Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, February 14, 2014

Dibunuh tak tentu fasal

Susunan Rosmaliana Aida Mohd Adnan
Di Papua New Guinea di mana kebanyakan penduduknya tinggal di pondok, segerombolan perusuh lengkap bersenjata api, parang dan kapak menyer­bu sebuah rumah kayu pada waktu malam.
Kumpulan perusuh terbabit menahan Helen Rumbali dan tiga saudara perempuannya serta membakar rumah mereka manakala semua wanita berkenaan dibawa untuk diseksa.
Tuduhan yang dijatuh­kan ke atas mereka adalah mengamalkan ilmu sihir!

Selepas beberapa kali dikelar menggunakan pisau, akhirnya kakak Helen dan dua anak saudaranya yang masih remaja dibebaskan hasil rundingan bersama pihak polis. Namun Helen, berusia 40-an yang juga bekas guru dihukum pancung.
Penyerangnya mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh mengatakan wanita itu menggunakan ilmu sihir untuk membunuh seorang penduduk kampung yang meninggal dunia akibat penyakit, baru-baru ini.
Kubur mangsa menunjukkan tanda penggunaan sihir hitam dan sekumpulan kunang-kunang membawa pemburu ahli sihir ke rumah Helen.

Masalah keganasan berkaitan pemburuan ahli sihir makin meningkat di Papua New Guinea yang memiliki tujuh juta penduduk pelbagai kaum dan lebih 800 bahasa pertuturan yang mana kebanyakan penduduknya menyara hidup dengan bertani.

Pemburuan ke atas ahli sihir kini makin merebak ke bahagian di mana amalan tidak berperikemanusiaan tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, tiada penjelasan kukuh mengenai peningkatan begitu ketara dalam pembunuhan sebegini.

Bagaimanapun, ada hujah menunjukkan keganasan itu didorong bukan saja disebabkan penularan kepercayaan penduduk terhadap ilmu hitam, tetapi turut disebabkan rasa cemburu akibat ledakan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin.

“Cemburu menyebabkan banyak kebencian berlaku. Golongan yang begitu cemburu dengan individu yang berjaya akhirnya mengambil jalan mudah dan me­ngaitkannya dengan kepercayaan penduduk terhadap sihir untuk membunuh mereka bagi menghentikan perkembangan hidup individu berkenaan,” kata Pe­ngerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Bougainville Utara, Helen Hakena berdasarkan kawasan di mana Helen Rumbali dibunuh.

Beliau berkata, tuduhan mengamalkan ilmu sihir yang dijatuhkan terhadap Helen hanya satu alasan.

“Ia sememangnya kes yang disebabkan rasa cemburu terhadap keluarganya yang berjaya dalam hidup,” katanya.

Katanya, penduduk kampung iri hati kerana suami Helen dan anak lelakinya adalah kakita­ngan kerajaan. Mereka juga memiliki rumah diperbuat daripada kayu serta ahli keluarga yang berpendidikan dan punya kedudukan sosial yang tinggi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memfailkan beratus kes keganasan berkaitan amalan sihir di Papua New Guinea sejak akhir-akhir ini dan banyak lagi kes seumpamanya di kawasan pedalaman yang tidak dilaporkan. 

Sehingga bulan lalu, Akta Sihir negara berkenaan yang berusia 42 tahun membenarkan kepercayaan terhadap ilmu hitam digunakan sebagai pembelaan sah terhadap pembunuhan individu yang disyaki me­ngamalkan sihir.

Langkah kerajaan memansuhkan undang-undang berkenaan adalah penyebab kepada keganasan yang berlaku baru-baru ini. 

“Tidak dinafikan ada kepercayaan yang benar-benar wujud dan dalam keadaan tertentu menjadi pendorong kepada individu terbabit. Mereka juga percaya jika tidak membunuh individu berkenaan, ia akan menyebabkan kematian dan musibah kepada kampung,” kata peguam di Universiti Nasional Australia, Miranda Forsyth yang mengkaji isu berkenaan.

Tetapi menurutnya, dalam kejadian yang berlaku di Papua New Guinea baru-baru ini, ia kelihatan seperti tidak didorong oleh kepercayaan tulen berkenaan sebaliknya disebabkan serangan ke atas golongan kaya oleh penduduk miskin dan kebanyakan mereka terlepas daripada hukuman.

