Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, February 14, 2014

Adenan Satem Pilihan Putrajaya?

Adenan Satem: Pilihan Siapa?

 | February 14, 2014
Menurut sumber, Taib mahu mengumumkan nama Menteri Perancangan dan Sumber, Datuk Awang Tengah Ali Hassan sebagai penggantinya.
PETALING JAYA: Akhirnya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud mengumumkan penggantinya bekas adik iparnya, Tan Sri Adenan Satem sebagai bakal Ketua Menteri yang baharu pada dua hari lalu.
Sepatutnya beliau menghadap Yang Dipertua Negeri esok, tetapi beliau segerakan tarikh menghadap itu pada hari Rabu lalu untuk mengelak kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada malam tersebut. Malah hari ini ketika Muhyiddin melawat Lundu, Taib juga menghilangkan diri tidak menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri.
Menurut sumber, Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghantar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menemui Taib untuk Taib mengumumkan nama Adenan tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Adakah Menteri Tugas Tugas Khas itu pilihan Taib? Menurut sumber, Taib mahu mengumumkan nama Menteri Perancangan dan Sumber, Datuk Awang Tengah Ali Hassan sebagai penggantinya. Tetapi Kuala Lumpur mahu Adenan yang ada pengalaman sebagai menteri pusat dilantik sebagai Ketua Menteri. Adenan merupakan orang Melayu pertama dilantik sebagai Ketua Menteri. Taib dan bapa saudaranya adalah orang Melanau.
Taib membelakangkan parti kerana memang dia tak mahu Datuk Abang Johari Tun Openg menjadi penggantinya. Menurut parti, sebagai Timbalan Presiden PBB, Abang Johari yang sepatutnya mengambil alih jawatan itu tetapi sebaliknya Majlis Tertinggi PBB memberi mandat kepada Taib untuk memilih salah seorang daripada tiga orang, Abang Johari, Awang Tengah dan Adenan Satem.
Adakah PBB akan bergolak selepas ini? Pemilihan PBB baru sahaja diadakan pada akhir tahun lepas. Sekiranya Taib mengumumkan persaraannya sebelum pemilihan parti tahun lepas sudah tentu parti akan memilih Abang Johari sebagai Presiden PBB yang baharu.
Sebaliknya Taib menunda persaraannya kepada akhir Februari untuk mengelak Abang Johari dipilih sebagai Presiden PBB yang baharu. Dengan terpilihnya Adenan Satem sebagai Ketua Menteri yang baharu, secara automatik beliau dilantik sebagai Presiden PBB yang baharu.
Pada tahun 2002, Adenan Satem kalah kepada Abang Johari dalam pertandingan Timbalan Presiden PBB. Taib dikatakan mahu Adenan menang tetapi perwakilan memilih Abang Johari. Taib kecil hati dengan kekalahan Adenan dan kedegilan Abang Johari yang tidak mematuhi nasihat Taib supaya tidak menentang Adenan.
Selepas itu Taib membimbing Awang Tengah sebagai penggantinya. Beliau dipilih sebagai Naib Presiden kanan PBB. Taib memang mahu Awang Tengah jadi Ketua Menteri Sarawak tetapi mesti sudah ada deal dengan Najib.
Kes rasuah
Najib kata lantik Adenan Satem sebagai Ketua Menteri, kalau tidak fail kes rasuahnya akan dibuka. Jadi Taib yang mahu jadi Yang Dipertua Negeri pada 1 Mac akur dengan pilihan Najib bahawa Adenan yang bakal memimpin Sarawak selepas Taib.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setuju dengan perlantikan Adenan kerana beliau ada pengalaman sebagai menteri pusat. Malah Taib pun pernah jadi Menteri Penerangan dan Menteri Tanah dan Galian sebelum dibawa balik ke Sarawak.
Malah bapa saudaranya, Tun Rahman Yaacob pernah menjadi Menteri Pelajaran sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1972. Rahman pernah menjadi ahli Umno sebelum balik ke Sarawak menjadi Presiden PBB. Beliau adalah Menteri Pelajaran yang paling disayangi oleh mahasiswa universiti kerana ketegasannya mahu membuka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Adenan sudah berumur 68 tahun. Walaupun doktor peribadinya mengesahkan beliau kini sihat tetapi tahun lepas semua orang tahu beliau memakai pacemaker selepas menjalani pembedahan jantung. Justru itu beliau tidak akan kekal lama sebagai Ketua Menteri seperti Taib yang sudah 33 tahun berkuasa di Sarawak.
Tiga tahun lagi, 2016, andainya Abang Johari mencabar Adenan bagi jawatan Presiden PBB, sudah tentu Adenan akan tewas lagi di tangan Abang Johari. Oleh itu peluang Abang johari untuk menjadi Ketua Menteri masih terbuka. Bila beliau menang jadi Presiden PBB maka secara automatik kerusi Ketua Menteri akan menjadi miliknya.
Dengan terlantiknya Adenan, dinasti Rahman Yaacob akan terus menguasai Sarawak. Selepas Rahman Yaacob bersara pada tahun 1981, beliau digantikan oleh anak saudaranya, Taib Mahmud. Kini tiba pula giliran bekas adik ipar Taib pula menguasai kerajaan. Mungkin tradisi ini akan dipecahkan oleh Abang Johari pada tahun 2016 apabila beliau mengalahkan Adenan bagi jawatan Presiden PBB kelak.
Walaupun Menteri Wanita, Datuk Fatimah Ali berkata perlantikan Adenan tidak akan memecahbelahkan PBB tetapi sedikit sebanyak para penyokong Abang Johari terkilan kerana beliau sudah lama menjadi Timbalan Presiden PBB.
Kalau beginilah cara PBB memilih Ketua Menteri, maka tak perlulah adakan pemilihan parti kerana Timbalan Presiden PBB tidak secara automatik menjadi Ketua Menteri apabila Presiden PBB berundur. Nampak sangat PBB membelakangkan kehendak perwakilan yang mahu Abang Johari sebagai Ketua Menteri.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa