Raja Bahrin dakwa ‘godfather’ lindungi sindiket nelayan asing
Pengerusi Amanah Terengganu itu percaya 'pihak atasan' terbabit dalam sindiket itu masih bebas dan mereka yang ditahan sekadar 'ikan bilis'.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah mendakwa ada “godfather” yang melindungi dan membawa masuk nelayan asing ke negara ini.
Pengerusi Amanah Terengganu itu percaya “pihak atasan” terbabit dalam sindiket itu masih bebas dan mereka yang ditahan sekadar “ikan bilis”.
“Sindiket sebegini sudah lama berakar umbi di Malaysia dan mempunyai ‘godfather’ yang berpengaruh serta berkedudukan tinggi,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengulas laporan 10 anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk nelayan asing.
Seorang wanita Vietnam bergelar “Datuk” turut ditahan dengan wang tunai RM1.9 juta dirampas dan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta dibekukan.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin bagaimanapun tidak percaya individu yang ditahan sebelum ini mampu mengetuai sindiket berkenaan secara bersendirian tanpa bantuan “pihak atasan”.
“Ini disebabkan mereka (nelayan asing) mampu menawarkan rasuah setinggi RM100,000 kepada penguatkuasa maritim adalah bukti orang atas yang kaya membiayai sindiket ini.
“Juga, bagaimana seorang wanita warga Vietnam bergelar Datuk ini boleh dapat gelaran? Ini menunjukkan dia mempunyai pengaruh di peringkat tertinggi.
“Bagaimana nelayan haram dari Vietnam ini boleh mengetahui dan mengelak tangkapan sebaik sahaja nelayan tempatan membuat aduan. Ini menunjukkan kebocoran maklumat,” katanya.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, negara mengalami kehilangan hasil laut sebanyak 980,000 tan metrik bernilai RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing.
Beliau berkata, dianggarkan 50% ikan yang ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia dan selebihnya yang tidak dilaporkan bermakna berlaku pencerobohan nelayan asing mencuri hasil laut negara.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa