kes pembunuhan Altantuya, jika mereka yang benar-benar bersalah dan mendapat untung daripada jenayah tersebut akhirnya bebas,” tambah Tony. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa