Friday, August 19, 2016

Perkasa saran tarik balik ‘datuk’

Tuduh Agong MO1: Wira Perkasa saran tarik balik ‘datuk’ Nawawi
August 19, 2016
KUALA LUMPUR, Jumaat – Wira Perkasa hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang menuduh Seri Paduka sebagai ‘Malaysia Official 1′ (MO1).

Ketua sayap pemuda kumpulan pendesak Melayu berkenaan, Irwan Fahmi Ideris berkata, memorandum itu diserahkan kepada wakil istana kira-kira jam 3 petang.

“Antara kandungan memorandum itu ialah menggesa Seri Paduka untuk mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Nawawi demi menjaga nama baik institusi Raja-raja Melayu,” katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum di perkarangan Istana Negara di ibu negara.

Irwan turut mahu Yang di-Pertuan Agong bertindak dengan menarik balik gelaran ‘datuk’ yang diberikan kepada Nawawi.

Dalam masa yang sama, Irwan turut menggesa ketua polis negara supaya bertindak ke atas Nawawi memandangkan pihaknya telah membuat lima laporan berhubung kenyataan yang disiarkan di Facebook ahli parlimen Langkawi itu.

“Kita minta Agong ambil tindakan dengan cara tarik balik gelaran datuk yang dia ada.

“Kita cabar ketua polis negara, setelah beberapa laporam polis dibuat, jangan simpan (kes ini), kita mahukan tindakan.

“Benda ini kita nak sampai dia (Nawawi) dikenakan hukuman seadilnya. Kita minta ketua polis negara mainkan peranan mempertahankan institusi raja kita,” katanya. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa