Air mata ketua pembangkang Kelantan hanya ‘lakonan’, kata timbalan speaker
Abdul Latiff Abdul Rahman berkata Nozula Mat Diah tidak pernah bangun untuk berbahas ketika sesi perbahasan Bajet 2018 Kelantan Isnin lalu.
PETALING JAYA: Tindakan Ketua Pembangkang DUN Kelantan Datuk Nozula Mat Diah yang bersedih selepas diarahkan keluar daripada persidangan hanyalah “lakonan” semata-mata, kata timbalan speaker DUN Kelantan.
Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, Adun Paloh itu tidak pernah bangun untuk berbahas ketika sesi perbahasan Bajet 2018 Kelantan sehingga tamat sesi berkenaan kecuali hanya mencelah tanpa kebenaran.
“Pagi tadi selepas persidangan disambung sekitar jam 11.20 pagi, speaker menjemput pihak kerajaan atau exco untuk membuat penggulungan.
“Secara tiba-tiba Paloh bangun untuk berucap dan speaker tidak membenarkan kerana sesi perbahasan sudah pun tamat.
“Setelah lebih 3 kali speaker meminta Paloh duduk, tetapi dia berkeras tidak akan duduk yang akhirnya speaker terpaksa menggunakan Peraturan Dewan 51(2) iaitu ‘mengundurkan’ Paloh dari persidangan dewan,” kata Abdul Latiff dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Nozula berpeluang untuk berbahas ketika persidangan bersambung petang ini namun beliau bersama-sama Adun Barisan Nasional (BN) yang lain bertindak meninggalkan sidang DUN.
“Petang ini ada satu lagi Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Peruhanjaya Tanah,” katanya, merujuk kepada rang undang-undang baharu yang melibatkan isu tanah milik kerajaan negeri bagi mewujudkan Suruhanjaya Tanah Negeri.
Katanya, wakil rakyat masih mempunyai peluang dan dibenarkan untuk membuat perbahasan, tetapi semua Adun BN keluar bersama-sama dengan Paloh pagi tadi.
“Ini bermakna mereka tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan nanti kerana sehingga jam 3 petang ini tiada seorang pun Adun pembangkang berada dalam dewan. Siapa sebenarnya yang tidak adil dan siapa sebenarnya bekerja untuk rakyat?
“Ataupun ini adalah lakonan air mata Paloh untuk menghentam pihak kerajaan pada ceramah selepas sidang DUN nanti atau memang sengaja kerana mahu pulang awal,” katanya.
Katanya lagi, semasa sesi perbahasan bajet 2018 semalam, 10 Adun mengambil bahagian, bermula dengan Adun Melor, Gual Periok, Ayer Lanas, Selising, Gaal, Perupok, Tendong, Kok Lanas, Salor dan berakhir dengan Kelaboran.
“Jadi tidak timbul speaker tidak memberi peluang kepada Paloh berucap, bahkan tuduhan beliau bahawa speaker tidak berlaku adil adalah tidak benar sama sekali kerana daripada 10 ahli dewan yang berbahas, 4 adalah Adun pembangkang,” katanya.
Menurutnya lagi, sehingga tamat perbahasan Adun Kelaboran, tidak ada seorang pun wakil rakyat bangun untuk berbahas termasuk Nozula.
“Bahkan sepanjang tempoh perbahasan bajet tidak pula kelihatan Paloh bangun untuk meminta laluan sama ada sewaktu speaker mengendalikan persidangan ataupun saya,” katanya lagi.
Pagi tadi, Nozula diarah keluar daripada persidangan DUN selepas ingkar arahan Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub.
Abdullah membuat keputusan itu apabila Nozula bertegas ingin membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob Isnin lepas, walaupun hari ini dijadualkan untuk sesi penggulungan.
Keadaan kecoh seketika apabila Nozula tetap berkeras dengan pendiriannya untuk berbahas dengan alasan pembangkang masih belum berpuas hati dengan sesi perbahasan yang berlangsung semalam.
Ketika ditemui di luar dewan, Nozula sedih dengan perbuatan speaker yang sepatutnya memberi peluang kepadanya untuk berbahas sebagai ketua pembangkang.
Heya i am for the first time here. I came across this board and I find It really useful & it helped me out a lot.
ReplyDeleteI'm hoping to present something again and help others such as you helped me.