Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, August 25, 2016

Pakatan Harapan lebih hebat daripada Pakatan Rakyat

10 Ogos 2016 | MOHD SAYUTI OMAR
Barisan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan

Perkembangan dan momentum politik negara sedang dinantikan. Ada beberapa faktor kenapa ianya ditunggu-tunggu. Masalah yang melanda dalam parti-parti pembangkang, yang dulu membentuk Pakatan Rakyat (PR), kemudian bertukar menjadi Pakatan Harapan (PH) antara yang dinanti-nantikan akan kesannya.

Berurutan daripada perkembangan dan perubahan itu ia telah membawa perpecahan besar dalam parti komponennya, Pas apabila terkeluarnya golongan profesional yang kemudian menubuhkan parti baharu Parti Amanah Negra (Amanah). Kewujudan Amanah ini juga menjadi faktor pendorong minat orang ramai kepada politik.

Gelombang yang berlaku dalam Pas kemudian terheret ke dalam PR memecahkan ombak baharu dalam tasik politik pembangkang. Gara-gara perubahan kepimpinan dalam Pas angkara gelombang itu menyebabkan PR lebur.

Tidak terlupa perkembangan dalam BN, khasnya Umno juga menjadi perhatian. Umno yang menjadi parti penggerak perubahan besar dalam perkembangan politik negara muasir ini bergolak, keadaan ini sudah pasti akan memberi kesan kepada pilihan raya umum (Peraum) akan datang.

Segenap pemerhati sedang menanti, apakah kesan daripada perkembangan dan pergolakan itu. Kepada parti agama (Pas), apakah parti itu mampu mengekalkan kecemerlangannya, mempertahankan Kelantan yang dikuasai sejak 26 tahun lalu. Mampukan parti itu mengekalkan 32 kerusi Dun dan sembilan (9) Parlimen dimenangi dalam Piraum 2013 lalu sekaligus menjaga legasi Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Para pemimpin Pas Kelantan yang enggan menerima kewujudan Amanah dan berseteru dengannya menzahirkan keyakinan (tanpa fakta?), kononnya parti peninggalan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mampu mempertahankan kerajaannya berusia 26 tahun itu meskipun bertandingan secara bersendirian.

Rentetan itu, desas desus yang Pas akan membawa haluan sendiri juga sedang diperhati dan dinantikan penuh minat dan debar. Apakah Pas benar-benar berani mengambil risiko bersendirian, atau itu hanya "khilas" (muslihat) sahaja, (sebenarnya Pas sudah ada plan lain, yakni sedia berkolabrosi dengan Umno di saat akhir), cuma tidak berani diumum secara berterus terang sahaja. Pergerakan dan moment-moment yang ada sekarang ini dalam Pas menuju ke arah itu.

Di pihak Umno pula, mungkin serangan ke atas Najib Razak tidak mudah untuk parti itu akan kehilangan presiden. Najib akan kekal dikerusinya selagi orang-orang Umno sedia dijinak dan digemukkan dengan kebendaan. Selagi orang Umno tidak meletakkan integriti dan moral di hadapan dan terus mempunyai persepsi serangan opisisi kepada Najib satu kerja jahat dan fitnah, maka Najib akan selamat menjadi PM sampai ke mati.

Bagaimana pun di celah-celah kemelut dalam Umno itu, orang sedang menanti apakah aksi Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin seterusnya. Tindakan berani Umno memecat Muhyiddin Yassin, Shafei Afdal, Mukhriz Mahathir dan lain-lain yang kemudian berpakat dengan Dr Mahathir suatu perkembangan atau tragedi menarik dalam parti Nasionalis itu.

Kewujudan parti baharu yang beraspirasikan iltizam untuk menjatuhkan Najib adalah menarik. Desas desus mengenai itu sudah menjadi kenyataan hari ini apabila Muhyiddin Mohd Yassin telah mendaftarkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wadah baharunya. Dr Mahathir menjadi pengerusi kepada parti berkenaan. Parti itu mensasarkan generasi Y sebagai pendokongnya.

Kewujudan Bersatu dilihat kesungguhan Dr Mahathir, Muhyiddin dan mereka yang anti Najib untuk menggulingkan perdana menteri yang berlumuran dengan skandal kewangan terbesar 1MDB itu. Sudah pasti Bersatu akan ikut bersama parti-parti pembangkang lain yang telah mengagasan pakatan baharu, Pakatan Harapan (PH).

Riak risik awal telah menunjukkan kesediaan parti baharu itu untuk bersama Pakatan Harapan bagi berhadapan dengan BN secara satu lawan dalam Piraum akan datang. Kalau perkara ini direalisasikan ia memberi kebimbangan besar kepada BN.

Perkembangan ini menarik dan suatu elemen baharu politik kerana memecahkan tradisi lama. Sekiranya apa yang diaturkan itu menjadi kenyataan, saya nampak pakatan pembangkang bagi menghadapi Piraum akan datang lebih kemas. Penyertaan parti Dr Mahathir serta parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak memberi nilai tambah kepada Pakatan Harapan.

Mungkin ada yang sangsi dengan dugaan dan analisa saya ini. Pakatan Harapan menjadi kuat dan mantap kerana ia digagaskan oleh mereka yang padu dalam nawaitu dan gerak kerja untuk menjatuhkan Umno. Penubuhan Amanah dan iltizamnya misalnya oleh mereka yang komited dengan perjuangan. Ia tidak seperti dalam Pas dahulu yang kepaduannya tidak tupat, wujud pendapat yang berbelah bahagi dalam "berperangan" dengan Umno.

Ada orang mengira Amanah tidak akan mampu bergerak jauh manakala Pas menjadi makin kuat. Pendapat itu salah. Kedudukan Pas kini sudah mengecil kalau pun tidak separuh penyokongnya, tetapi suku penyokong tegarnya berubah wadah memilih Amanah. Ini menyebabkan Pas mengecil. Manakala orang atas pagar yang memberi sumbangan kemenangan kepada parti agama itu terutama di kawasan campuran, sudah menarik sokongan dan ralat dengan Pas.

Dalam pada itu Pakatan Harapan kini akan menjadi instrument oleh anak-anak muda melakukan perubahan kepimpinan negara apabila mereka berasa cuak dengan kepimpinan Najib yang korup.

Umno pula dengan adanya parti baharu (Bersatu) dan perprecahan sama ada kerana skandal menimpa Najib atau kerana orang taksud dengan Dr Mahathir dan mengikut ke mana bekas PM itu pergi, ia memberi kesan kepada Umno. Ertinya dua entiti baharu bersatu menguatkan Pakatan Harapan, Amanah dan parti Dr Mahathir (Bersatu). Secara mudah bahawa kedudukan dan kekuatan pembangkang kini bertambah.

Fenomena inilah yang terpaksa didepan oleh Umno dalam pilihan raya umum akan datang. Walaupun Pas kemungkinan bersama Umno, tetapi ia tidak memberi apa-apa nilai tambah dari segi figure kepada parti itu. Malahan Pas bakal menjadi satu masalah baharu dalam BN di mana parti-parti komponen lain yang tidak suka dengan dogma politik agama dimainkan Pas akan mempertikaikan kehadiran Pas.

Apakah dengan Pas bersendirian memberi laba besar kepada Umno dan BN? Tidak. 
Sementara itu kedudukan Amanah juga menjadi lebih mantap lagi apabila bekas Naib Presiden Pas Husam Musa akan bersama parti itu. Penyertaan Husam ini bakal memberi rangsangan kepada anak-anak muda yang tidak suka kepada politik konservatif primitif dianjurkan Pas, dengan beralih kepada Amanah.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa