Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, November 14, 2017

Parah: 'Datuk' Ketua samseng ditahan bersama 17 anggota geng

Datuk antara 18 anggota geng 04 ditahan di P. Pinang
Diterbitkan pada November 13, 2017 20:06 MYT
Seorang Datuk antara 18 individu ditahan Polis Kontinjen Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Seorang lelaki bergelar Datuk adalah antara 18 lelaki disyaki anggota geng kongsi gelap 04 yang ditahan dalam operasi polis di sekitar Pulau Pinang pada 30 dan 31 Okt lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata mereka yang ditahan dalam Op Cantas Jenayah Terancang itu termasuk beberapa ketua geng kongsi gelap berusia 23 hingga 54 tahun.

"Seorang daripada mereka mendakwa bergelar Datuk dan dia merupakan ketua kawasan geng 04 di negeri ini...beberapa yang ditahan itu juga merupakan pemimpin kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri ini.

"Berdasarkan siasatan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah terancang dan kekerasan antaranya mendatangkan cedera parah, rompakan, pemerasan, bunuh dan pengedaran dadah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman selama 28 hari menurut Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma 2012 untuk siasatan.

Zainol berkata polis kini memburu 10 lagi anggota geng 04 itu dan kesemua mereka yang telah dikenal pasti itu berusia 17 hingga 35 tahun dan berasal dari Pulau Pinang.

Mereka ialah T.Kalai Chelvan, 28; A.Guganish,36; K.Sangaran, 35; Mohd Firdaus Mohd Abdul Rahim, 33; M.Partiben, 29; S.Surentheren, 30; G.Guninteran, 23; M.Nithiyanantham Naidu, 24; K.Dineskumar,21; dan seorang remaja berusia 17 tahun, katanya.

"Mereka diminta menyerah diri kepada polis dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 10 lelaki itu diminta menyalurkan maklumat kepada kami untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zainol berkata polis sedang mengesan tiga lelaki Indonesia anggota geng rantau yang terlibat dalam kegiatan samun bersenjata di sekitar Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

Beliau berkata mereka ialah Jamal, 54; Hasanuddin, 33; serta Herman, 52; dan masing-masing berasal dari Kepulauan Jawa Timur.

"Geng rantau itu terdiri daripada empat lelaki warga Indonesia. Seorang daripadanya berjaya ditahan ketika sedang menyamun sebuah rumah di Sungai Ara, dekat sini pada 4 Nov lepas.

"Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, jiran mangsa menyedari kejadian itu dan terus menghubungi polis. Kami berjaya menahan lelaki berasal dari Batam itu tetapi tiga lagi rakannya meloloskan diri," katanya.

Zainol berkata polis merampas pelbagai barang kemas dan wang tunai bersama lelaki itu dipercayai hasil samun dari sebuah rumah sehari sebelum ditahan. Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah samun di Johor dan pernah dipenjara sebelum ini.

Berdasarkan siasatan empat lelaki itu terlibat sekurang-kurangnya 13 kes samun rumah di daerah Barat Daya dan Timur Laut membabitkan kerugian mangsa lebih RM500,000.

Mereka masuk ke negara ini secara sah melalui Johor sebelum ke Pulau Pinang menaiki bas ekspres dan tinggal di kawasan hutan atau bukit serta menyamun rumah mewah yang telah dikenal pasti berhampiran tempat mereka bersembunyi dan mereka akan pulang ke negara asal selepas memperoleh hasil lumayan, katanya.

Beliau berkata polis percaya tiga lelaki Indonesia itu masih berada di negara ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi polis. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa