Anggota Umno 50-50 segera undur, kata Idris Haron
Idris Haron berkata Umno perlukan anggota yang sanggup berjuang sepenuh jiwa dengan menunjukkan taat setia tidak berbelah-bahagi kepada Umno dan presiden parti.
KUANTAN: Anggota Umno yang berjuang separuh hati atau 50-50 perlu segera berundur untuk mengelak mereka membawa kerosakan kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ir Idris Haron berkata Umno yang sedang bersedia menghadapi ‘peperangan’ pada PRU14 perlukan anggota yang sanggup berjuang sepenuh jiwa dengan menunjukkan taat setia tidak berbelah-bahagi bukan sahaja kepada Umno, malah kepada presiden parti.
“Tidak ada ruang bagi mana-mana anggota yang sokong parti tetapi tak sokong presiden. Kalau sokong parti, kita mestilah sokong presiden, itulah semangat dan sokongan sebenar.
“Kalau ada pihak sokongan mereka 50-50, parti ini bukan parti untuk mereka. Kalau ada, kesian mereka yang bekerja sepenuh hati. Jadi eloklah mereka berundur….buat apa bersama kita kalau hanya menyusahkan.
“Kita hanya mahu mereka yang boleh bekerja bersungguh-sungguh kerana rakyat di luar sana melihat dan menilai. Apabila kita bersungguh, baru rakyat beri sokongan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota Datuk Mustaffa Kamal Ab Hamid, Ketua Wanita bahagian Wan Napiah Wan Yusof dan Ketua Pemuda bahagian Muhammad Faiz Hashim.
Idris yang juga Ketua Menteri Melaka dalam masa sama, meminta jentera Umno supaya menangkis serangan-serangan dilakukan pihak terbabit terhadap parti dan presiden dengan menggunakan ‘dalil-dalil pembangunan’.
“Serangan dilakukan mesti ditangkis dengan satu konsep pertahanan yang baik dengan kita nyatakan kepada mereka segala pencapaian dan kejayaan pembangunan negara yang telah dicapai sepanjang berada di bawah pemerintahan BN.
“Berhujahlah dengan angka dan fakta, contohnya kalau mereka katakan ekonomi negara merudum, suruh mereka buktikan berapa ramai pekerja kakitangan awam dan swasta yang tidak mendapat gaji apabila hujung bulan.
“Apabila mereka katakan negara kita tidak aman, tanya mereka mengapa ada lambakan pekerja asing di negara kita? Hanya dengan cara sebegini mereka tidak akan dapat menafikan Umno dan BN dalam setiap pencapaian dan kemajuan yang dikecapi negara pada masa kini,” katanya.
Idris turut menyeru semua anggota dan pucuk pimpinan parti pelbagai peringkat agar mengetepikan perbezaan pendapat dan mencari titik persamaan untuk memastikan kemenangan BN pada PRU akan datang.
Ni semangat Hang Tuah atau Hang Buah?
ReplyDeleteTanda2 terlingkup UMNO makin jelas.
Teringat bagaimana KM Melaka yg dulu pun mcm ni. Khayal dalam buaian kononnya support paling kuat padanya di PRU 13. Sudahnya apa terjadi?