Dia dan pakar lain yang mahir dalam bidang ilmu sihir di rantau Melanesia percaya kemakmuran yang dikecapi negara berkenaan dan ketidaksamarataan dalam budaya tradisional masyarakat menjadi pe­nyebab kepada keganasan terbabit.

Jiran terdekat iaitu Vanuatu dan Kepulauan Solomon juga mempercayai ilmu hitam, tetapi belum pernah melihat tahap keganasan sedemikian.

Perbezaannya hanya disebabkan Papua New Guinea memiliki pertumbuhan ekonomi terpantas.

Kekayaan sumber mineral dan gas asli menyaksikan ia antara pemba­ngunan ekonomi terpantas dunia sepanjang dekad lalu dengan peningkatan hampir tujuh peratus setiap tahun bermula 2007 hingga 2010.

Pertumbuhan ekonomi memuncak pada 8.9 peratus pada 2011 sebelum turun kepada lapan peratus tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Papua New Guinea, Ravunama Auka, tidak menganggap cemburu sebagai penyebab utama pembunuhan berkaitan ilmu sihir terutama dalam kes yang pernah ditanganinya.

Walaupun tidak memiliki statistik katanya, keba­nyakan mangsa dibunuh kerana kepercayaan asal iaitu ia berlaku disebabkan ilmu sihir.

Auka mengakui pembunuhan disebabkan perkara ini makin meningkat, tetapi tidak dapat menjelaskan puncanya.

Antara kemungkinan penjelasan adalah penyebaran kepercayaan ahli sihir yang sebelum ini hanya boleh dilihat di wilayah tanah tinggi Chimbu, kata ahli antropologi, Philip Gibbs, pakar dalam bidang ilmu sihir dan juga paderi Roman Katolik yang menetap di hutan Papua New Guinea sejak 41 tahun lalu.

Dalam budaya Chimbu, penduduknya me­ngebumikan si mati dalam konkrit supaya badan mereka tidak dimakan haiwan jahat kecil pada waktu malam yang dipercayai boleh merasuk individu yang masih hidup.

Malah, penduduk membayar bomoh untuk me­nyembuhkan jika ada antara mereka yang dirasuk haiwan jahat yang dipercayai meninggalkan tubuh mereka pada waktu malam dan menyerupai haiwan kecil.

Katanya, mereka yang disyaki dirasuk sering diseksa bagi mendapatkan pengakuan dan adakalanya dibunuh.

“Bentuk kepercayaan sebegitu mula tersebar ke wilayah lain yang mana ia tidak pernah wujud sebelum ini dan kami bertanya soalan yang sama iaitu mengapa?” katanya.

Keluarga yang dituduh akan meninggalkan ladang kecil mereka dengan tergesa-gesa dan hanya me­ngambil apa yang diperlukan.

Oleh itu, penduduk kampung perlu memutuskan siapa yang akan menduduki tanah kosong berkenaan.

“Di situlah rasa iri hati dan tamak timbul,” kata­nya.

Papua New Guinea kini berada di bawah tekanan antarabangsa sebagai tindak balas terhadap beberapa siri kes keganasan berprofil ting­gi yang menjadi perhatian dunia.

Pada Februari lalu, perusuh membogel, menyek­sa dan mengikat seorang wanita yang dituduh me­ngamalkan ilmu sihir. Dia kemudian dibakar hidup-hidup di hadapan ratusan penonton yang ketakutan di Mount Hagen iaitu bandar ketiga terbesar negara berkenaan.

Pada Julai pula, polis menahan 29 individu yang dituduh menjadi sebahagian daripada puak kanibal di kawasan pedalaman hutan Papua New Guinea dan mendakwa mereka menyebabkan kematian tujuh individu yang disyaki bomoh.

Bagi kes Helen yang berlaku April lalu, tiada tang­kapan dibuat, namun polis mengatakan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘pembunuhan kelas pertama’.

Inspektor Kanan Polis, Cletus Tsien tidak membuat sebarang spekulasi me­ngenai motif jenayah berkenaan.

“Kita sedia maklum keluarga mangsa adalah golongan kaya. Mungkin puncanya ada isu berkaitan perasaan cemburu. 

Kita juga tahu mereka dituduh melakukan sihir, tetapi tiada bukti kukuh,” katanya.

1 comment:

  1. Ada duit sikit susah , takde duit pun susah.

    Di Malaysia ini , bila jadi keadaan sebegini kena makan KANGKUNG saja kerana orang susah dan senang suka makan KANGKUNG !!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa