Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, August 30, 2016

Berat weh........nok ghoyak guano ni?

Najib Razak perlu nyatakan siapa ‘MO1’ dalam mesej Hari Kebangsaan
26 Ogos 2016 oleh Lim Kit Siang
Rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-59 dan Hari Malaysia yang ke-53 dalam tempoh lima dan tiga minggu lagi.

Apa yang seharusnya menjadi keutamaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesej beliau untuk kedua-dua hari penting ini?

Adakah Najib akan membersihkan nama Malaysia daripada dikaitkan dengan kleptokrasi antarabangsa dalam Mesej Hari Kebangsaan ke-59 dan Hari Malaysia ke-53 beliau serta menjadikan ia subjek utama dalam ucapan kelimanya sebagai Perdana Menteri di Perhimpunan Agung Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan hadapan?

Semasa Najib menjadi Perdana Menteri pada April 2009, beliau menggelar dirinya sebagai ‘Bapa Transformasi’ dengan beberapa siri inisiatif transformasi serta akronim-akronim seperti 1Malaysia, ETP, GTP, NKRA, NKEA, SRI, NEM, BR1M dan KR1M.

Tetapi perkara terakhir yang rakyat Malaysia mahukan dari Najib adalah mentransformasi negara ke arah kleptokrasi antarabangsa – yang dinyatakan dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bagi membeku aset sebanyak AS$1 bilion akibat daripada kecurian, penyelewengan, dan pengubahan wang haram dari AS$3.5 bilion dana 1MDB.

Apa yang lebih berat dan memalukan ialah walaupun tindakan DOJ itu adalah ‘tindakan sivil in rem’ untuk pelucutan hak ke atas aset dari wang 1MDB yang diseleweng di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland, mereka tidak menghalang sebarang tindakan undang-undang jenayah, memandangkan pelucutan hak itu hanyalah langkah pertama untuk mengelakkan pelepasan aset yang telah dinyatakan.

Disebabkan perbuatan menyeleweng dan mengubah wang haram dalam konspirasi itu merupakan kesalahan jenayah, prosiding jenayah bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam dakwaan penyelewengan dana 1MDB di Amerika Syarikat dan negara-negara lain akan dibuat selepas pelucutan hak ke atas aset.

Namun, Malaysia tidak boleh menunggu prosiding jenayah dan keputusannya dibuat di Amerika Syarikat, berikutan reputasi dan nama baik Malaysia telah dicemarkan oleh ‘transformasi’ negara ini ke arah kleptokrasi antarabangsa.

Apa yang lebih buruk lagi, dana 1MDB bukan sahaja merupakan subjek kepada tindakan tunggal terbesar dunia terhadap pengubahan wang haram dan perampasan aset akibat kleptokrasi bernilai berbilion dolar, tetapi ‘pegawai-pegawai awam dan sekutu mereka’ turut dinyatakan kepada umum sebagai pihak yang bersekutu dalam konspirasi antarabangsa dari 2009 hingga 2013.

Mereka dikaitkan dengan ‘penipuan mengalihkan berbilion dolar dari 1MDB melalui pelbagai cara, termasuk menipu bank asing serta menghantar komunikasi berita asing bagi melaksanakan skim itu, dan selepas itu, untuk mengubah hasil perlakuan jenayah tersebut, termasuk melalui institusi kewangan Amerika Syarikat.’

Walaupun beberapa ‘pegawai awam’ itu dinyatakan dalam bentuk kod, iaitu ‘Malaysian Official 1’, ‘Pegawai 1MDB 1’, ‘Pegawai 1MDB 2’, dan ‘Pegawai 1MDB 3’, tidak sukar untuk meneka identiti mereka.

Seperti yang disebut oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas EPU, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, “hanya orang bodoh yang tidak mengetahui siapa orang tersebut” memandangkan ‘Malaysian Official 1’ yang disebut dalam saman DOJ bukanlah satu rahsia lagi. Begitu juga dengan ‘Pegawai 1MDB 1-3’.

Memandangkan ‘pegawai awam’ yang bertanggungjawab ke atas pengurusan 1MDB kini digelar sebagai sekutu konspirator dalam kecurian, penyelewengan, penyalahgunaan dan pengubahan wang haram melibatkan dana awam, bagaimana mungkin Perdana Menteri, Kabinet dan pegawai-pegawai dalam institusi penyiasatan negara seperti polis, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Jabatan Audit Negara serta Parlimen mengambil sikap berlepas tangan serta acuh tidak acuh kepada tindakan oleh DOJ itu sejak 35 hari yang lalu?

Malah, mereka berkelakuan seperti ‘burung unta dengan kepala di dalam pasir’ dengan mengabaikan ‘transformasi’ Malaysia di mata masyarakat dunia ke arah kleptokrasi antarabangsa.

Terdapat kesahihan dalam seruan oleh jurucakap kempen #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof – “Seluruh dunia tahu kita dirompak, tetapi mengapa kita masih rileks?”

Adakah Najib akan menyatakan siapakah ‘MO1’ dan bagaimana caranya untuk menghapuskan transformasi Malaysia ke arah kleptokrasi antarabangsa dalam Mesej Hari Kebangsaan ke-59 dan Hari Malaysia ke-53 beliau, serta berucap di Perhimpunan Agung Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan hadapan bagi menyakinkan dunia bahawa Malaysia bukan negara kleptokratik tetapi memberi sepenuh komitmen dalam pengamalan prinsip tadbir urus yang baik dan integriti awam? – Roketkini.com

*Lim Kit Siang merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah merangkap Ketua Parlimen DAP

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa