Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, November 27, 2017

Seluar dalam Jong Nam penuh najis kesan agen VX

  | November 27, 2017
Pakar Perunding Perubatan Forensik Dr Nurliza Abdullah yang menjalankan bedah berkata, kesan najis yang banyak pada seluar dalam mangsa ada kaitan dengan tanda keracunan.
SHAH ALAM: Seorang pakar hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, seluar dalam Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara yang didakwa mati akibat diracun agen saraf VX, dipenuhi najis.
Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 52, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Jong Nam berkata, kesan najis yang banyak pada seluar dalam mangsa ada kaitan dengan tanda keracunan.
Saksi itu berkata, dalam kes berkenaan, tanda-tanda keracunan dialami Kim Chol adalah disebabkan keracunan agen saraf VX.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama, saksi itu berkata, kesan keracunan ke atas mangsa menyebabkan pergerakan otot beliau berkecamuk seterusnya menyebabkan najis terkeluar dengan sendiri.
“Mengikut pemahaman saya, keracunan membabitkan agen saraf menyebabkan seseorang individu mengalami ‘cholinergic’, iaitu pelumpuhan otot dan pergerakan otot berkecamuk seterusnya menyebabkan najis terkeluar dengan sendiri,” katanya.
Saksi ke-19 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama 4 yang masih bebas membunuh Jong Nam, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9.00 pagi, 13 Februari lalu.
Ketika menjawab soalan Wan Shaharuddin, Dr Nurliza berkata pemeriksaan juga mendapati anak mata mangsa juga menjadi kecil dan itu adalah abnormal kerana kebiasaannya perkara itu disebabkan berlakunya keracunan.
Saksi ke-18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah yang bertugas di Balai Polis klia2 pula memberitahu mahkamah bahawa beliau menghubungi Kedutaan Korea Utara pada 4.50 petang, 13 Feb lalu untuk memaklumkan mengenai kematian warganegara itu.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, beliau berkata, panggilannya dijawab oleh seorang lelaki dikenali dengan nama Kim Yu-Song iaitu Kaunselor Kedutaan Korea Utara yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
“Saya memberitahu Kim Yu, ada satu kematian berlaku membabitkan warga Korea Utara dengan nama Jong Nam dan saya juga memberi nombor pasport si mati serta meminta wakil kedutaan datang ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk proses pengecaman mayat.
“Kim Yu tidak memberikan apa-apa respons kecuali berkata ‘ya dan terima kasih’…Selepas itu saya masuk ke bilik mesyuarat balai polis klia2 tempat saya menyimpan barangan si mati dan nampak beberapa pegawai Cawangan Khas berpakaian pereman berada di dalam bilik itu.
“Seorang daripada pegawai Cawangan Khas itu beritahu saya bahawa si mati adalah abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara,” katanya sambil menambah beliau terkejut apabila mengetahui perkara itu.
Saksi itu berkata tidak berapa lama kemudian, beliau menerima panggilan daripada Kim Yu yang bertanyakan lokasi mayat si mati ditempatkan dan tarikh bedah siasat.
Katanya, Kim Yu kemudian mengesahkan kehadirannya selepas diberitahu mayat ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya dan bedah siasat akan dijalankan pada keesokan hari pukul 10.00 pagi.
“Keesokan hari, ketika berada di lobi Jabatan Forensik, saya melihat ada 3 lelaki dengan iras bangsa Cina masuk ke dalam lobi… Dua daripadanya memakai baju kemeja manakala seorang lagi yang agak berusia memakai baju labuh.
“Saya dengar lelaki yang agak berusia itu memperkenalkan diri sebagai Kim Yu kepada petugas kaunter hospital… Saya kemudian menghampiri lelaki itu dan memperkenalkan diri dan dia hanya menjawab ‘terima kasih’,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa