Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, November 22, 2017

Pendedahan mengapa bapa Salahuddin memaafkan pembunuh anaknya

By Sidrah -2017-11-21

Kuala Lumpur, 21 Nov: Seorang ayah menunjukkan erti kasih sayang yang sebenar apabila dia memaafkan seorang lelaki yang dituduh terlibat dalam pembunuhan anaknya, di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat, dua minggu lalu.

Pembunuh, Trey Alexander Relford, 24, berdepan hukuman mati selepas mengaku bersalah bersubahat dalam pembunuhan Salahuddin Jitmoud, 22, yang menjadi mangsa rompakan sebelum ditikam ketika menjalankan tugasnya sebagai penghantar piza pada malam April 19, 2015, di Lexington, Kentucky.

Ayah Salahuddin, Abdul-Munim Sombat Jitmoud, 66, mengejutkan semua yang hadir di mahkamah pada 7 November, malah hakim juga tidak dapat menahan air mata, apabila dia memaafkan Relford.

“Sifat pemaaf adalah sedekah paling agung dalam Islam,” Abdul-Munim dilaporkan akhbar Washington Post sebagai berkata.

Beliau kemudian memeluk Relford, yang menangis teresak-esak sambil meminta pengampunan ke atas perbuatannya.

Air mata mengalir apabila anggota kedua-dua keluarga turut sama merapatkan diri dalam satu dakapan besar.

Klip video episod yang menyentuh perasaan itu menjadi viral dan dilaporkan secara meluas di seluruh dunia.

Menurutnya,Abdul-Munim berkata beliau tidak pernah mengenali Relford atau ibu bapanya tetapi mengambil keputusan memaafkan Relford dan mengharapkan pemuda itu tidak dijatuhkan hukuman mati, sebaliknya menjalani penjara 31 tahun.

“Kami tidak sanggup memikirkan Relford menjalani hukuman mati di kerusi elektrik,” kata Abdul-Munim, bekas pengetua sekolah yang pernah menguruskan 7 buah sekolah Islam di Amerika Syarikat selama lebih 3 dekad.

Abdul-Munim berkata beliau diberitahu supaya tidak memandang wajah Relford ketika perbicaraan tetapi pengalamannya sebagai guru menyebabkan nasihat itu sukar dituruti, katanya.

“Saya melanggar semua protokol di mahkamah,” katanya.

Mereka yang hadir di mahkamah ketika itu bukan sahaja tersentuh dengan sifat pemaaf Abdul-Munim, tetapi juga tersentuh apabila dia menawarkan sehelai tisu kepada Relford bagi mengelap air matanya.

“Apabila dia menangis, saya memberikannya tisu apabila melihat dia mengelap air matanya menggunakan kolar baju penjara,” katanya.

Ketika memeluknya, Abdul-Munim berkata dia dapat merasakan Relford betul-betul insaf dan menyesali perbuatannya.

“Saya memberitahunya supaya berkawan dengan orang yang baik apabila bebas nanti,” kata Abdul-Munim yang membisikkan kata-kata nasihatnya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa