Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, November 23, 2017

Laporan khas: Bagaimana BERSATU menembusi kubu UMNO di Melaka

Jejak bertapak parti BERSATU di Melaka
Geraldine Tong:  Hari ini, 9:58 am
LAPORAN KHAS Di Kampung Tanjung Minyak, bendera Umno berkibar di atas bumbung dan pokok mangga.

Bendera itu menjadi petanda kepada orang luar yang lalu di situ bahawa kampung di Melaka ini, seperti banyak kampung Melayu yang lain di negeri itu, berdiri teguh di belakang Umno.

Banyak usaha oleh para NGO dan parti pembangkang untuk berkempen di kampung yang terletak di pinggir bandar Melaka ini berulangkali berakhir dengan insiden kekerasan apabila penduduk kampung itu mengusir mereka dari situ.

Atas sebab itulah pembangkang tidak pernah dapat menembusi kawasan di luar pusat bandar Melaka yang kebanyakan penduduknya adalah kaum Cina, dengan DAP menguasai politik pembangkang di negeri itu sejak beberapa dekad.

Parti-parti pembangkang yang lain hanya berjaya menembusi buat kali pertama pada pilihan raya umum ke-13, dengan PAS memperolehi kerusi negeri pertamanya di Bukit Baru dan PKR pula merampas kerusi parlimen pertamanya di Bukit Katil.

Kedua-duanya yang telah berubah menjadi kawasan pilihan raya di pinggir bandar, dalam hanya beberapa kitaran pilihan raya, telah melalui perubahan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, kampung-kampung Melayu di pinggiran Melaka tetap tidak dapat ditembusi oleh pembangkang.

Tetapi untuk kali pertama, ini mula berubah.

Di Kampung Tanjung Minyak, di tengah-tengah banyak bendera Umno yang berkibaran itu, muncul berkibar beberapa bendera BERSATU - sesuatu yang jarang dapat dilakukan oleh pembangkang.

Umno memperolehi lebih daripada 75 peratus undi di daerah pengundi Kampung Tanjung Minyak, yang terletak di bawah kerusi negeri Paya Rumput.

Sesuatu yang pernah dianggap sebagai 'taboo' yang hampir pastinya akan mengundang reaksi sengit dari penduduk, BERSATU telah berjaya menganjurkan beberapa acara di kampung itu.

Semasa Hari Raya Haji tahun ini, penduduk tempatan Zainol Adam telah membantu menganjurkan majlis korban di kampung itu untuk BERSATU.
"Saya dan rakan-rakan pergi rumah ke rumah (untuk menjemput menghadiri majlis itu).

"(Sekarang) mereka (BERSATU) mengatakan mereka mahu mengadakan ceramah di kampung ini, jadi saya dan kawan-kawan, Insya-Allah, akan turut membantu," kata Zainol.

Zainol masih merupakan ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Tanjung Minyak tetapi merancang untuk beransur ke BERSATU.

Walaupun penduduk kampung itu tidak mengubah kesetiaan mereka dalam sekelip mata, namun daya tarikan pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad juga membantu mereka sekurang-kurangnya mendengar apa pembangkang mahu sampaikan, sesuatu yang mereka tidak pernah lakukan pada masa lalu.

Penduduk Tanjung Minyak, Siron Ghafor berkata sekurang-kurangnya 200 orang di kampung mereka menghadiri majlis korban anjuran BERSATU sewaktu Hari Raya Haji.
Siron berkata beliau sebelum ini mengundi Umno tetapi baru-baru ini terdorong untuk menyokong parti pembangkang.

Beliau pada mulanya menimbang untuk menyokong PAS, tetapi kemudian muncul parti BERSATU.

"Saya benar-benar percaya (pada Dr Mahathir). Malaysia baik, kita ada segalanya, kami tidak ada banyak masalah (ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri).

"Dengan perdana menteri yang ada sekarang, ketika saya pergi ke kedai, tak ada minyak, tak ada tepung, harga asyik naik, apa nak buat?" Katanya.

Pernah berlaku perbalahan mengenai pemasangan bendera BERSATU tetapi Siron tidak kisah dan dia kini memasang bendera BERSATU di bumbung rumahnya.

Sekitar 10 kilometer dari situ, terletak Kampung Krubong. Umno di situ turut dilanda tempias parti BERSATU.

Kampong Krubong juga merupakan daerah pengundian di kerusi negeri Paya Rumput. BN memenangi hampir 70 peratus undi di daerah pengundian tersebut semasa pilihan raya umum lalu.

Fazizah Dat, seorang penduduk tempatan, berkata dia tidak pernah menyertai parti politik sebelum ini tetapi dia menghadiri ceramah Dr Mahathir di kampungnya.
Umno mengadakan acara pada malam yang sama di kampung itu, tambahnya, tetapi jumlah orang yang hadir lebih kecil di sana.

"Banyak khemah mereka kosong," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari, dari parti AMANAH, memberitahu Malaysiakini bahawa sebahagian daripada strategi mereka ialah meletakkan kawasan majoriti Melayu di bawah tanggungjawab BERSATU.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa walaupun BERSATU telah mula bertapak di kawasan tertentu seperti kerusi negeri Paya Rumput yang Kerubong dan Tanjung Minyak, tetapi ia masih merupakan sebuah parti yang agak baru.

Menurutnya, BERSATU bukan satu-satunya parti pembangkan di kawasan itu, PKR telah bertahun-tahun bertapak di kawasan itu.

Paya Rumpat, yang terdiri daripada 56 peratus Melayu, 36 peratus Cina dan lapan peratus India dimenangi oleh BN dengan majoriti 1,270 undi dalam pilihan raya umum yang lalu.

PKR telah bertanding di kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu dan rundingan agihan kerusi masih berterusan dengan BERSATU mengintai kerusi itu dengan kepercayaan ia berkemampuan menarik sokongan pengundi Melayu.

Timbalan Ketua BERSATU Melaka, Rafiq Naizamohideen percaya bahawa masyarakat Melayu melihat partinya sebagai yang boleh memperjuangkan nasib mereka.
"Sebab utama adalah bahawa kita telah meyakinkan ramai rakyat bahawa kita akan menggantikan Umno (sebagai parti Melayu)."

"Ada perbezaan antara parti yang dipimpin oleh orang Melayu dengan parti Melayu," katanya.

Oleh itu, Rafiq berpendapat bahawa BERSATU mampu mencetuskan tsunami Melayu di kawasan yang dulu menjadi kubu Umno.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa